Diterbitkan pada 11 September 2025, 17:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah menganjurkan Majlis Graduasi, Peluncuran Sijil Profesional Baharu serta Penyampaian Bursary Pelajar dalam satu acara penuh meriah.

Dalam majlis ini, sebanyak 25 graduan berjaya menamatkan pengajian sijil profesional dan empat daripadanya menerima Anugerah Sijil Pelajar Terbaik yang disampaikan oleh Pengarah Yayasan Canselor, YBhg. Profesor Ts. Dr. Faizal Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat).

Menurut YBhg. Profesor Ts. Dr. Faizal Mohamed, UKM menyediakan platform pembelajaran sepanjang hayat bagi memenuhi keperluan industri dan pihak berkepentingan.

“Hampir semua graduan yang menerima sijil dalam majlis ini merupakan kakitangan yang sedang berkhidmat di pelbagai agensi dan industri,” tambah beliau lagi.

Perasmian majlis telah disempurnakan oleh Pengarah Yayasan Canselor, YBhg. Profesor Ts. Dr. Faizal Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat).

Antara sijil yang ditawarkan termasuklah Sijil Profesional Pengurusan Limfedema, Sijil Profesional Rehabilitasi Pulmonari serta Sijil Profesional Penuaan dan Rehabilitasi Geriatrik bagi kohort kedua dan ketiga.

Dalam majlis sama, FSK turut melancarkan dua program baharu, iaitu Sijil Profesional Saringan Payudara dan Sijil Profesional Analisis Data Makmal Patologi Kimia.

Pengurusan sijil profesional dilaksanakan oleh Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMSHAPE), manakala pemantauan keseluruhan dikendalikan oleh Pejabat Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat (HEJIM) FSK.

Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar berkata penawaran sijil profesional ini terhasil daripada kerjasama rapat fakulti bersama-sama industri, pertubuhan bukan kerajaan serta pelbagai kementerian dalam dan luar negara.

Jelasnya, usaha ini penting bagi memastikan setiap program yang ditawarkan sentiasa relevan dengan tuntutan semasa dan mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kesihatan.

Ucapan alu-aluan yang telah disampaikan oleh Dekan, FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar.

Hubungan kerjasama dengan industri diperkukuhkan lagi melalui tajaan biasiswa berjumlah RM105,600.00 oleh Mahkota Medical Centre (MMC) kepada dua pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Diagnostik dan Radioterapi, Puteri Adawiyah Elona Malek dan Ni Adila Sulaiman.

Penyerahan cek dermasiswa yang berjumlah RM105,600.00 disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mahkota Medical Centre (MMC), Puan Teo Chin Yee sambil diiringi oleh ahli pengurusan Fakulti Sains Kesihatan kepada dua pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Diagnostik dan Radioterapi, Puteri Adawiyah Elona Malek dan Ni Adila Sulaiman.

Sementara itu, cek dermasiswa disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MMC, Puan Teo Chin Yee yang turut menawarkan peluang latihan sangkutan dan prospek pekerjaan kepada pelajar berkenaan selepas tamat pengajian.

Antara tetamu yang hadir termasuklah Pengurus Besar Yayasan Penyayang, YBhg. Datuk Ariff Farhan; Pengurus Besar UNIPEQ Sdn. Bhd., Encik Mohd Faizal Saaidin; serta Presiden Persatuan Ahli Biokimia Klinikal Malaysia merangkap Profesor Adjung FSK, Yang Mulia Raja Dr. Elina Raja Aziddin.

Maklumat lanjut mengenai penawaran program sijil profesional ini boleh dicapai melalui laman sesawang UKM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi