Diterbitkan pada 27 Ogos 2025, 20:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Saban tahun, jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan dan bekalan ubat-ubatan di kemudahan kesihatan kerajaan terus meningkat, terutamanya dalam kalangan penghidap penyakit kronik. Lazimnya, bekalan ubat bagi pesakit kronik dibekalkan secara berperingkat. Oleh itu, pesakit diminta hadir beberapa kali ke farmasi untuk mendapatkan ubat susulan sehingga tarikh janji temu seterusnya.

Keadaan ini menyebabkan lebih ramai pesakit hadir ke farmasi, sekali gus meningkatkan masa menunggu. Selain itu, pesakit turut berdepan dengan perbelanjaan tambahan untuk kos perjalanan, perlu mengambil cuti daripada bekerja serta berhadapan dengan kekangan tempat letak kereta di kemudahan kesihatan. Semua cabaran ini mendorong segelintir pesakit mengabaikan tarikh janji temu pembekalan ubat susulan, sehingga menimbulkan risiko terputus bekalan ubat-ubatan.

Inovasi Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi

Bagi memudahkan urusan pembekalan dan memastikan kesinambungan bekalan ubat susulan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Perkhidmatan Farmasi telah memperkenalkan inovasi Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi atau Value Added Services (VAS) sejak tahun 2003. Perkhidmatan ini diwujudkan dengan tujuan utama mengurangkan masa menunggu pesakit semasa mendapatkan ubat-ubatan di farmasi. Pada masa yang sama, perkhidmatan ini dapat membantu pesakit menjimatkan kos perjalanan untuk hadir ke kemudahan kesihatan.

Menerusi VAS, ubat-ubatan susulan akan disediakan lebih awal oleh anggota farmasi sebelum tarikh janji temu. Kaedah ini membolehkan pesakit menerima ubat dalam tempoh yang lebih singkat. Terdapat juga situasi yang membolehkan pesakit tidak perlu hadir ke kemudahan kesihatan, manakala sekiranya perlu hadir, masa menunggu tetap menjadi lebih singkat.

Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi yang Ditawarkan

Sehingga kini, pelbagai bentuk VAS telah diperkenalkan di kemudahan kesihatan KKM. Antaranya termasuklah Ubat Melalui Pos (UMP), Lokar Ubat, Farmasi Pandu Lalu dan Pembekalan Ubat Susulan Melalui Pihak Ketiga (UM3).

Walau bagaimanapun, penawaran perkhidmatan ini berbeza mengikut kemudahan. Pesakit digalakkan untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada anggota farmasi mengenai pilihan perkhidmatan yang tersedia.

UMP

UMP merupakan hasil kerjasama KKM dengan Pos Malaysia Berhad. Perkhidmatan ini membolehkan ubat susulan pesakit dihantar terus ke lokasi pilihan mereka. Pesakit hanya perlu membuat bayaran caj penghantaran melalui pelbagai kaedah seperti tunai, perbankan dalam talian, kad debit atau kredit, kod QR DuitNow dan e-dompet ketika menerima bungkusan ubat daripada posmen. Namun begitu, UMP hanya ditawarkan oleh kemudahan kerajaan yang berada dalam kawasan pungutan serta serahan Pos Laju.

Perkhidmatan ini sesuai untuk pesakit yang telah stabil dan memahami cara pengambilan ubat. Ubat yang dibekalkan pula terdiri daripada tablet, kapsul, sirap, krim, serbuk, granul, ubat sedut bukan aerosol, tampalan, ubat semburan hidung serta ubat titis mata dan telinga. Semua ubat ini hendaklah dikekalkan dalam bungkusan asal pengilang. Sebaliknya, ubat yang memerlukan penyimpanan khas seperti rangkaian sejuk (contohnya, insulin) atau ubat dalam kumpulan psikotropik tidak dapat dibekalkan melalui UMP.

Perkhidmatan lokar ubat

Lokar ubat memberikan kemudahan kepada pesakit untuk mengambil ubat susulan secara kendiri mengikut kesesuaian masa. Lokasi lokar yang disediakan secara strategik membolehkan pesakit mendapatkan ubat walaupun selepas waktu pejabat.

Pesakit hanya perlu hadir mengikut tarikh janji temu dan mengakses lokar menggunakan kunci atau nombor pin yang diberikan pihak farmasi. Walau bagaimanapun, perkhidmatan ini tidak sesuai bagi ubat yang memerlukan penyimpanan khas seperti ubat rangkaian sejuk.

Farmasi pandu lalu

Perkhidmatan ini membolehkan pesakit mendapatkan ubat susulan tanpa perlu mencari parkir atau menunggu lama di farmasi. Pengesahan tarikh janji temu boleh dilakukan melalui aplikasi MyUBAT, WhatsApp, SMS atau panggilan telefon, bergantung pada kaedah yang ditetapkan oleh kemudahan. Ubat akan disaring dan disediakan lebih awal oleh pihak farmasi sebelum pesakit hadir melalui kaedah pandu lalu.

Selain itu, beberapa kemudahan kesihatan turut menawarkan perkhidmatan Parkir dan Ambil, yang berfungsi hampir serupa. Pesakit boleh meletakkan kenderaan secara sementara di kawasan khas yang disediakan, sebelum mengambil ubat di kaunter khas.

UM3

UM3 menyediakan penghantaran ubat susulan daripada unit farmasi kemudahan kesihatan KKM ke lokasi pilihan pesakit melalui syarikat penghantaran yang dilantik. Pesakit perlu membayar caj penghantaran terus kepada syarikat tersebut. Berbeza daripada UMP, UM3 mempunyai kelebihan kerana turut membolehkan penghantaran ubat rangkaian sejuk seperti insulin.

Nasihat untuk Pesakit dan Orang Awam

Pesakit yang ingin menggunakan VAS bagi pembekalan ubat susulan perlu mendapatkan bekalan ubat kali pertama di kaunter farmasi. Pada masa yang sama, mereka disarankan memaklumkan hasrat kepada petugas kaunter untuk tujuan pendaftaran.

Sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan, pesakit boleh mendaftar dan seterusnya menggunakan perkhidmatan ini sepanjang tempoh sah preskripsi ubat. Preskripsi tersebut mestilah untuk rawatan penyakit kronik dan mempunyai tempoh pembekalan ubat susulan melebihi satu bulan.

Bagi meningkatkan kemudahan, pesakit digalakkan memuat turun dan menggunakan aplikasi mudah alih MyUBAT. Aplikasi ini berfungsi membantu pesakit memantau tarikh janji temu pembekalan ubat susulan. MyUBAT dibangunkan sebagai sebahagian daripada inisiatif pendigitalan perkhidmatan farmasi, sekali gus memudahkan proses pendaftaran dan permohonan VAS seperti UMP, Lokar Ubat dan Farmasi Pandu Lalu.

Aplikasi MyUBAT boleh dimuat turun melalui Google Play Store, Apple App Store, Huawei App Gallery atau laman web rasmi https://myubat.pharmacy.gov.my/.

Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi Bukti Komitmen Berterusan KKM

Pengenalan pelbagai perkhidmatan nilai tambah farmasi yang disokong melalui penggunaan teknologi terkini jelas menunjukkan komitmen berterusan KKM dalam menambah baik kualiti perkhidmatan kepada pesakit. Inisiatif ini bukan sahaja membantu menjimatkan masa dan kos, malah memperluas akses pesakit terhadap ubat-ubatan secara lebih mudah dan efisien.

Pesakit dan orang awam disaran untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan ini sebagai sebahagian daripada usaha memastikan rawatan yang berterusan serta menyokong amalan penjagaan kesihatan yang lebih baik.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

Maryam Syafiqah Abdul Latif,
Pegawai Farmasi,
Farmasi Logistik,
Unit Farmasi dan Bekalan,
Hospital Jengka.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi