Diterbitkan pada 7 Ogos 2025, 18:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Seorang pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Encik Umar Farook Saadon telah mengharumkan nama jabatan apabila dinobatkan sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik dalam Kursus Combat Medic Siri 4/2025 yang dianjurkan oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Encik Umar Farook Saadon wakil tunggal dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang menyertai Kursus Combat Medic Siri 4/2025.

Kursus intensif yang berlangsung dari 1 Julai 2025 hingga 9 Ogos 2025 di Kompeni Bravo, Batalion Kedua Perubatan, Sungai Petani, Kedah itu bertujuan untuk melatih pegawai sokongan perubatan medan yang cekap dalam memberikan rawatan kecemasan serta sokongan hayat dalam situasi operasi ketenteraan dan kecemasan ekstrem.

Sebanyak 29 orang peserta telah menyertai kursus ini dan terdiri daripada pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan negara, misalnya seorang wakil dari JBPM, seorang dari Tentera Udara Diraja Malaysia, seorang lagi dari Unit Tindak Khas Polis Diraja Malaysia dan 26 orang dari Tentera Darat Malaysia.

Walaupun satu-satunya wakil dari JBPM, Encik Umar Farook Saadon telah membuktikan kemampuannya dengan menonjol dari segi akademik, kemahiran praktikal, kepimpinan serta ketahanan fizikal dan mental.

Kecemerlangan beliau sepanjang kursus telah melayakkannya menerima anugerah tertinggi sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik yang merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bukan sahaja bagi beliau secara peribadi, tetapi untuk seluruh warga JBPM.

Kredit Foto: JBPM Kuala Lumpur.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi