Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLangkawi – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta United Nations Development Programme (UNDP) mengadakan lawatan kerja rasmi ke Stesen Penyelidikan Marin Universiti Teknologi MARA (UiTM MARES) di Pulau Tuba bagi menjalinkan kerjasama dalam inisiatif International Network of Sustainable Tourism Observatories (INSTO) Langkawi.
Langkawi kini dalam proses pencalonan sebagai destinasi perintis rangkaian INSTO di bawah United Nations World Tourism Organization (UN Tourism) yang membantu destinasi pelancongan memantau, mengukur dan mengurus kesan pelancongan terhadap ekonomi, alam sekitar dan sosial secara mampan.
Inisiatif ini seiring dengan usaha MOTAC untuk membangunkan sistem pemantauan pelancongan berasaskan bukti saintifik dan data terkini dengan peranan UNDP sebagai rakan pembangunan utama yang menyediakan kepakaran teknikal serta rangka kerja pemantauan selaras Matlamat Pembangunan Mampan.
UiTM MARES berperanan menyediakan data penyelidikan ekosistem marin dan pesisir pantai Langkawi untuk menilai kesan pelancongan terhadap biodiversiti, kesihatan ekosistem dan kualiti persekitaran marin.
Delegasi lawatan kerja ini diketuai oleh Pengurus Bahagian Pelancongan LADA, YBrs. Dr. Azmil Munif Mohd Bukhari bersama-sama Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar Pelancongan dan Hubungan Antarabangsa MOTAC, YBrs. Dr. Norwan Ahmad serta Ahli Ekonomi Pembangunan (Development Economist) UNDP, Puan Norhafiza Shafie.
Wakil UiTM MARES, YBrs. Ts. Dr. Jamil Tajam dan YBrs. Ts. Khairul Naim Abd. Aziz, menyampaikan taklimat mengenai peranan pusat penyelidikan ini, diikuti dengan lawatan ke kemudahan makmal kawasan kajian lapangan dan perbincangan tentang pembangunan indikator kelestarian pelancongan, kaedah pengumpulan data serta peluang latihan pelajar.

Menurut YBrs. Ts. Dr. Jamil, pencalonan Langkawi ke dalam rangkaian INSTO merupakan langkah penting bagi memastikan pembangunan pelancongan kekal berdaya saing pada peringkat antarabangsa dengan mengambil kira kelestarian alam sekitar.

Lawatan ini berakhir dengan komitmen semua pihak untuk memantapkan sistem pemantauan pelancongan Langkawi sejajar prinsip pelancongan bertanggungjawab dan kelestarian jangka panjang.