Diterbitkan pada 9 Ogos 2025, 21:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam masyarakat Malaysia yang semakin moden, isu kemandulan atau ketidaksuburan masih dianggap sebagai topik sensitif yang jarang-jarang dibincangkan secara terbuka. Namun begitu, realiti menunjukkan bahawa masalah ini mempengaruhi banyak pasangan di negara dan memerlukan pemahaman yang lebih mendalam serta sokongan yang menyeluruh daripada masyarakat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan ketidaksuburan sebagai kegagalan untuk mencapai kehamilan secara alami selepas 12 bulan atau lebih selepas melakukan hubungan seksual yang kerap dan tidak mengamalkan pencegah kehamilan. Bagi wanita yang berusia 35 tahun ke atas, tempoh ini dikurangkan kepada enam bulan kerana penurunan tahap kesuburan yang berkaitan dengan usia.

Secara umumnya, ketidaksuburan dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu primer dan sekunder. Ketidaksuburan primer merujuk pasangan yang tidak pernah berjaya hamil, manakala ketidaksuburan sekunder berlaku kepada mereka yang pernah hamil sebelum ini tetapi menghadapi kesukaran untuk hamil lagi. Data terkini menunjukkan bahawa kadar pertumbuhan ketidaksuburan sekunder telah melebihi ketidaksuburan primer yang menunjukkan perubahan dalam corak reproduktif masyarakat pada masa ini.

Punca ketidaksuburan boleh melibatkan pihak wanita, lelaki, kedua-duanya sekali, atau tidak dapat dikenal pasti. Oleh itu, penilaian yang menyeluruh terhadap kedua-dua pasangan amat penting dan tidak wajar hanya menumpukan pada satu pihak semata-mata.

Kelahiran cahaya mata yang dinanti menjadi anugerah terindah buat pasangan yang pernah diuji dengan cabaran kesuburan.

Realiti Sebenar Pasangan Mandul di Malaysia

Malaysia sedang berdepan dengan penurunan kadar kesuburan yang ketara. Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kesuburan total negara menurun kepada 1.7 kelahiran bagi setiap wanita berusia 15 hingga 49 tahun pada tahun 2023, berbanding dengan 1.6 pada tahun sebelumnya. Angka ini kekal di bawah paras penggantian penduduk, iaitu 2.1 kelahiran.

Data antarabangsa menunjukkan bahawa ketidaksuburan mempengaruhi kira-kira 15 peratus daripada pasangan dalam usia reproduktif di seluruh dunia dan Asia-Pasifik tidak terkecuali daripada trend ini. Di Malaysia, walaupun statistik khusus mengenai kadar ketidaksuburan tidak tersedia secara meluas dalam domain awam, para pakar perubatan menganggarkan bahawa masalah ini mempengaruhi antara 10 peratus hingga 15 peratus daripada pasangan Malaysia, selaras dengan trend global.

Kadar kesuburan total Malaysia pada tahun 2024.

Faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes ketidaksuburan dalam kalangan wanita, termasuklah trend perkahwinan dan kehamilan yang lewat, perubahan gaya hidup moden, tekanan kerja dan pencemaran alam sekitar. Selain itu, terdapat juga faktor peningkatan kes sindrom ovari polikistik (PCOS), gangguan ovulasi dan faktor genetik yang mempengaruhi kesuburan wanita.

Kemandulan lelaki pula boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kualiti sperma yang rendah, masalah hormon, jangkitan pada sistem pembiakan, kecacatan struktur organ reproduktif, gaya hidup tidak sihat seperti merokok dan alkohol, tekanan psikologi serta pendedahan kepada bahan kimia toksik dalam jangka masa panjang.

 

Cabaran Perubatan, Psikologi dan Stigma Masyarakat

Cabaran perubatan utama adalah untuk mengenal pasti punca sebenar ketidaksuburan, yang kadangkala rumit dan memerlukan masa yang lama. Sesetengah pasangan mungkin menghadapi pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah kesuburan mereka. Hal ini menjadikan rawatan menjadi lebih mencabar dan memerlukan pendekatan yang komprehensif.

Aspek psikologi dalam menghadapi ketidaksuburan juga tidak boleh dipandang remeh. Pasangan yang mengalami masalah kesuburan sering menghadapi tekanan emosi seperti perasaan bersalah, malu, marah, sedih dan putus asa. Proses rawatan kesuburan yang panjang, mahal dan tidak menentu boleh menyebabkan tekanan psikologi yang kronik.

Kesan psikologi ketidaksuburan turut mempengaruhi hubungan suami isteri. Tekanan untuk hamil boleh menjadikan hubungan intim sebagai suatu “tugas” berbanding dengan cara untuk menzahirkan kasih sayang. Situasi ini boleh merosakkan keintiman pasangan. Perbezaan dalam cara menangani tekanan antara suami dan isteri juga boleh menyebabkan konflik dalam rumah tangga.

Pasangan perlu membincangkan permasalahan yang dihadapi secara telus.

Di Malaysia, stigma sosial yang berkaitan dengan ketidaksuburan masih lagi kuat, terutamanya dalam masyarakat yang mengutamakan keturunan dan kesinambungan keluarga. Pasangan yang tidak mempunyai anak selepas beberapa tahun perkahwinan sering menghadapi pertanyaan yang tidak sensitif, nasihat yang tidak diminta dan dalam beberapa kes, tekanan untuk berkahwin lagi atau mengambil anak angkat.

Stigma ini sering kali lebih berat ditanggung oleh wanita yang secara tradisionalnya dianggap bertanggungjawab untuk melahirkan anak. Mitos dan kepercayaan yang salah seperti anggapan bahawa ketidaksuburan adalah hukuman atau disebabkan oleh tersalah pilih pasangan, turut memperburukkan situasi.

Membina Masyarakat yang Lebih Terbuka dan Menyokong

Langkah pertama dalam membina masyarakat yang lebih memahami adalah melalui pendidikan dan peningkatan kesedaran. Masyarakat perlu memahami bahawa ketidaksuburan adalah masalah perubatan yang boleh menimpa sesiapa sahaja dan bukannya sesuatu yang perlu dipersalahkan atau disorokkan.

Program kesedaran awam perlu dijalankan secara berterusan untuk meningkatkan pemahaman tentang faktor yang mempengaruhi kesuburan, pilihan rawatan yang tersedia dan cara untuk memberikan sokongan kepada mereka yang terjejas. Media massa dan platform digital pula boleh digunakan untuk menyebarkan maklumat yang tepat dan menghapuskan mitos yang wujud dalam masyarakat.

Masyarakat juga perlu dididik tentang kepentingan menggunakan bahasa yang berempati apabila berinteraksi dengan pasangan yang mengalami masalah kesuburan. Masyarakat perlu mengelakkan pertanyaan peribadi seperti, “Bila nak dapat anak?” atau memberikan nasihat yang tidak diminta seperti, “Mungkin awak stress sangat”.

Sebaliknya, masyarakat perlu dididik untuk menawarkan sokongan emosi yang ikhlas, mendengar tanpa menghakimi dan menghormati privasi pasangan tersebut. Kadangkala, hanya mengetahui bahawa ada orang yang memahami dan menyokong mereka sudah cukup bermakna bagi pasangan yang menghadapi cabaran ini.

Dalam hal ini, komuniti tempatan, termasuklah organisasi keagamaan, persatuan kejiranan dan kumpulan sokongan boleh memainkan peranan dalam memberikan sokongan kepada pasangan yang mengalami masalah kesuburan. Matlamat ini boleh dicapai dengan membentuk kumpulan sokongan yang membolehkan pasangan berkongsi pengalaman dan saling memberikan galakan bagi mengurangkan perasaan terpencil yang sering dialami.

Kepentingan Komunikasi dan Rawatan

Komunikasi yang terbuka dan jujur antara pasangan adalah asas yang penting dalam menghadapi cabaran ketidaksuburan. Pasangan perlu berunding tentang perasaan, kebimbangan, harapan dan keputusan berkaitan dengan rawatan. Menetapkan had dalam rawatan, membincangkan aspek kewangan dan merancang alternatif lain juga perlu dibincangkan dengan terbuka.

Komunikasi yang berkesan dengan pasukan perubatan juga penting. Pasangan perlu selesa bertanya soalan, memahami pilihan rawatan, mengetahui risiko dan kebarangkalian kejayaan serta mendapat maklumat yang cukup untuk membuat keputusan yang tepat.

Selain rawatan perubatan, sokongan psikologi profesional sering diperlukan untuk membantu pasangan menangani aspek emosi ketidaksuburan. Kaunselor yang terlatih dalam isu kesuburan boleh membantu pasangan mengembangkan strategi mengatasi tekanan, memperbaik komunikasi dan membuat keputusan yang selaras dengan nilai dan matlamat mereka.

Terapi pasangan juga boleh membantu mengekalkan hubungan yang sihat semasa menjalani rawatan kesuburan yang mencabar. Ahli profesional dalan bidang kesihatan mental boleh membantu menangani isu seperti kemurungan, kebimbangan dan trauma yang mungkin berkaitan dengan pengalaman ketidaksuburan atau keguguran.

Pilihan Rawatan Kesuburan dan Sokongan Kewangan di Malaysia

Bagi pasangan yang berhadapan dengan masalah kesuburan, berita baiknya ialah Malaysia kini mempunyai pelbagai pilihan rawatan yang maju dan mudah diakses. Tidak mengira sama ada masalahnya melibatkan wanita atau lelaki, terdapat jalan penyelesaian yang sesuai untuk setiap situasi.

Perjalanan rawatan kesuburan biasanya bermula dengan pendekatan yang paling mudah. Ubat-ubatan kerap digunakan untuk membantu wanita yang mengalami masalah ovulasi. Bagi lelaki yang menghadapi isu kualiti sperma, rawatan hormon atau pembedahan kecil mungkin diperlukan.

Sekiranya rawatan asas tidak berkesan, teknologi yang lebih canggih tersedia seperti inseminasi intrauterin (IUI), iaitu prosedur sperma yang telah diproses dimasukkan terus ke dalam rahim. Bagi kes yang lebih kompleks, persenyawaan in-vitro (IVF) atau suntikan sperma intrasitoplasma (ICSI) menjadi pilihan. Selain itu, teknologi diagnosis genetik praimplantasi turut ditawarkan untuk memastikan embrio kekal sihat.

Kos rawatan kesuburan sememangnya tinggi, namun terdapat bantuan kewangan yang boleh dimanfaatkan. Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh membuat pengeluaran melalui skim Pengeluaran Kesihatan. Hospital kerajaan juga menawarkan rawatan asas pada kos lebih rendah walaupun tempoh menunggu mungkin panjang. Yayasan seperti Tunku Azizah Fertility Foundation pula menyediakan bantuan kewangan kepada pasangan yang kurang berkemampuan.

Peranan Media dalam Pendidikan Masyarakat

Media massa, khususnya drama televisyen berupaya mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap isu ketidaksuburan. Industri hiburan tempatan kini lebih terbuka dalam mengangkat isu yang sebelum ini dianggap tabu.

Satu daripada contoh tersebut termasuklah drama Mandul Bukan Pilihan, lakonan Hun Haqeem dan Mira Filzah yang memaparkan realiti pasangan yang berdepan dengan masalah kemandulan. Selain memberikan hiburan, drama ini berfungsi sebagai medium pendidikan yang memudahkan penonton memahami cabaran sebenar pasangan di Malaysia.

Hun Haqeem sebagai pelakon utama turut menggunakan platform tersebut untuk menyampaikan mesej agar lelaki menjalani ujian kesuburan dan mematahkan mitos bahawa kemandulan hanya berpunca daripada wanita. Drama ini menampilkan gambaran seimbang yang menunjukkan bahawa ketidaksuburan memerlukan sokongan bersama.

Penceritaan yang menyeluruh melibatkan perspektif wanita, lelaki, keluarga dan masyarakat membantu penonton memahami bahawa ketidaksuburan adalah cabaran perubatan dan bukan kegagalan peribadi. Drama ini secara tidak langsung menormalkan perbincangan topik tersebut, lalu mendorong penonton untuk lebih terbuka mencari bantuan jika berdepan situasi dengan yang sama.

Selain itu, drama ini memperkenalkan pelbagai pilihan rawatan dan bentuk sokongan yang tersedia di Malaysia. Perkara ini memberikan harapan kepada mereka yang berputus asa atau tidak tahu saluran bantuan yang wajar.

Secara keseluruhannya, ketidaksuburan ialah realiti yang dihadapi oleh ramai pasangan di Malaysia dan memerlukan pendekatan yang holistik yang melibatkan aspek perubatan, psikologi, sosial dan sokongan masyarakat. Pemahaman yang lebih mendalam tentang isu ini, digabungkan dengan sikap yang lebih terbuka dan menyokong daripada masyarakat dapat membantu mengurangkan stigma dan memberikan persekitaran yang lebih kondusif bagi pasangan yang menghadapi cabaran ini.

Kemajuan teknologi perubatan, ketersediaan rawatan di Malaysia, dan bantuan kewangan daripada pelbagai pihak membolehkan impian untuk menimang cahaya mata direalisasikan. Yang lebih utama ialah masyarakat perlu terus berusaha untuk menjadi lebih memahami, peka dan menyokong mereka yang memerlukan bantuan dalam perjalanan untuk merealisasikan impian menjadi ibu bapa.

 

Nor Faiza Mohd. Tohit,
Pakar Perubatan Kesihatan Awam,
Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi