Diterbitkan pada 16 Ogos 2025, 13:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Sekolah Kebangsaan (SK) Darulaman Heights terus mengukir nama dalam bidang teknologi apabila berjaya mara ke Pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan (JAZRO CUP 2025) selepas dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kategori Sekolah Rendah Zon Utara.

Kejayaan tersebut dicapai dalam edisi pertama pertandingan yang menghimpunkan penyertaan dari empat negeri, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

JAZRO CUP 2025 merupakan platform inklusif yang menyokong pengajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan robotik kepada murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Pertandingan yang diiktiraf oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia itu diadakan untuk merapatkan jurang pendidikan antara bandar dengan luar bandar serta memperkasakan kemahiran teknologi dan pemikiran kreatif pelajar serta penyertaan pelajar diambil kira dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum.

Pertandingan akhir peringkat kebangsaan yang berlangsung dengan meriah di RekaScape, Cyberjaya itu menghimpunkan pasukan terbaik dari enam zon utama negara.

Jabatan Pendidikan Negeri Kedah turut memberikan sokongan penuh dengan menyediakan kemudahan pengangkutan bas untuk pelajar dan guru pembimbing. Pasukan SK Darulaman Heights dibimbing oleh Cikgu Sharif Luqman Hakim Sh Shuib, Cikgu Nor Alida Azmee dan Cikgu Zafirah Mahdzir.

Dalam kejohanan ini, SK Darulaman Heights menyertai empat kategori utama pada peringkat kebangsaan, iaitu Kategori Blazebot yang disertai oleh Arissa Zara Muhammad Hibatul Hakimi; Nur Afrina Najya Hamizi; Ahmad Asyraf Ali Ahmad Syamil; Muhammad Aqil Adryan Nazrul Anuar; Muhammad Isma Hasif Jamil dan Amzar Fahim Muhammad Nurfahmi.

Bagi Kategori Bytedroid pula, pelajar yang terlibat ialah Daniel Adib Saufi, Rizq Iskandar Abdul Razak, Fatimah Az-Zahra’ Muhamad Hasnan dan Nurliyana Huda Mohd Shahrulnizam.

Sementara itu, Muhammad Fahimuddin Roshidi dan Muhammad Isma Hadif Jamil menyertai Kategori Game of Drone Mission (GODM) dalam pertandingan berkenaan.

Akhir sekali, Kategori Storm Code (Pengekodan Inovasi) disertai oleh Nur Auni Amani Mohd Asri dan Auni Nazifa Mohd Akmal.

Hasil usaha gigih dan semangat berpasukan, SK Darulaman Heights berjaya meraih Johan bagi Kategori Storm Code (Pengekodan Inovasi) melalui gandingan mantap Nur Auni Amani Mohd Asri dan Auni Nazifa Mohd Akmal.

Sementara itu, pasukan Bytedroid yang diwakili oleh Daniel Adib Saufi, Rizq Iskandar Abdul Razak, Fatimah Az-Zahra’ Muhamad Hasnan dan Nurliyana Huda Mohd Shahrulnizam turut berjaya meraih naib johan dalam pertandingan tersebut.

Penyertaan para pelajar SK Darulaman Heights di JAZRO CUP 2025 menjadi bukti bahawa murid sekolah rendah juga mampu berdiri setanding dengan pesaing dari seluruh negara.

Kejayaan tersebut membuktikan komitmen SK Darulaman Heights dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah berkemahiran tinggi dalam teknologi dan inovasi.

Penyertaan para pelajar SK Darulaman Heights di JAZRO CUP 2025 menjadi bukti bahawa murid sekolah rendah juga mampu berdiri setanding dengan pesaing dari seluruh negara apabila diberikan peluang, bimbingan dan sokongan yang tepat.

Sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang dalam Pertandingan JAZRO CUP 2025.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi