Diterbitkan pada 14 Ogos 2025, 17:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Memorandum persefahaman (MoU) antara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Jerlun, Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Cawangan Perlis, Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Perlis dengan Universitas Islam Riau (UIR), Indonesia telah berjaya dimeterai di Bilik Latihan UiTM Cawangan Perlis.

Perjanjian ini bertujuan menggalakkan kerjasama dalam bidang inovasi, penyelidikan dan pembangunan, akademik, pembangunan modal insan serta pertukaran pengetahuan dan kepakaran antara sekolah, universiti tempatan dengan institusi antarabangsa.

Hasil pemeteraian MoU antara SMK Agama Jerlun dengan UiTM Cawangan Perlis memfokuskan inovasi digital, program bimbingan akademik, pembangunan bakat pelajar dan pendedahan awal kepada dunia pengajian tinggi.

SMK Agama Jerlun dan UiTM Cawangan Perlis memperkukuh hubungan akademik melalui pemeteraian MoA.

Selain itu, penandatanganan memorandum perjanjian (MoA) antara UiTM Cawangan Perlis dengan UIR memberikan penekanan kepada penyelidikan bersama, penerbitan akademik, pertukaran pelajar dan mobiliti antarabangsa.

Pemeteraian MoA antara UiTM Cawangan Perlis dengan UIR membuka lembaran baharu kerjasama pendidikan pada peringkat antarabangsa.

Kerjasama ini diyakini dapat mengangkat peranan SMK Agama Jerlun dan UiTM Cawangan Perlis dalam membina jaringan pendidikan pada peringkat tempatan dan antarabangsa.

Kejayaan majlis ini seiring dengan pencapaian Ts. Tuan Haji Mohammad Nor Azam Ahmad yang dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama bagi pembentangan inovasi dalam kategori 10 pembentang terbaik dalam Seminar Pendidikan Digital Zon Utara 2025.

Beliau juga dipilih oleh panel penilai kategori Kajian Tindakan dan Inovasi untuk mewakili Zon Utara dalam Seminar Pendidikan Digital Peringkat Kebangsaan pada Oktober 2025.

Majlis ini turut dihadiri oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor; Pengetua SMK Agama Jerlun, Ts. Tuan Haji Mohammad Nor Azam Ahmad; barisan pentadbir dan guru kanan sekolah; Ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri Perlis, wakil pengurusan tertinggi UiTM serta delegasi UIR.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi