Diterbitkan pada 6 Ogos 2025, 15:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada Julai 2025, media tempatan melaporkan penularan sebuah video yang memaparkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kononnya mempromosikan satu skim pelaburan dalam titah baginda kepada rakyat. Sekilas pandang, video tersebut tampak meyakinkan kerana lengkap dengan mimik wajah, intonasi suara dan susunan kata-kata yang menyerupai gaya komunikasi baginda. Namun demikian, video tersebut dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi palsu tulen (deepfake) berasaskan kecerdasan buatan yang canggih dan berpotensi memperdaya masyarakat untuk mempercayai kandungan yang dipaparkan.

Susulan penularan video itu, Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor segera mengeluarkan kenyataan melalui laman Facebook rasmi bagi menasihati orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan akaun palsu. Penjenayah siber kini semakin licik, menyalahgunakan wajah dan suara individu berprofil tinggi untuk tujuan penipuan, khususnya dalam platform media sosial.

Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengesahkan kewujudan sebuah video berdurasi 32 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok. Video itu memperlihatkan seolah-olah baginda Yang di-Pertuan Agong menyampaikan ucapan berkenaan tawaran bantuan kewangan dan menggesa rakyat yang menghadapi masalah kewangan agar menghubungi seorang individu berpangkat Datuk. PDRM menegaskan bahawa video tersebut adalah palsu sepenuhnya dan dicipta dengan menggunakan teknologi palsu tulen yang bertujuan menipu serta memperdaya masyarakat.

Kes seperti ini bukanlah kes terpencil mahupun baharu. Sebelum ini, tular juga video pelaburan palsu yang menggunakan wajah dan suara dua tokoh terkenal negara, iaitu penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan usahawan media sosial terkenal, Khairul Aming. Nama serta pengaruh mereka dimanipulasi dalam kandungan promosi digital palsu bagi memperdaya orang ramai menyertai pelaburan yang tidak wujud.

Keadaan ini memberikan amaran yang jelas, iaitu teknologi palsu tulen  telah berkembang menjadi satu bentuk ancaman yang nyata yang menggugat kepercayaan awam, mencemar reputasi dan membuka ruang kepada penipuan berskala besar. Masyarakat perlu lebih cakna dan berhati-hati. Dalam era digital tanpa sempadan ini, perkara yang dilihat dan didengar, belum tentu benar.

Palsu Tulen

Palsu tulen merujuk kandungan media seperti gambar dan video yang dihasilkan atau diubah suai dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan, khususnya algoritma pembelajaran mendalam. Teknologi ini membolehkan wajah, suara dan pergerakan seseorang ditiru pada tahap ketepatan yang sangat tinggi sehingga tampak seolah-olah sahih.

Asalnya digunakan dalam bidang sinematografi dan hiburan untuk menghasilkan kesan visual yang lebih realistik, teknologi ini kini berkembang dengan pesat dan semakin sukar dikenal pasti oleh mata kasar. Dalam kalangan masyarakat umum yang tidak terdedah kepada kemahiran analisis kandungan digital, kandungan palsu seperti ini boleh diterima sebagai benar tanpa sebarang keraguan.

Ancaman Palsu Tulen terhadap Kewangan dan Keselamatan

Dalam konteks global, teknologi palsu tulen telah digunakan dalam jenayah kewangan yang bersifat canggih dan sukar dikesan. Satu daripada kes yang mendapat perhatian dunia berlaku di Hong Kong, apabila seorang eksekutif kewangan diperdaya untuk memindahkan wang sebanyak 25 juta dolar Amerika Syarikat.

Mangsa menerima panggilan video yang kelihatan sah daripada Ketua Pegawai Kewangan syarikatnya. Wajah dan suara yang dipaparkan dalam panggilan itu sebenarnya dipalsukan dengan menggunakan teknologi palsu tulen. Kejadian ini membuktikan bahawa tanpa langkah pengesahan yang kedua, sesiapa sahaja berisiko menjadi mangsa penipuan berasaskan visual dan audio yang dimanipulasi.

Apabila masyarakat terkeliru antara kandungan yang tulen dan yang palsu, ruang untuk eksploitasi semakin terbuka. Penjenayah memanfaatkan kekeliruan ini untuk menjalankan penipuan secara halus, lalu menjadikan kepercayaan awam sebagai alat utama untuk memperdaya.

Implikasi terhadap Keselamatan dan Pertahanan Negara

Penggunaan teknologi palsu tulen dalam konteks keselamatan bukan lagi andaian, sebaliknya telah terbukti melalui beberapa insiden antarabangsa. Pada tahun 2022, tular sebuah video palsu yang memaparkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy kononnya menyeru tenteranya agar menyerah kalah kepada Rusia ketika konflik sedang memuncak. Walaupun kandungan tersebut disahkan sebagai palsu, penyebarannya sempat mencetuskan kebimbangan besar kerana mampu meruntuhkan semangat juang pasukan keselamatan serta menggoyahkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negara.

Insiden seumpama ini tidak terhad kepada satu kawasan sahaja. Di rantau Asia Tenggara, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. turut menjadi sasaran apabila rakaman audio palsu yang mendakwa beliau mengeluarkan arahan ketenteraan yang tidak pernah dibuat tersebar dalam kalangan masyarakat. Walaupun situasi tersebut berjaya dikawal melalui penafian rasmi oleh Pejabat Presiden, penyebaran awal kandungan tersebut hampir mencetuskan kekeliruan dalam kalangan anggota tentera dan masyarakat awam.

Kedua-dua kes ini menunjukkan teknologi palsu tulen mempunyai keupayaan untuk menghasilkan mesej, audio, imej dan video yang tampak sahih apabila dikaitkan dengan tokoh berprofil tinggi. Kebergantungan masyarakat terhadap maklumat visual dan suara yang dipercayai autentik menjadikan teknologi ini senjata baharu yang boleh digunakan untuk tujuan manipulasi. Dalam konteks keselamatan negara, implikasinya sangat besar seperti eksploitasi strategi ketenteraan, penyebaran propaganda secara halus, peningkatan ketegangan diplomatik serta risiko tercetusnya konflik antara negara yang berpunca daripada maklumat yang dimanipulasi.

Ancaman terhadap Kestabilan Politik

Di samping keselamatan dan pertahanan, kestabilan politik turut menjadi medan baharu yang terdedah kepada manipulasi media palsu tulen. Di Amerika Syarikat, menjelang pilihan raya presiden tahun lalu, beberapa video palsu yang disebarkan bertujuan menjejaskan reputasi calon tertentu dan mengelirukan pengundi. Penyebaran kandungan sebegini boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya tanpa dikesan dengan jelas.

Situasi yang serupa turut direkodkan di India semasa kempen pilihan raya umum 2024. Beberapa calon dan parti politik didapati menggunakan video palsu tulen sebagai alat promosi, termasuklah video alih bahasa yang mengubah kandungan asal ucapan calon, promosi palsu oleh selebriti dan kandungan kempen yang menggambarkan pemimpin yang telah meninggal dunia seolah-olah masih hidup dan menyokong parti tertentu. Teknologi ini dimanfaatkan bagi membina pengaruh dan meraih sokongan secara manipulatif.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada risiko ini. Dalam konteks politik tempatan, penyebaran video palsu yang memaparkan tokoh politik menyuarakan pandangan yang bertentangan dengan pendirian asal mereka boleh menimbulkan kekeliruan. Meskipun pada masa ini kebanyakan video disunting dalam bentuk satira atau “suntingan kreatif”, potensi untuk disalah tafsir atau dimanipulasi tetap wujud. Apabila keraguan mula berakar dalam kalangan masyarakat, keyakinan terhadap sistem politik negara akan terjejas.

Pendekatan Menangani Ancaman Palsu Tulen

Menghadapi ancaman yang semakin kompleks ini, pendekatan pencegahan dan kawalan perlu digerakkan secara menyeluruh melalui penglibatan pelbagai pihak. Antara langkah yang boleh dijadikan sebagai asas tindakan adalah seperti yang berikut:

Memperkukuh literasi digital dalam kalangan masyarakat

Individu perlu dilengkapkan dengan kemahiran untuk mengenal pasti kandungan digital yang mencurigakan. Pendidikan berkaitan dengan penilaian sumber, semakan fakta dan kepekaan terhadap teknik manipulasi visual serta audio wajar diterapkan sejak peringkat awal menerusi sistem pendidikan formal mahupun inisiatif komuniti. Amalan menyemak kesahihan kandungan sebelum mempercayai atau menyebarkannya perlu dijadikan budaya harian.

Memperjelas dan menegaskan peruntukan undang-undang

Malaysia memerlukan kerangka perundangan khusus yang dapat menangani penyebaran kandungan palsu tulen, terutamanya berkaitan unsur penipuan, fitnah dan ancaman keselamatan. Sebagai rujukan, Denmark baru-baru ini meluluskan undang-undang hak cipta yang melindungi penggunaan wajah dan suara individu daripada dimanipulasi tanpa kebenaran, termasuklah dalam kandungan berasaskan kecerdasan buatan.

Membangunkan teknologi pengesanan kandungan digital
Institusi penyelidikan dan syarikat teknologi tempatan perlu digalakkan untuk menghasilkan sistem yang mampu mengenal pasti kandungan palsu tulen dengan ketepatan tinggi. Buat permulaan, kerjasama dengan pihak luar yang memiliki kepakaran dalam bidang ini boleh dimanfaatkan sebelum teknologi tempatan dibangunkan secara menyeluruh.

Menggalakkan pelaporan awam dan respons segera
Masyarakat umum mempunyai peranan penting dalam membendung penularan kandungan palsu. Sebarang kandungan mencurigakan perlu dilaporkan segera kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), PDRM atau agensi berkaitan dengannya agar siasatan awal dapat dijalankan dan penyebaran dapat dihentikan sebelum mendatangkan kesan yang lebih luas.

Memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa.
Memandangkan isu ini bersifat rentas sempadan, kerjasama global amat diperlukan. Perkongsian kepakaran, maklumat serta pembentukan norma keselamatan digital serantau boleh menjadi benteng bersama dalam menghadapi penyalahgunaan teknologi yang semakin berkembang ini.

Kesimpulannya, teknologi palsu tulen kini muncul sebagai cabaran besar yang merentasi dimensi sosial, politik dan keselamatan. Jika dibiarkan tanpa kawalan yang tuntas, teknologi ini berpotensi menggugat kestabilan institusi, menjejaskan kredibiliti maklumat dan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negara.

Sehubungan dengan itu, langkah proaktif perlu segera digerakkan melalui pembentukan dasar yang jelas, pemerkasaan literasi digital dalam kalangan masyarakat serta pembangunan sistem teknologi yang mampu menyokong pengesanan dan pencegahan kandungan manipulatif. Segala usaha ini penting bagi memastikan sempadan antara realiti dan kepalsuan tidak terus kabur dalam persekitaran maklumat semasa yang semakin kompleks dan terdedah kepada manipulasi teknologi.

Wan Nurhidayat Wan Muhamad,
Pusat Peperangan Elektronik, Informasi dan Siber,
Cranfield University, United Kingdom.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi