Diterbitkan pada 15 Julai 2025, 12:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Inisiatif pendigitalan perkhidmatan kawal selia oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah menerima pengiktirafan antarabangsa atas kejayaannya mempercepatkan proses permohonan dan kelulusan peranti perubatan di Malaysia.

Ketua Eksekutif MDA, Dr. Muralitharan Paramasua menjelaskan bahawa MDA merupakan sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertanggungjawab mengawal selia semua peranti perubatan dalam pasaran tempatan.

Menurut beliau, sebelum pendigitalan diperkenalkan sebahagian besar perkhidmatan MDA yang ditubuhkan pada tahun 2012 dilaksanakan secara manual dan hanya sebahagian kecil berasaskan sistem elektronik.

Namun begitu, katanya, menerusi transformasi digital yang menyeluruh, semua perkhidmatan kini telah beralih sepenuhnya kepada sistem digital.

Perubahan ini telah mempercepatkan proses pendaftaran dan penjualan produk perubatan secara signifikan.

Dr. Muralitharan Paramasua memperincikan pencapaian MDA dalam mempercepat kelulusan peranti perubatan melalui pendigitalan.

“Sebelum ini, proses pendaftaran mengambil masa antara tiga hingga enam bulan. Kini, dengan sistem digital, pendaftaran peranti perubatan Kelas A boleh diselesaikan dalam tempoh 14 hari, manakala bagi Kelas B, C dan D pula hanya mengambil masa sekitar 30 hari,” hurai beliau.

“Hal ini menjadikan perkhidmatan kami antara yang terpantas di dunia,” ujar beliau ketika bercakap di dalam slot Selamat Pagi Malaysia di RTM.

Pada masa yang sama, beliau mengakui bahawa kejayaan ini turut diperkukuh melalui penguatkuasaan yang berkesan dan perancangan jangka panjang yang dirancang oleh agensi.

Dalam konteks jangka masa panjang ujarnya, inisiatif pendigitalan ini memberikan manfaat yang besar kepada rakyat apabila rawatan perubatan terkini dapat dinikmati dengan lebih pantas dan diyakini dari segi kualiti serta keselamatan peranti yang digunakan.

“Keberkesanan sistem ini turut memberikan impak langsung kepada sistem kesihatan negara apabila rakyat Malaysia dapat mengakses teknologi peranti perubatan terkini dengan lebih cepat dan berkesan berbanding dengan negara lain,” katanya.

Satu daripada inisiatif utama MDA ialah pelaksanaan Medical Device Centralised Application System (MeDC@St) 3.0, iaitu sebuah sistem permohonan peranti perubatan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, sistem ini bukan sahaja lebih mesra pengguna, malah berjaya mengurangkan tempoh permohonan kepada sepuluh hari atau kurang, khususnya bagi peranti kategori rendah risiko.

Atas kejayaan tersebut, MDA telah menerima Anugerah Inisiatif Pendigitalan Tahunan dalam Govmedia Conference & Awards 2025 yang berlangsung di Singapura pada Jun lalu.

Dalam persidangan itu, MDA turut berkongsi pengalaman serta amalan terbaik bersama pengamal perubatan antarabangsa, sekali gus menjadikan MDA sebagai rujukan utama dalam aspek pengawalseliaan peranti perubatan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi