Diterbitkan pada 17 Ogos 2025, 14:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pengangkutan rel merupakan antara sistem pengangkutan darat terawal diperkenalkan dan kekal memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat sehingga kini. Dalam konteks Malaysia, apabila disebut tentang pengangkutan rel, kebanyakan masyarakat membayangkan kereta api, khususnya perkhidmatan komuter yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Secara umumnya, kereta api bergerak di atas landasan khas yang berasingan daripada lalu lintas jalan raya dan terdiri daripada lokomotif serta gerabak yang membawa penumpang atau barangan. Walaupun wujud pelbagai alternatif pengangkutan seperti kenderaan persendirian, bas dan kapal terbang, pengangkutan rel terus relevan pada era moden kerana mempunyai kelebihan dari segi kecekapan, keselamatan dan kelestarian alam sekitar. Faktor ini menjadikan pengangkutan rel sebagai satu daripada pilihan mobiliti masa hadapan yang mesra alam.

Sejarah pengangkutan rel bermula di Britain pada awal abad ke-19 apabila laluan kereta api pertama menggunakan lokomotif wap diperkenalkan. Perkembangannya pesat sewaktu era Revolusi Perindustrian yang menuntut sistem pengangkutan barangan dan penumpang yang lebih efisien.

Seiring dengan kemajuan teknologi, pengangkutan rel berkembang di seluruh dunia dengan pelbagai inovasi untuk memenuhi keperluan sesebuah negara. Era kereta api berkelajuan tinggi bermula di Jepun sebelum diikuti oleh Perancis, Jerman, Sepanyol, Korea Selatan dan China. China kini mendahului negara lain dalam teknologi kereta api berkelajuan tinggi yang memiliki purata kelajuan melebihi 300 kilometer per jam, menurut Railway Gazette International.

Di Malaysia, pengangkutan rel bermula sejak era penjajahan British, khususnya bagi mengangkut bijih timah, arang batu dan barang dagangan ke pelabuhan. Kini, perkhidmatan rel telah berkembang merangkumi KTM Komuter, electric train service (ETS), transit aliran ringan (LRT), transit laju massa (MRT) dan express rail link (ERL) yang menyumbang kepada kelancaran mobiliti rakyat dan pembangunan ekonomi negara. Kerajaan turut berusaha memperluas serta menaik taraf sistem rel bagi memenuhi keperluan masa hadapan seperti menilai semula cadangan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

Pengangkutan rel mempunyai keupayaan membawa jumlah penumpang yang banyak dalam satu-satu masa selain mempunyai kos operasi yang lebih rendah berbanding dengan pengangkutan jalan raya. Namun begitu, isu keselamatan tetap menjadi perhatian. Sebagai contoh, pada 9 April 2025, perkhidmatan KLIA Ekspres terganggu akibat kes jenayah pemotongan kabel yang menyebabkan kelewatan tren antara tujuh minit hingga sepuluh minit. Insiden seperti ini menuntut peningkatan kawalan keselamatan fizikal serta pemantauan berterusan terhadap infrastruktur rel. Langkah seperti penyelenggaraan sistematik, pemeriksaan berkala dan latihan berterusan kepada kakitangan juga amat penting untuk memastikan keselamatan operasi.

Menerusi kawalan keselamatan yang mantap, risiko kemalangan pengangkutan rel di Malaysia adalah rendah, iaitu 40 peratus kurang berkemungkinan berlaku berbanding dengan mod pengangkutan lain. Dari perspektif alam sekitar pula, pengangkutan rel menggunakan bahan api pada kadar yang lebih rendah daripada pengangkutan jalan raya, laut dan udara, sekali gus menghasilkan pelepasan karbon yang lebih rendah.

Selain itu, pengangkutan rel dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar utama. Sebagai contoh, sebuah gerabak KTM boleh memuatkan sekitar 150 hingga 200 penumpang, manakala satu tren penuh mampu membawa sekitar 1000 penumpang. Jumlah ini jauh lebih efisien berbanding dengan ratusan kenderaan persendirian yang lazimnya hanya membawa antara satu hingga lima orang penumpang.

Cabaran dan Transformasi Pengangkutan Rel di Malaysia

Pengangkutan rel di Malaysia berdepan dengan pelbagai cabaran yang memberikan kesan terhadap kecekapan, keselamatan dan kelestarian. Antara cabaran tersebut termasuklah kekangan pembiayaan bagi menampung kos penyelenggaraan.

Peruntukan yang terhad memaksa pihak pengurusan menangguhkan kerja penyelenggaraan berkala yang akhirnya menyebabkan kerosakan menjadi lebih serius dan kos pembaikan meningkat. Sebahagian besar tren dan kemudahan rel di Malaysia dibina pada tahun 1990-an dan sejak itu, hanya menerima sedikit peningkatan dari segi infrastruktur dan teknologi. Keadaan ini menyebabkan masalah seperti degradasi trek dan peralatan yang gagal berfungsi, sekali gus menjejaskan operasi harian serta meningkatkan risiko terhadap keselamatan penumpang.

Faktor penguatkuasaan dasar yang lemah turut menyumbang kepada situasi ini. Ketiadaan budaya keselamatan yang teratur dalam kalangan kakitangan pengangkutan rel menyebabkan banyak prosedur keselamatan tidak dilaksanakan dengan berkesan.

Sejak tahun 2000, beberapa insiden berprofil tinggi telah menimbulkan kebimbangan tentang tahap keselamatan kereta api, terutamanya di kawasan bandar. Walaupun pelbagai langkah telah dilaksanakan, masalah keselamatan masih berlaku, khususnya melibatkan perkhidmatan rel antara bandar dan jajaran rel bandar. Lebih merisaukan, kelewatan dalam mengenal pasti punca kerosakan menyukarkan proses pembaikan dan mengurangkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada penumpang.

Cabaran lain termasuklah infrastruktur dan aset lama yang tidak diperbaharui secara menyeluruh. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan kelewatan dan gangguan perkhidmatan, malah menyulitkan integrasi dengan sistem pengangkutan moden lain. Kerja penambahbaikan tren juga berpotensi menimbulkan pencemaran bunyi yang mengganggu penduduk setempat.

Isu yang lebih kompleks ialah kerosakan ekosistem akibat pembangunan atau naik taraf sistem rel yang tidak dirancang dengan teliti dari sudut kelestarian alam sekitar. Pembangunan tanpa penilaian impak alam sekitar yang menyeluruh boleh menyebabkan kemusnahan biodiversiti, pencemaran sungai, gangguan habitat hidupan liar dan konflik dengan komuniti setempat.

Kesemua cabaran ini saling berkait dan memerlukan perhatian yang serius daripada pihak berkaitan dengannya. Pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu perlu dirangka bagi memastikan sistem pengangkutan rel negara terus relevan dan berdaya saing dalam memenuhi keperluan rakyat serta menyokong kemajuan negara.

Penyelesaian Masalah Pengangkutan Rel

Perkembangan teknologi pada masa ini menjadikan sistem pengangkutan rel penting untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, khususnya di kawasan bandar. Walau bagaimanapun, pelbagai isu seperti infrastruktur yang usang, masalah keselamatan dan pencemaran alam sekitar menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna.

Situasi ini memerlukan penyelesaian yang komprehensif. Oleh sebab itu, beberapa strategi telah dikenal pasti untuk meningkatkan kecekapan dan kelestarian sistem rel di Malaysia.

a) Penggunaan teknologi hijau
Penggunaan teknologi hijau merupakan antara pendekatan utama dalam menaik taraf sistem pengangkutan rel. Peralihan daripada tren berkuasa diesel atau bahan api fosil kepada tren elektrik atau tren hibrid dapat mengurangkan pelepasan karbon yang menyumbang kepada kesan rumah hijau.

Negara seperti Jerman dan Korea Selatan telah mengaplikasikan tren hibrid yang terbukti berpotensi menjadikan sistem rel lebih mesra alam. Malaysia boleh mencontohi pendekatan ini, misalnya dengan memanfaatkan tenaga boleh baharu seperti tenaga solar di stesen rel, sebagaimana dilaksanakan dalam projek LRT di Lembah Klang.

b) Sistem pengangkutan pintar
Sistem pengangkutan pintar mengintegrasikan teknologi maklumat dan komunikasi untuk mengoptimumkan operasi dan meningkatkan kecekapan. Dalam konteks rel, gabungan kecerdasan buatan (AI) dan Internet benda (IoT) membolehkan pemantauan keadaan landasan dan tren secara masa nyata.

Kaedah ini memudahkan pengesanan awal kerosakan, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan gangguan jadual operasi. Pendekatan ini turut meningkatkan produktiviti penyelenggaraan kerana kerja dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan efisien.

c) Kerjasama awam–swasta (PPP)
Kerjasama awam–swasta merupakan kaedah yang berpotensi mempercepat pembangunan infrastruktur rel di Malaysia. Melalui pelaburan, pengendalian dan pembangunan bersama, sektor swasta dapat membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan dan pada masa yang sama meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek.

Model ini telah digunakan secara meluas di rantau Asia dan terbukti mampu menaik taraf sistem pengangkutan rel. Kerjasama ini turut membuka peluang bagi peluasan jaringan diplomatik dan pertumbuhan ekonomi negara.

d) Audit dan penilaian berkala
Pelaksanaan audit dan penilaian berkala adalah langkah penting untuk memastikan keberkesanan pengurusan aset dan infrastruktur rel. Infrastruktur rel sering terdedah kepada kerosakan akibat faktor cuaca dan beban penggunaan harian. Penilaian yang konsisten membolehkan masalah dikenal pasti lebih awal, sekali gus mengurangkan kos pembaikan. Sebagai contoh, laporan audit tahun 2018 menunjukkan bahawa KTMB menanggung kerugian hampir RM3 bilion yang sebahagiannya berpunca daripada ketidakcekapan pengurusan aset dan penyelenggaraan.

e) Pembangunan berorientasikan transit
Pembangunan berorientasikan transit merupakan strategi perancangan bandar yang memfokuskan pembangunan kawasan kediaman dan komersial berdekatan stesen pengangkutan awam. Pendekatan ini meningkatkan penggunaan pengangkutan rel dan mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian. Kajian di Malaysia mendapati bahawa akses yang baik kepada pengangkutan awam berupaya mempengaruhi perubahan tingkah laku pengguna untuk beralih kepada mod pengangkutan yang lebih efisien, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas.

f) Pelan pengurusan hidupan liar
Pembangunan atau naik taraf sistem rel berpotensi memberikan kesan terhadap ekosistem seperti yang berlaku dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Projek ini melibatkan pemisahan kawasan hutan yang menjejaskan habitat dan populasi haiwan liar. Pelan pengurusan hidupan liar diperkenalkan bagi mengatasi isu ini, antaranya melalui pembinaan koridor ekologi dan pemasangan pagar penghalang untuk melindungi spesies seperti gajah dan harimau. Langkah ini membantu mengurangkan risiko konflik antara pembangunan infrastruktur dengan kelestarian alam sekitar.

Kejuruteraan dan Matlamat Pembangunan Lestari

Jurutera memainkan peranan penting dalam memastikan sistem rel dibangunkan secara menyeluruh yang merangkumi aspek perancangan, pembinaan dan penyelenggaraan bagi mewujudkan rangkaian infrastruktur yang selamat, tahan lama dan cekap. Mereka terlibat secara langsung dalam pembinaan landasan, jambatan rel, terowong dan struktur stesen yang memerlukan ketepatan teknikal tinggi serta pertimbangan terhadap beban dinamik daripada tren. Dalam konteks semasa, tugas jurutera semakin tertumpu pada pendekatan lestari melalui penggunaan bahan binaan mesra alam, sistem saliran berkesan dan reka bentuk kalis gempa bumi di kawasan berisiko tinggi.

Integrasi teknologi moden seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dalam projek rel membolehkan simulasi dan analisis struktur dilakukan secara digital sebelum pembinaan dimulakan. Pendekatan ini menyokong keupayaan jurutera untuk menilai dan membangunkan sistem pengangkutan secara menyeluruh, berdasarkan pertimbangan teknikal, keselamatan dan kelestarian alam sekitar.

Pengangkutan rel bukan sahaja memberikan impak besar kepada aspek ekonomi dan sosial, malah turut menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015. Sistem rel yang cekap dan mesra alam berupaya menjimatkan masa dan kos, mengurangkan pencemaran udara, mengurangkan kesesakan lalu lintas, menjamin keselamatan pengguna serta merancakkan ekonomi setempat. Keberkesanan ini selaras dengan SDG 11: Bandar dan Komuniti Lestari.

Peningkatan sistem pengangkutan rel melalui teknologi dan perancangan juga dapat memperluas akses kepada perkhidmatan asas seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan. Akses ini amat penting bagi komuniti luar bandar, golongan B40 dan orang kurang upaya (OKU) yang sering berdepan dengan kekangan kemudahan pengangkutan yang selesa dan mampu milik. Penggunaan tren elektrik atau teknologi mesra alam turut menyumbang kepada SDG 13: Tindakan Terhadap Perubahan Iklim, melalui pengurangan pelepasan karbon dioksida dan pencemaran udara akibat penggunaan kenderaan bermotor persendirian.

Peranan jurutera dalam memastikan sistem rel yang holistik dan lestari melibatkan kerjasama pelbagai bidang kepakaran, termasuk kejuruteraan awam, mekanikal, elektrik dan teknologi maklumat. Jurutera awam bertanggungjawab terhadap pembinaan struktur fizikal dan keselamatan infrastruktur, manakala jurutera elektrik dan teknologi maklumat berperanan dalam sistem kawalan automatik dan keselamatan siber. Pengetahuan yang mendalam dalam setiap bidang ini amat penting bagi memenuhi kesejahteraan hidup masyarakat.

Aspek etika dan tanggungjawab sosial turut menjadi keutamaan. Jurutera perlu memastikan sistem rel bukan sahaja selamat dan berfungsi dengan baik, malah mesra pengguna, inklusif dan tidak meminggirkan golongan tertentu. Penyediaan ruang khas untuk OKU dan wanita di dalam tren misalnya, memberikan jaminan keselamatan dan keselesaan kepada pengguna berkenaan.

Kerjasama antara jurutera pelbagai disiplin dengan pihak berkepentingan merupakan kunci dalam melaksanakan teknologi pengangkutan rel yang canggih serta menyumbang kepada pembangunan bandar yang lestari, berdaya tahan dan berorientasikan rakyat. Kejayaan sistem pengangkutan rel dalam membentuk bandar dan komuniti lestari bergantung pada sejauh mana pendekatan kejuruteraan digabungkan dengan nilai kemanusiaan serta tanggungjawab terhadap alam sekitar dan masyarakat.

Secara keseluruhan, pengangkutan rel merupakan keperluan bagi negara yang berhasrat bergerak ke hadapan secara lestari. Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, komitmen serta pendekatan yang menyeluruh mampu membawa Malaysia ke arah memiliki sistem pengangkutan rel bertaraf dunia yang cekap, selamat, mesra alam dan inklusif.

Pengangkutan rel wajar dilihat sebagai nadi baharu yang menyokong pembangunan mampan, mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memelihara kelestarian alam sekitar. Melalui perancangan yang tepat dan kerjasama semua pihak, sistem rel berpotensi menjadi tonggak penting dalam membentuk masa hadapan mobiliti negara yang lebih sejahtera dan berdaya tahan.

 

Ts. Nur Faezah Yahya,
Felow Industri,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff,
Pensyarah Kanan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Profesor Madya Dr. Fauzan Mohd Jakarni,
Pensyarah Kanan,
Universiti Putra Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi