Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pakar akademik dari Malaysia dan Jepun berhimpun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini bagi mencari penyelesaian inovatif terhadap cabaran kelestarian global.
Bengkel antarabangsa bertajuk “Toward the Construction of Sustainable Design: An Analysis of the Present Situation and Issues” ini menjadi wadah penting menghimpunkan idea baharu daripada penyelidik dua negara.
Majlis tersebut diserikan dengan ucapan perasmian oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Komuniti, Fakulti Sains Kesihatan, UKM, Profesor Dr. Zahara Abdul Manaf.
Dalam ucapannya, beliau menekankan inisiatif EcoCampus sebagai bukti nyata kesungguhan UKM dalam memacu agenda kelestarian melalui pendekatan menyeluruh yang melibatkan aspek akademik, penyelidikan, pengurusan kampus serta pelibatan komuniti.

“Kami percaya, dengan menghimpunkan para cendekiawan dari pelbagai latar belakang, kita dapat merangka konsep inovatif yang bukan sahaja bermanfaat kepada manusia, malah memastikan bumi terus terpelihara untuk generasi akan datang, sekali gus mengangkat peranan universiti sebagai peneraju pemikiran dan penyelesaian lestari,” katanya.
Sesi pembentangan dimulakan oleh Profesor Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi dari Universiti Malaya yang mengupas isu reka bentuk lestari dari sudut bahan dan inisiatif dalam industri pembuatan tempatan, sebelum diteruskan oleh Profesor Dr. Shigeru Wesugi dari Universiti Waseda yang menekankan pendekatan sistem sebagai asas pembangunan lestari.

Perbincangan turut diperkaya dengan kajian Dr. Lim See Meng dari UKM mengenai potensi serangga sebagai sumber makanan mesra alam, manakala Profesor Dr. Fumihiko Tochinai dari Shibaura Institute of Technology mengetengahkan peranan pendidikan etika dalam membentuk kesedaran kelestarian dalam kalangan pelajar universiti.
Sesi petang memperlihatkan kepelbagaian perspektif apabila Profesor Madya Dr. Balamuralithara Balakrishnan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris menyorot nilai kelestarian dalam amalan kreatif, diikuti oleh Dr. Muhammad Fadhil Wong Abdullah yang membincangkan potensi percetakan tiga dimensi (3D) sebagai medium reka bentuk lestari.

Perbincangan turut diperkaya dengan penekanan Dr. Catherina Ugap terhadap pemeliharaan budaya masyarakat peribumi Ainu di Jepun dan Iban di Malaysia, sebelum Profesor Dr. Hidekazu Kanemitsu dari Universiti Hosei mengetengahkan peranan pendidikan lapangan, manakala Prof. Dr. Kiyotaka Naoe dari Universiti Tohoku menekankan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk keputusan berteraskan kelestarian, yang akhirnya dirumuskan melalui sesi perbincangan umum dan ucapan penutup beliau tentang pentingnya dialog antarabangsa.
Penganjuran ini merupakan inisiatif Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCH), Fakulti Sains Kesihatan, UKM yang dipimpin oleh Profesor Dr. Poh Bee Koon.

Turut hadir pada sesi pembukaan ialah Pengerusi Pusat ReaCH, Profesor Madya Dr. Nik Shanita Safii sebagai tanda sokongan terhadap usaha berimpak tinggi ini.