Diterbitkan pada 20 Ogos 2025, 18:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Sejajar dengan isu perubahan iklim yang semakin memberikan kesan ketara kepada kehidupan seharian, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif dengan melaksanakan program pendidikan interaktif di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Perempuan (P) Al-Mashoor melalui projek di bawah Geran Libat Sama Komuniti–Universiti yang dibiayai oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, USM.

Projek tersebut diketuai oleh YBrs. Dr. Yip Pick Schen dengan kerjasama enam buah sekolah terpilih di sekitar Pulau Pinang.

Ujarnya,

Walaupun kesedaran umum semakin meningkat, pengetahuan pelajar tentang risiko gelombang haba masih rendah, jadi penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai gelombang haba dan menggalakkan pelajar mengamalkan amalan lestari melalui kempen yang dijalankan.

Beliau juga menyatakan bahawa pendidikan adalah antara kaedah yang paling berkesan untuk menangani isu ini dengan meningkatkan pengetahuan, mengadakan aktiviti kesedaran serta memantau hasil pelaksanaannya.

Program dimulakan dengan ceramah yang bertajuk “Isu Gelombang Haba dan Kesan kepada Pelajar” oleh penyelidik bersama projek, YBrs. Dr. Yasir Azam dan pelajar USM, Puan Alia Natasha yang menjelaskan tentang punca gelombang haba, kesannya terhadap kesihatan pelajar serta langkah pencegahan yang boleh diamalkan.

YBrs. Dr. Yasir Azam ketika menyampaikan ceramah yang bertajuk “Isu Gelombang Haba dan Kesan kepada Pelajar” di SMKA (P) Al-Mashoor.

Pengisian ceramah tersebut turut memberikan kesedaran kepada pelajar mengenai perubahan iklim yang akan memberikan implikasi langsung terhadap kehidupan harian mereka, termasuklah aspek kesihatan.

Selepas itu, pelajar berpeluang menyertai bengkel amali membina kit robot berkuasa solar sebagai pendedahan praktikal kepada teknologi tenaga boleh diperbaharui melalui pengalaman melihat, menyentuh dan mencuba sendiri, sekali gus meningkatkan kefahaman teknikal serta merangsang kreativiti pelajar dalam mencari penyelesaian terhadap cabaran alam sekitar.

Para pelajar tekun meneliti komponen kit sebelum memasang robot berkuasa solar.
Pelajar menguji robot berkuasa solar yang baru dipasang sambil merasai pengalaman menyaksikan teknologi berfungsi secara langsung.
Para pelajar bergambar bersama-sama YBrs. Dr. Yasir Azam dan YBrs. Profesor Madya Gs. Dr. Tan Mou Leong.

Dalam program tersebut, pelajar Tingkatan Dua diberikan peranan sebagai mentor rakan sebaya untuk berkongsikan ilmu dengan pelajar Tingkatan Satu bagi memastikan kesinambungan pengetahuan yang diperoleh.

Penyelidik bersama yang juga Pengerusi Persatuan Geografi Malaysia (GeogMalaysia), YBrs. Profesor Madya Gs. Dr. Tan Mou Leong menegaskan bahawa program seumpama ini wajar dimasukkan dalam kurikulum sekolah.

Menurutnya, pengetahuan geografi dan amalan mesra alam perlu dipupuk sejak di bangku sekolah bagi membentuk generasi berdaya lestari, meskipun sumbangan individu kecil, usaha bersama mampu membawa perubahan yang besar ke arah masa hadapan yang lebih mampan.

Sementara itu, Puan Rosnah Othman selaku Pengetua Sekolah SMKA (P) Al-Mashoor turut menegaskan bahawa kesedaran tentang gelombang haba bukanlah hanya ilmu, tetapi tanggungjawab bersama dan program ini telah membuka ruang kepada pelajar untuk mendekati isu iklim dengan lebih mendalam dan bermakna.

Tidak ketinggalan, guru penyelaras program, Puan Fatin Nadiah pula menyifatkan bahawa kerjasama ini memberikan peluang kepada pelajar untuk memahami kesan perubahan iklim dengan lebih dekat dan menyemai tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Pelajar Tingkatan Dua, Husna Maisarah juga berpandangan bahawa program ini menyedarkan dirinya tentang bahaya gelombang haba serta ilmu yang diperoleh boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

Dalam hal ini, maklum balas positif daripada guru dan pelajar telah membuktikan bahawa ceramah dan aktiviti interaktif yang dilaksanakan telah berjaya meningkatkan kesedaran dan minat pelajar terhadap kelestarian alam sekitar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi