Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada penghujung Ogos 2025, penduduk Segamat, Johor dikejutkan oleh siri gegaran lemah yang berlaku secara berturut-turut. Episod ini bermula pada 24 Ogos 2025 dengan kejadian gempa bermagnitud 4.1 pada jam 6.13 pagi, diikuti oleh beberapa gegaran susulan sepanjang minggu berikutnya. Gegaran tersebut direkodkan dengan magnitud 3.2 pada 27 Ogos 2025, 2.5 pada 28 Ogos 2025, 3.4 pada 29 Ogos 2025 dan 2.7 pada 30 Ogos 2025. Semua kejadian berlaku pada kedalaman 10 kilometer.
Walaupun magnitudnya kecil, kejadian ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Ada yang panik, ada yang keliru, malah ada yang menganggapnya sekadar getaran ringan yang tidak mendatangkan kesan yang besar. Namun begitu, dari sudut kejuruteraan dan sains geologi, siri gegaran ini bukanlah hal yang remeh dan tidak boleh dipandang enteng.
Kejadian di Segamat mengingatkan semula bahawa Malaysia tidak sepenuhnya berada di luar jangkauan ancaman seismik, meskipun sering dianggap “kebal” daripada bahaya gempa bumi. Insiden ini juga membuka ruang untuk menilai kembali tahap kesediaan negara dalam memahami serta menghadapi risiko seismik yang mungkin berlaku pada masa hadapan.
Fenomena Seismik di Malaysia
Secara geografi, Malaysia terletak agak jauh daripada sempadan plat tektonik utama. Zon pertembungan plat terdekat ialah di barat Sumatera dan timur Filipina. Kedudukan ini sering menimbulkan tanggapan bahawa Semenanjung Malaysia berada dalam kawasan yang stabil serta terlindung daripada ancaman gempa bumi besar. Walau bagaimanapun, rekod sejarah dan dapatan saintifik menunjukkan gambaran yang lebih kompleks.
Kajian terdahulu merekodkan beberapa kejadian seismik tempatan yang berlaku di Semenanjung Malaysia. Antara yang signifikan termasuklah siri gegaran di Bukit Tinggi pada tahun 2007 hingga tahun 2009, gempa lemah di Kuala Pilah pada tahun 2009, gegaran di Manjung, Perak pada tahun yang sama serta insiden di Tasik Kenyir, Terengganu pada tahun 2016. Kesemua peristiwa ini menandakan bahawa gegaran bumi, walaupun berskala rendah, bukanlah sesuatu yang asing di rantau ini.
Insiden di Segamat pada Ogos 2025 menambahkan lagi dimensi baharu kepada rekod sejarah seismik negara. Kejadian tersebut merupakan gegaran pertama direkodkan di Johor dalam tempoh lebih satu abad. Selain itu, catatan sejarah juga menunjukkan bahawa pada tahun 1922, dua gempa bumi dengan magnitud 5.4 dan 5.0 pernah melanda kawasan berhampiran dan mengakibatkan kerosakan kecil di sekitar Muar. Peristiwa tersebut membuktikan bahawa sesar di bahagian selatan Semenanjung Malaysia dan berupaya menghasilkan gegaran signifikan apabila kembali aktif.
Malaysia, khususnya Semenanjung Malaysia, mempunyai beberapa sesar purba yang berpotensi untuk diaktifkan semula. Antara sesar yang dikenal pasti termasuklah Sesar Bukit Tinggi, Sesar Kuala Lumpur serta beberapa sesar lain di selatan Johor. Walaupun aktiviti ini jarang-jarang berlaku, kesannya dapat dirasakan dalam bentuk gegaran kecil yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk. Kejadian di Segamat baru-baru ini menambah kepada senarai tersebut dan menimbulkan persoalan, sejauh manakah tahap kesediaan infrastruktur negara dalam menampung beban akibat gempa bumi, meskipun pada magnitud rendah?
Risiko Infrastruktur dan Perspektif Geoteknik
Gegaran bumi, walaupun pada skala kecil, tidak boleh dianggap ringan kerana kesannya terhadap struktur binaan boleh bersifat kumulatif dan berpanjangan. Getaran seismik berupaya menimbulkan retakan mikro pada elemen utama seperti tiang, rasuk dan dinding galas beban.
Laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia menunjukkan bahawa kejadian gegaran di Segamat baru-baru ini telah mengakibatkan keretakan kecil pada beberapa bangunan di kawasan berkenaan. Walaupun kerosakan tersebut kelihatan tidak signifikan pada peringkat awal, kelemahan yang terkumpul dari masa ke masa berpotensi mengurangkan keupayaan struktur menanggung beban dengan selamat.
Selain itu, kestabilan asas bangunan turut boleh terjejas, khususnya di kawasan bertanah lembut atau yang mempunyai sejarah pemendapan. Jika tidak dikesan serta ditangani dengan segera, kerosakan kecil ini mampu berkembang menjadi kecacatan serius yang membahayakan penghuni dan menjejaskan jangka hayat struktur.
Dari sudut geoteknik, isu yang lebih membimbangkan ialah respons tanah terhadap gelombang seismik. Tanah lembut mempunyai kecenderungan untuk mengalami penguatan gelombang (site amplification), lalu menjadikan gegaran kecil terasa lebih kuat di permukaan.
Selain itu, terdapat risiko likuifaksi, iaitu keadaan apabila tanah berpasir yang tepu air secara tiba-tiba kehilangan kekuatan dan bertindak seperti cecair. Fenomena ini boleh berlaku walaupun akibat gegaran sederhana. Keadaan tersebut amat berbahaya kerana boleh mencetuskan keruntuhan struktur tanpa memberikan sebarang tanda awal.
Kesan terhadap infrastruktur kritikal pastinya memberikan implikasi yang besar. Hospital, sekolah, loji rawatan air dan jaringan pengangkutan merupakan kemudahan yang tidak boleh mengalami kegagalan fungsi. Sebarang kelemahan pada struktur ini berpotensi menjejaskan keselamatan masyarakat serta mengganggu kelancaran operasi harian, khususnya dalam situasi kecemasan. Oleh itu, aspek ketahanan infrastruktur terhadap gegaran bumi perlu diberikan perhatian yang serius, walaupun magnitud gegaran yang berlaku dianggap kecil.
Cadangan Strategik
Selepas berlakunya gegaran, meskipun pada magnitud rendah, pemeriksaan menyeluruh terhadap bangunan merupakan langkah penting bagi mengesan kerosakan struktur awal yang berpotensi menjejaskan integriti binaan serta keselamatan pengguna. Garis panduan antarabangsa seperti Post-Earthquake Safety Evaluation of Buildings (ATC-20) yang diterbitkan oleh Applied Technology Council menekankan keperluan pemeriksaan segera oleh jurutera bertauliah. Melalui penilaian ini, bangunan dapat diklasifikasikan sama ada selamat digunakan, memerlukan pembaikan atau perlu dikosongkan.
Di Malaysia, walaupun belum wujud kod khusus untuk penilaian pascagempa, pendekatan ini boleh diselaraskan dengan Uniform Building By-Laws (UBBL) serta garis panduan penyelenggaraan bangunan yang diguna pakai oleh pihak berkuasa tempatan dan JKR. Pemeriksaan yang sistematik terhadap bangunan awam, jambatan, empangan serta loji utiliti perlu dilakukan secara berkala bagi memastikan keretakan kecil dapat dibaiki dengan lebih awal sebelum berkembang menjadi kerosakan besar yang berisiko terhadap keselamatan.
Selain itu, kajian risiko mikrozonasi seismik wajar diperluaskan sebagai langkah mitigasi bencana. Kajian ini membahagikan kawasan kepada zon berdasarkan tahap kerentanan tanah terhadap gegaran. Maklumat tersebut membolehkan jurutera mengenal pasti lokasi yang memerlukan reka bentuk tambahan serta menentukan kawasan yang sesuai untuk pembangunan.
Dalam hal ini, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mencadangkan supaya Technical Committee on Earthquakes yang pernah ditubuhkan diaktifkan semula sebagai platform koordinasi kebangsaan. Jawatankuasa ini berperanan menghimpunkan kepakaran pelbagai disiplin seperti geoteknik, kejuruteraan struktur, geologi serta pemetaan seismik untuk merangka pelan mitigasi yang komprehensif.
Pendekatan antara disiplin membolehkan data saintifik diterjemahkan kepada garis panduan praktikal, manakala aspek reka bentuk kejuruteraan dapat diintegrasikan dengan peta geologi serta zon risiko seismik. Melalui kerjasama pelbagai bidang, pelan mitigasi dapat dirangka dengan lebih menyeluruh meliputi aspek pemantauan gegaran, reka bentuk struktur, perancangan guna tanah serta kesedaran awam. Pendekatan bersepadu sebegini penting untuk memastikan tahap kesiapsiagaan negara berada pada tahap optimum dalam menghadapi ancaman seismik pada masa hadapan.
Kajian geofizik pascagempa juga perlu diberikan perhatian khusus. Penyelidikan yang dijalankan biasanya melibatkan pemetaan retakan tanah, pengenalpastian sifat geoteknik tanah serta penilaian kekuatan struktur bawah permukaan. Usaha ini dijalankan secara kolaboratif oleh JMG, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan penyelidik universiti tempatan seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kaedah seperti seismik refraksi, georadar dan ujian geoteknik lapangan membolehkan saintis memahami tindak balas tanah dan batuan terhadap gelombang seismik. Pengetahuan tersebut bukan sahaja membantu menilai punca gegaran dan kemungkinan susulan, malah juga penting dalam merangka strategi pembangunan dan pengukuhan struktur di kawasan berisiko.
Implikasi Sosial dan Dasar
Pengurusan risiko seismik bukan hanya terletak pada bahu jurutera atau pakar teknikal semata-mata, malah menuntut kerjasama rentas disiplin yang melibatkan ahli geologi, arkitek, pihak berkuasa tempatan dan pembuat dasar. Polisi pembangunan bandar perlu dirangka berdasarkan sains risiko, bukan sekadar pertimbangan ekonomi atau aspek estetika semata.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menegaskan bahawa gegaran di Segamat merupakan peringatan kepada Malaysia untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan seismik. Kejadian ini menuntut sistem pemantauan yang lebih bersepadu, di samping memperluas pendidikan awam mengenai risiko gempa. Pada masa yang sama, NADMA turut menekankan keperluan pelaksanaan audit keselamatan terhadap bangunan sedia ada, khususnya sekolah, hospital, empangan dan kemudahan lain bagi memastikan tahap ketahanannya terhadap gegaran berada pada tahap optimum.
Seruan ini membawa kepada keperluan perubahan paradigma daripada sikap reaktif kepada pendekatan pencegahan dan mitigasi, sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa dalam pengurusan bencana. Langkah tersebut bukan sahaja menekankan pembangunan infrastruktur tahan gempa, malah melibatkan pembinaan dasar awam yang berteraskan data saintifik.
Lebih penting lagi, masyarakat perlu dilengkapkan dengan maklumat yang tepat dan mudah difahami. Kebanyakan daripada kita masih memandang ringan terhadap gegaran kecil kerana ketiadaan kerosakan ketara. Namun begitu, setiap gegaran merupakan isyarat awal bahawa bumi sentiasa berada dalam keadaan dinamik. Sementara itu, pendidikan awam tentang langkah keselamatan semasa gempa, termasuklah latihan evakuasi dan panduan ringkas mengenai tindakan segera ketika gegaran amat penting untuk mengurangkan panik serta menyelamatkan nyawa.
Siri gegaran di Segamat tidak wajar dilihat sebagai kejadian terpencil atau kebetulan geologi. Kejadian tersebut seharusnya ditanggapi sebagai amaran untuk menilai semula kefahaman tentang risiko seismik tempatan, mengkaji semula tahap ketahanan infrastruktur dan memperkukuh daya tahan negara terhadap bencana yang jarang-jarang berlaku tetapi berpotensi membawa kesan besar.
Dari aspek teknikal, langkah tersebut menuntut pengemasan kod amalan reka bentuk struktur bangunan, pelaksanaan kajian mikrozonasi serta audit sistematik ke atas bangunan awam. Dari sudut sosial, hal itu menyeru kepada peningkatan kesedaran masyarakat dan pelaksanaan dasar pembangunan yang berasaskan ilmu saintifik.
Akhir sekali, isu utama bukanlah sama ada gegaran akan berulang tetapi bilakah waktunya akan tiba? Lebih penting lagi adalah untuk menentukan tahap kesediaan negara dalam menghadapi kemungkinan tersebut.
Dr. Suzielah Rahmad,
Jurutera Perunding Bebas.