Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) memperluas usaha penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang sains dan teknologi melalui penganjuran Kursus Penulisan Kreatif dan Kritis bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Kursus yang diadakan di Bilik Gerakan Matahari, Atom Malaysia ini menghimpunkan 20 peserta daripada pelbagai bahagian dan berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan pegawai teknikal menghasilkan penulisan sains dan teknologi yang jelas, menarik dan mudah difahami oleh masyarakat, sekali gus memperkukuh keupayaan komunikasi sains dalam bahasa kebangsaan pada peringkat organisasi.
DBP diwakili oleh Puan Norfaranieza Muhd Ariffin dan Puan Nurul Syafika Kasim, masing-masing bertugas Editor dan Penolong Editor Dewan Kosmik yang diundang sebagai penceramah utama bagi berkongsikan kepakaran dalam bidang penulisan popular sains dan penyuntingan majalah berasaskan ilmu.
Kedua-dua penceramah menyampaikan panduan asas bagi penulisan kreatif dan kritis dalam bidang sains dengan memberikan umpuan kepada teknik penyampaian yang berfakta, berstruktur dan menarik, di samping memperkenalkan peluang menulis rencana sains dan teknologi di DBP, khususnya melalui Dewan Kosmik sebagai wadah ilmiah untuk masyarakat umum.
Menurut Puan Norfaranieza Muhd Ariffin, kursus ini membantu untuk membina keyakinan dan kesedaran dalam kalangan penulis teknikal bahawa bahasa Melayu mempunyai keupayaan yang tinggi untuk menjadi bahasa ilmu dalam menyampaikan pengetahuan sains dengan berkesan dan menarik.
“Bahasa Melayu perlu dimartabatkan sebagai bahasa ilmu, di samping berupaya menyampaikan ilmu sains dan teknologi dengan jelas melalui gaya penulisan yang mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat,” katanya ketika menyampaikan sesi perkongsian.
Beliau menjelaskan bahawa penguasaan penulisan yang baik bukan sahaja menuntut ketepatan fakta dan istilah, malah keupayaan untuk menyusun maklumat teknikal secara kreatif agar mesej saintifik dapat disampaikan dengan berkesan.

Menurutnya, latihan dan bimbingan berterusan penting bagi membantu pegawai teknikal membina keyakinan serta kepekaan terhadap gaya bahasa yang sesuai untuk khalayak umum.
Beliau juga menambah bahawa penulisan yang baik mampu menjadi jambatan antara dunia sains dengan masyarakat, sekali gus memperluas kefahaman awam terhadap manfaat teknologi dan inovasi negara.
Sepanjang sesi latihan, peserta diberikan tugasan untuk menulis rencana sains dan teknologi berdasarkan contoh penulisan yang dihasilkan oleh warga Atom Malaysia bagi mengasah kemahiran penyusunan maklumat dan penceritaan yang sesuai untuk khalayak umum.

Latihan ini membantu peserta untuk memahami kaedah menulis secara kreatif dan kritis, di samping menekankan kepentingan penggunaan tatabahasa dan gaya bahasa kebangsaan yang betul, selaras dengan peranan institusi awam dalam memperkaya komunikasi ilmu sains kepada masyarakat.
Program ini turut memperlihatkan hubungan ilmiah yang erat antara Atom Malaysia dengan DBP, sekali gus menandakan kesepaduan usaha antara agensi teknikal dan bahasa dalam memupuk budaya penyebaran ilmu sains melalui bahasa kebangsaan.

Kedua-dua institusi ini juga menyatakan hasrat untuk meneruskan kerjasama melalui penganjuran latihan, penulisan bersama dan peluang penerbitan pada masa hadapan agar lebih banyak warga teknikal dan saintifik dapat berkongsi kepakaran mereka melalui karya ilmiah yang memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu.
