Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLangkawi – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis tampil sebagai rakan strategik Jabatan Perikanan Negeri Kedah dalam program Malaysia Dive 2025 bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang menekankan pemuliharaan ekosistem marin melalui aktiviti melabuh bio-dome dan restorasi karang di perairan Langkawi.
Reka bentuk bio-dome yang mempunyai dua fungsi utama, iaitu sebagai struktur pembiakan ikan serta asas pertumbuhan semula karang itu merupakan hasil inovasi penyelidik dari Stesen Penyelidikan Teknologi Marin, UiTM Cawangan Perlis, Langkawi.

Sebanyak 24 unit bio-dome telah berjaya dilabuhkan dengan kerjasama penyelam sukarelawan dan pegawai teknikal dari Jabatan Perikanan berkenaan.
Sebagai usaha lanjutan, sebanyak 200 nubin karang telah disemai pada cakera karang sebelum dilekatkan pada permukaan bio-dome.
Pada kali ini, restorasi yang dilakukan lebih menumpukan kepada spesies Hydnophora sp., iaitu sejenis batu karang yang berperanan penting dalam menstabilkan struktur terumbu semula jadi.

Menariknya, inisiatif tersebut turut menggunakan pendekatan Ecosystem Approach to Fisheries Management (EAFM) yang menitikberatkan keseimbangan antara pemuliharaan biodiversiti, kelestarian sumber perikanan dengan keperluan komuniti pesisir.

Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah dalam kenyataannya, pelaksanaan EAFM melalui program ini merupakan langkah penting dalam memastikan pengurusan sumber laut negara adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan.
Ujarnya,
Kerjasama dengan institusi akademik seperti UiTM mampu memperkukuh penyelidikan saintifik dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan penting ekosistem marin terhadap keselamatan makanan dan kesejahteraan ekonomi pesisir.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM dalam amanat ucapannya pada awal tahun ini juga menyatakan bahawa penyertaan universiti dalam program seumpama ini membuktikan kesungguhan institusi dalam menjana inovasi yang mendukung pemeliharaan alam sekitar serta memperkukuh hubungan strategik antara dunia akademia, pihak berkuasa dengan masyarakat setempat.
Melalui pendekatan ini, pengurusan perikanan tidak hanya memfokuskan hasil tangkapan semata-mata, sebaliknya meliputi pemeliharaan habitat marin, kesinambungan rantaian makanan laut serta perlindungan ekosistem terumbu karang sebagai benteng semula jadi.
Pasukan penyelam dari UiTM Perlis yang diketuai oleh YBrs. Ts. Dr. Jamil Tajam bersama-sama Ts. Khairul Naim Abd Aziz, Encik Muhammad Sahir Othman, Encik Nor Azhar Mat dan Encik Mohamad Asri Bakhtam telah berganding bahu untuk menjayakan operasi pemuliharaan marin, sekali gus memperlihatkan komitmen warga akademik bukan sahaja dalam bidang penyelidikan, malah turut menyerlah dalam pelaksanaan praktikal usaha pemuliharaan biodiversiti.
Program Malaysia Dive 2025 bukan sahaja mengangkat semangat perpaduan Hari Malaysia melalui kolaborasi dengan pelbagai pihak, malah menjadi wahana memperteguh kesedaran nasional tentang kepentingan melindungi khazanah laut negara bagi manfaat generasi pada masa hadapan.