Diterbitkan pada 19 September 2025, 19:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima kunjungan rasmi delegasi Mahidol University, Thailand, baru-baru ini bagi memperkukuh kerjasama penyelidikan malaria zoonotik yang kian membimbangkan di rantau Asia Tenggara.

Lawatan tersebut disertai enam orang delegasi yang diketuai oleh Timbalan Dekan Penyelidikan Mahidol University serta Ketua Mahidol Vivax Research Unit, Profesor Dr. Jetsumon Sattabongkot Prachumsri.

Misi utama lawatan ini adalah membuka peluang kerjasama lebih meluas dalam bidang sains kesihatan, termasuklah penilaian halatuju projek malaria zoonotik antara UKM, Universiti Malaya dengan Mahidol University.

Projek berkenaan melibatkan kerja makmal, kajian lapangan, pengumpulan data epidemiologi serta penyelidikan biologi vektor nyamuk yang menjadi agen penularan penyakit zoonotik.

Malaysia kini merekodkan jumlah kes malaria Plasmodium knowlesi tertinggi di dunia, manakala Thailand berdepan dengan cabaran yang sama, terutamanya di kawasan bersempadan dengan Myanmar dan Laos.

Kolaborasi ini dilihat penting kerana menyatukan kepakaran dua negara yang terkesan secara langsung, di samping membuka ruang perkongsian teknologi, data serta metodologi terkini.

Lawatan dimulakan dengan ucapan aluan Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Profesor Dr. Suzana Shahar, diikuti oleh Ketua Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE), Profesor Madya Dr. Asmah Hamid yang memperkenalkan kemudahan penyelidikan di pusat tersebut.

Delegasi Mahidol University turut dibawa melawat insektarium FSK, UKM untuk melihat proses pengkolonian nyamuk bagi tujuan penyelidikan.

Profesor Dr. Jetsumon turut menyampaikan ucapan balas dan menzahirkan harapan agar kerjasama ini menghasilkan impak besar dalam penyelidikan kesihatan serantau.

Sesi kedua melibatkan perbincangan kumpulan berfokus yang diketuai oleh Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam (UKM) bersama-sama Profesor Jetsumon (Mahidol University) dan Dr. Phang Wei Kit (Universiti Malaya).

Turut menyertai sesi itu secara dalam talian ialah Profesor Lau Yee Ling dari Universiti Malaya.

Hari kedua pula menumpukan perbincangan mengenai nyamuk Anopheles sebagai vektor utama penularan malaria zoonotik daripada monyet kepada manusia.

Perbincangan berkenaan turut disertai oleh  Profesor Kehormat Universiti Malaya yang juga bekas ahli WHO Vector Control Advisory Group (VCAG), Profesor Datin Dr. Indra Vythilingam.

Profesor Datin Dr. Indra Vythilingam bersama-sama pegawai sains FSK serta delegasi dari Mahidol University, Thailand.

Kehadiran beliau menambah nilai kepada sesi tersebut, khususnya dalam memperhalus pemahaman tentang bionomik vektor malaria.

Lawatan ini juga memberi ruang kepada pelajar dan penyelidik muda untuk membentangkan hasil kajian, antaranya Abdul Hafiz bin Zulhaimi serta penyelidik pascadoktoral Dr. Lau Koon Weng.

Sebagai tanda penghargaan, Profesor Dr. Suzana Shahar menyampaikan cenderahati kepada Profesor Dr. Jetsumon sambil disaksikan Profesor Madya Dr. Asmah Hamid.

Kerjasama antara UKM dengan Mahidol University dijangka membuka peluang pembiayaan antarabangsa serta mengukuhkan jaringan penyelidikan serantau.

Kumpulan penyelidikan malaria zoonotik di FSK UKM bersama-sama delegasi dari Mahidol University, Thailand.

Hasil penyelidikan ini bukan sahaja bermanfaat kepada Malaysia dan Thailand, malah boleh dimanfaatkan seluruh Asia Tenggara yang berdepan dengan ancaman malaria zoonotik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi