Diterbitkan pada 23 September 2025, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Zagreb – Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung kalinya mewakili Malaysia dalam Seventh Joint Summer School: Connecting Southeast Asia and Southeast Europe yang berlangsung di Croatia, baru-baru ini.

Program berprestij anjuran University of Zagreb ini menghimpunkan ahli akademik dari pelbagai universiti di Asia Tenggara dan Eropah Tenggara bersama-sama pihak berkepentingan daripada sektor diplomatik, organisasi antarabangsa serta industri berkaitan dengannya.

Melalui platform ini, pelbagai isu seperti pembangunan mampan, keselamatan serantau dan perubahan iklim dibincangkan dengan mendalam, bukan sahaja daripada sudut pandangan akademik malah melalui pengalaman praktikal merentas rantau, sekali gus memperkukuh kefahaman bersama tentang cabaran global yang dikongsi oleh Asia Tenggara dan Eropah Tenggara.

Penyertaan Malaysia melalui USM dianggap bersejarah kerana pelibatan negara buat pertama kali ini  menzahirkan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi untuk memperkukuh pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

Kaunselor Kedutaan Besar Malaysia di Zagreb, Croatia, Encik Johan Ikram Ahmad Rusli menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis pembukaan Seventh Joint Summer School: Connecting Southeast Asia and Southeast Europe.

Dalam sesi pembentangan, YBrs. Dr. Nik Norliati Fitri Md Nor membentangkan kajian bertajuk “Rethinking Ageing and Demographic Change Across Southeast Asia and Southeast Europe” yang meneliti cabaran serta peluang daripada fenomena penuaan di kedua-dua rantau.

Seterusnya, YBrs. Dr. Siti Rahyla Rahmat turut menambah dimensi baharu melalui pembentangannya yang berjudul “Building Disaster-Resilient Economy: The Role of Integrated Management in Southeast Asia and Southeast Europe” yang menekankan kepentingan pengurusan bersepadu dalam menghadapi risiko bencana.

“Kami percaya bahawa risiko bencana dan daya tahan ekonomi tidak boleh dilihat secara berasingan, sebaliknya perlu ditangani secara holistik dan merentas sempadan geografi,” kata YBrs. Dr. Siti Rahyla Rahmat ketika ditemui selepas sesi pembentangan.

Selain sesi rasmi di University of Zagreb, delegasi Malaysia meneruskan penglibatan akademik dengan lawatan ke University of Dubrovnik.

Lawatan ini memberi ruang meneroka potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan bersama dan pertukaran akademik yang lebih luas.

Usaha ini turut diperkukuh oleh sokongan Kedutaan Besar Malaysia di Zagreb yang memudah cara jaringan akademik antara Malaysia dengan Croatia.

Delegasi Malaysia bergambar di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Zagreb bersama-sama Encik Johan Ikram dan Puan Faridah yang turut membantu melancarkan urusan rasmi sepanjang lawatan di Croatia.

Pada masa yang sama, sokongan pembiayaan melalui Skim Insentif Pengantarabangsaan USM menjadi pemangkin utama untuk merealisasikan pelibatan delegasi Malaysia dalam program ini dengan jayanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi