Diterbitkan pada 7 Julai 2025, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jalan raya berperanan penting sebagai laluan utama untuk pergerakan manusia, kenderaan dan barangan, sekali gus menjadi tunjang kepada kelancaran aktiviti ekonomi, sosial serta pembangunan negara. Dalam kehidupan harian, permukaan jalan raya yang lazimnya berwarna hitam sudah menjadi pemandangan biasa. Namun demikian, tidak banyak yang benar-benar mengetahui punca jalan raya berwarna sedemikian. Apakah bahan yang menjadikan jalan raya hitam dan mengikat pelbagai saiz agregat pada permukaannya?

Jawapannya terletak pada bahan yang dikenali sebagai bitumen. Bitumen ialah bahan utama yang digunakan dalam pembinaan jalan raya dan bertindak sebagai pengikat dalam campuran turapan. Di sesetengah negara, khususnya di Amerika Utara, istilah asfalt atau asphalt digunakan untuk merujuk bahan yang sama.

Bitumen: Komponen Asas Pembinaan Jalan Raya

Bitumen merupakan bahan asas yang amat penting dalam industri pembinaan moden, khususnya dalam sektor kejuruteraan jalan raya. Bahan ini ialah sejenis bahan hidrokarbon yang likat serta berwarna hitam atau coklat gelap yang diperoleh sama ada secara semula jadi atau sebagai hasil sampingan daripada proses penyulingan minyak mentah.

Dalam konteks pembinaan jalan, bitumen digunakan antara lima peratus hingga lapan peratus sebagai bahan pengikat dalam campuran asfalt. Bahan ini memainkan peranan penting dalam menghasilkan permukaan turapan yang kuat, fleksibel, mempunyai daya lekatan tinggi dan tahan terhadap kelembapan. Keupayaan bitumen untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan iklim serta menampung beban trafik menjadikan bitumen sebagai pilihan utama dalam pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur pengangkutan.

Sejarah dan Asal Usul Istilah Bitumen

Perkataan bitumen sebenarnya memiliki sejarah yang panjang dan dapat dijejaki hingga ke zaman purba. Istilah ini dikatakan berasal daripada bahasa Sanskrit, melalui perkataan jatu yang membawa maksud “padang tar”, manakala jatu-krit yang bermaksud “penghasil padang tar” merujuk bahan melekit yang diperoleh daripada pokok bergetah.

Dalam bahasa Latin, perkataan gwitu-men atau pixtu-men dipercayai menjadi asas kepada istilah bitumen, sebelum diserap ke dalam bahasa Inggeris melalui pengaruh bahasa Perancis. Dalam tamadun Yunani Purba pula, istilah asphaltos digunakan untuk merujuk bahan yang serupa yang akhirnya mempengaruhi pembentukan perkataan asphalt dalam bahasa Inggeris moden.

Penggunaan bitumen bukanlah perkara baharu dalam sejarah manusia, malah pelbagai rekod kuno dan teks sejarah telah mendokumentasikan penggunaannya dalam pelbagai aspek kehidupan. Penulis Yunani terkenal, Herodotus misalnya, ada menyebut tentang penggunaan bahan ini. Bitumen turut disebut dalam teks keagamaan seperti Kitab Injil dan Al-Quran.

Dikatakan bahawa Nabi Nuh A.S. menggunakan bitumen dalam pembinaan bahtera yang kalis air, manakala Nabi Musa A.S. dihanyutkan di Sungai Nil semasa bayi di dalam sebuah bakul yang dilapisi bitumen untuk mengelakkan kemasukan air. Selain itu, bitumen juga digunakan dalam pembinaan empangan, laluan air serta sebagai bahan pelekat dalam seni bina purba.

Dari perspektif sejarah, penggunaan bitumen telah direkodkan sejak seawal tahun 6000 Sebelum Masihi. Di Sumeria, kegiatan pembinaan kapal yang pesat menggunakan bitumen semula jadi yang diperoleh daripada rembesan di permukaan tanah. Di Lembah Indus yang kini terletak di Pakistan, terdapat sebuah tangki air kuno yang bertarikh sekitar tahun 3000 Sebelum Masihi. Tangki tersebut masih terpelihara dengan baik dan dindingnya dibina dengan menggunakan blok batu yang dilekatkan dengan bitumen semula jadi. Tambahan pula, terdapat teras menegak bitumen di tengah-tengah dinding yang menandakan penggunaan teknologi kalis air pada zaman tersebut.

Nebukadnezar, pemerintah terkenal Empayar Babilonia turut dikenali sebagai antara tokoh awal yang menggunakan bitumen dalam pembinaan. Terdapat bukti bahawa beliau menggunakan bitumen sebagai bahan pengalis air untuk struktur batu di istananya, selain digunakan sebagai bahan pengisi di antara batu jalan.

Bitumen juga dikaitkan dengan amalan keagamaan dan pengurusan jenazah. Dalam kalangan masyarakat Mesir Purba sekitar tahun 2600 Sebelum Masihi, proses mumifikasi dilaporkan menggunakan bahan yang dipercayai sebagai bitumen kerana sifatnya yang mampu mengawet. Walaupun masih wujud perdebatan dalam kalangan ahli arkeologi sama ada bahan yang digunakan ialah bitumen atau resin, catatan sejarah menunjukkan peranan penting bahan ini dalam mengekalkan mayat firaun.

Sumber dan Pembentukan Bitumen

Sehingga hari ini, bitumen terus menjadi bahan utama dalam pembinaan jalan raya moden. Lebih daripada 90 peratus jalan raya utama di seluruh dunia menggunakan bitumen sebagai bahan utama turapan. Penggunaannya kekal relevan kerana ciri fizikalnya yang sesuai untuk menampung tekanan dan menahan cuaca pelbagai iklim.

Bitumen boleh diperoleh daripada dua sumber utama, iaitu bitumen semula jadi dan bitumen buatan. Bitumen semula jadi wujud dalam bentuk tasik bitumen seperti yang terdapat di Trinidad, selain mendapan bitumen yang tersebar di dalam batuan sedimen di pelbagai lokasi di dunia.

Bitumen terbentuk secara geologi melalui proses jangka panjang apabila hidrokarbon berat daripada minyak mentah terperangkap dalam batuan, lalu kehilangan komponen ringan akibat pelarutan dan terdedah kepada oksigen, haba serta tekanan tinggi. Proses ini menghasilkan bahan yang likat, gelap, tahan terhadap cuaca dan sesuai digunakan sebagai bahan pengikat serta pelindung kalis air.

Sebaliknya, bitumen buatan pula dihasilkan sebagai hasil sampingan daripada proses penyulingan minyak mentah. Meskipun secara kimia berbeza sedikit daripada bitumen semula jadi, bitumen buatan tetap mengekalkan ciri utama yang diperlukan untuk aplikasi kejuruteraan, khususnya dalam sektor pembinaan jalan.

Lokasi Utama Simpanan Bitumen Semula Jadi

Antara contoh bitumen semula jadi yang paling terkenal di dunia termasuklah di Tasik Pitch di Trinidad dan Tobago. Tasik ini merupakan satu daripada simpanan bitumen semula jadi terbesar dan dianggarkan meliputi keluasan sekitar 500 000 meter persegi dengan kedalaman mencapai 90 meter. Simpanan bitumen di tasik ini dianggarkan mencecah 15 juta tan.

Selain itu, Tasik Asfalt di Bermudez, Venezuela turut mencatatkan jumlah simpanan bitumen yang besar. Tasik ini meliputi kawasan seluas kira-kira 4 000 000 meter persegi dengan kedalaman sekitar tiga meter dan mengandungi lebih enam juta tan bitumen semula jadi.

Formasi batuan berbitumen di Alberta, Kanada pula dikenali sebagai minyak pasir (oil sands) dan menjadi antara sumber utama bitumen semula jadi. Dalam simpanan ini, bitumen terperangkap di dalam pasir silika dan perlu diekstrak melalui kaedah fizikal serta kimia. Di Asia Tenggara, Pulau Buton di Indonesia turut dikenali sebagai sumber bitumen semula jadi. Aspal Buton atau ringkasnya Asbuton, ialah bahan mineral padat yang mengandungi campuran bitumen dan batuan serta digunakan sebagai alternatif kepada bitumen petroleum.

Kemunculan Bitumen Petroleum dan Implikasi Alam Sekitar

Walaupun bitumen semula jadi mempunyai sejarah penggunaan yang panjang, kepentingannya dalam industri semakin berkurangan sejak pengenalan bitumen petroleum. Bitumen petroleum lebih seragam dari segi kualiti dan lebih mudah dikendalikan, lalu menjadikannya pilihan utama dalam industri pembinaan moden. Namun begitu, minat terhadap sumber semula jadi ini masih kekal, terutamanya di Kanada, apabila pengekstrakan bitumen daripada minyak pasir telah menjadi sektor industri utama sejak tahun 1970-an. Kini, aktiviti tersebut menyumbang sebahagian besar daripada bekalan bitumen global.

Walau bagaimanapun, proses pengekstrakan bitumen daripada minyak pasir menimbulkan pelbagai kebimbangan dari sudut alam sekitar. Proses ini memerlukan penggunaan air dalam kuantiti besar, tenaga yang tinggi dan menghasilkan sisa buangan serta pelepasan karbon dioksida yang tinggi. Oleh sebab itu, walaupun potensi ekonominya besar, aspek kelestarian proses ini terus menjadi perdebatan dalam kalangan pakar dan pembuat dasar.

Revolusi Bitumen Moden: Penyulingan Minyak Mentah

Pada awal abad ke-20, penemuan kaedah untuk mendapatkan bitumen daripada petroleum mentah telah merevolusikan industri pembinaan jalan. Pertambahan pesat penggunaan kenderaan bermotor meningkatkan permintaan terhadap jalan raya yang lebih tahan lasak, sekali gus mencetuskan perkembangan pesat industri bitumen petroleum.

Bitumen dihasilkan melalui proses penyulingan minyak mentah di loji penapisan. Dalam proses ini, minyak mentah dipanaskan dan dipecahkan kepada beberapa pecahan berdasarkan takat didihnya. Pecahan yang lebih ringan seperti petrol, diesel dan nafta diasingkan terlebih dahulu, manakala bitumen kekal sebagai sisa berat. Proses ini yang dikenali sebagai penyulingan vakum, menghasilkan bitumen berkelikatan tinggi dengan kandungan hidrokarbon kompleks.

Ciri Fizikal 

Bitumen mempunyai sifat fizikal yang unik yang menjadikannya sangat sesuai untuk kegunaan dalam bidang kejuruteraan, khususnya dalam pembinaan jalan raya dan struktur kalis air. Bahan ini bersifat likat atau separa pepejal pada suhu bilik dan menjadi lembut apabila dipanaskan. Ciri ini membolehkannya digunakan dalam keadaan suhu dan tekanan yang berubah-ubah.

Bitumen juga mempunyai kelikatan tinggi, keplastikan yang baik serta keupayaan untuk menyesuaikan bentuk dan mengisi rongga antara agregat. Sifat kenyalnya membolehkan bitumen kembali ke bentuk asal selepas dikenakan tekanan, sekali gus ideal untuk turapan yang tahan lama dan fleksibel. Keupayaannya untuk menahan perubahan suhu secara ekstrem mengukuhkan lagi peranannya sebagai bahan utama dalam pembinaan jalan di pelbagai persekitaran.

Komposisi Kimia 

Dari sudut kimia, bitumen merupakan campuran kompleks yang terdiri daripada hidrokarbon serta bahan bukan hidrokarbon seperti sulfur, oksigen dan nitrogen. Bahan ini bersifat stabil secara kimia dan tahan terhadap serangan kebanyakan asid dan alkali.

Satu daripada ciri utama bitumen ialah sifat kedap airnya yang sangat baik. Di samping itu, bitumen mempunyai daya lekatan yang tinggi terhadap permukaan agregat, khususnya apabila dipanaskan. Ciri ini membolehkan bitumen mengikat zarah batu dengan kukuh, sekali gus menghasilkan permukaan turapan yang mampan, tahan tekanan trafik dan perubahan cuaca. Keupayaan bitumen untuk membentuk ikatan yang stabil dan berpanjangan merupakan faktor utama kepada ketahanan struktur jalan raya.

Kegunaan Bitumen dalam Kejuruteraan Awam

Bitumen memainkan peranan penting dalam bidang kejuruteraan awam, khususnya dalam pembinaan jalan raya. Kegunaan utama bahan ini adalah dalam penghasilan campuran asfalt panas yang melibatkan pemanasan bitumen dan agregat pada suhu antara 140 darjah Celsius hingga 160 darjah Celsius sebelum dihampar dan dipadatkan di tapak bina. Campuran ini menghasilkan permukaan jalan yang lasak dan berupaya menampung beban trafik yang tinggi dalam tempoh panjang.

Seiring dengan perkembangan teknologi, pelbagai jenis campuran asfalt telah diperkenalkan bagi menyesuaikan penggunaannya mengikut keperluan. Hal ini termasuklah campuran suam dan campuran sejuk yang masing-masing mempunyai ciri prestasi dan kegunaan tersendiri, bergantung kepada keadaan iklim, trafik serta keperluan pembinaan di sesuatu kawasan.

Isu Kelestarian dalam Penggunaan Bitumen

Meskipun bitumen mempunyai pelbagai kelebihan teknikal, penggunaannya turut menimbulkan cabaran dari segi kelestarian alam sekitar seperti pergantungan terhadap petroleum, iaitu sumber tidak boleh diperbaharui. Proses penghasilan dan penggunaan bitumen juga melibatkan suhu tinggi yang menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau seperti karbon dioksida ke atmosfera.

Tambahan pula, kadar kitar semula bahan asfalt masih rendah di beberapa negara, termasuklah di negara membangun. Hal ini menyebabkan berlakunya pembaziran sumber, peningkatan sisa pembinaan dan beban alam sekitar. Oleh itu, pemerkasaan teknologi kitar semula serta pembangunan alternatif yang lebih mesra alam menjadi keutamaan dalam usaha memperbaik impak alam sekitar bagi penggunaan bitumen.

Inovasi Teknologi dalam Penghasilan Bitumen

Bagi menangani cabaran kelestarian dan prestasi bitumen konvensional, pelbagai inovasi teknologi telah diperkenalkan dalam industri pembinaan jalan raya. Dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini, penggunaan bitumen terubah suai menunjukkan peningkatan yang ketara, khususnya dalam projek berskala besar dan berintensiti tinggi.

Bitumen terubah suai dihasilkan melalui pelbagai kaedah seperti pengubahsuaian kimia dan pengubahsuaian polimer. Kaedah pengubahsuaian polimer lebih meluas digunakan. Penambahan polimer seperti styrene-butadiene-styrene (SBS) dan ethylene-vinyl-acetate (EVA) ke dalam bitumen konvensional dapat meningkatkan sifat elastik, ketahanan terhadap suhu tinggi dan daya tahan terhadap ubah bentuk plastik. Bitumen terubah suai ini amat sesuai digunakan untuk lebuh raya berkapasiti tinggi, landasan lapangan terbang dan kawasan yang terdedah kepada suhu ekstrem kerana kemampuannya memanjangkan jangka hayat turapan dan mengurangkan keperluan penyelenggaraan berkala.

Bitumen Mesra Alam dan Bahan Kitar Semula

Seiring dengan keperluan untukmengurangkan impak alam sekitar, penyelidikan turut tertumpu pada penghasilan bitumen mesra alam dengan memanfaatkan bahan kitar semula seperti getah tayar terpakai, sisa pembinaan dan sisa plastik. Bahan ini bukan sahaja membantu mengurangkan sisa pepejal, malah meningkatkan keanjalan dan ketahanan bitumen terhadap tekanan mekanikal.

Di samping itu, bitumen suhu rendah kini dikaji dengan meluas kerana mampu mengurangkan suhu operasi semasa proses pencampuran dan penghamparan. Teknologi ini berpotensi mengurangkan penggunaan bahan api fosil dan seterusnya menurunkan pelepasan karbon dioksida, selari dengan matlamat pengurangan gas rumah hijau dalam sektor pembinaan.

Teknologi Turapan Asfalt Tebus Guna

Satu daripada pendekatan penting dalam pembangunan mampan ialah teknologi turapan asfalt tebus guna. Teknologi ini membolehkan bitumen dan agregat daripada permukaan jalan lama dikitar semula dan digunakan dalam campuran asfalt baharu. Penggunaannya mengurangkan kebergantungan kepada sumber semula jadi seperti batu kuari dan bitumen mentah serta menjimatkan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon yang berkaitan dengan pengeluaran dan pengangkutan bahan baharu.

Dalam sesetengah kes, kadar penggunaan bahan kitar semula dalam campuran asfalt boleh mencapai sehingga 50 peratus tanpa menjejaskan prestasi jangka panjang, khususnya apabila digabungkan dengan agen pembalik muda (rejuvenator) yang dapat mengembalikan sifat reologi bitumen yang telah tua.

Biobitumen: Alternatif Berasaskan Sumber Boleh Diperbaharui

Selain penggunaan semula bahan binaan, inovasi terkini turut menumpukan pembangunan biobitumen, iaitu bahan pengikat berasaskan sumber boleh diperbaharui seperti lignin, sisa tumbuhan, minyak sayuran terpakai dan bio-olefin. Biobitumen berpotensi menggantikan bitumen petroleum, terutamanya dalam aplikasi trafik ringan hingga sederhana.

Penyelidikan menunjukkan bahawa biobitumen menawarkan prestasi lekatan dan fleksibiliti yang kompetitif, di samping kelebihan dari sudut biodegradasi dan pelepasan karbon yang lebih rendah sepanjang kitar hayatnya. Namun begitu, cabaran masih wujud dari aspek kestabilan bahan mentah, ketekalan sifat fizikal serta kesesuaian terhadap keadaan trafik dan iklim yang pelbagai.

Dalam industri pembinaan jalan moden, pemilihan antara bitumen konvensional dan bitumen terubah suai bukan sekadar pertimbangan teknikal semata-mata, malah turut melibatkan penilaian kos secara menyeluruh. Bitumen konvensional diperoleh secara langsung daripada proses penyulingan petroleum tanpa sebarang bahan tambahan dan kos pengeluarannya adalah lebih rendah serta bergantung pada harga minyak mentah global.

Sebaliknya, bitumen terubah suai polimer melibatkan kos pengeluaran yang lebih tinggi, iaitu sekitar 30 peratus hingga 70 peratus lebih mahal berbanding dengan bitumen biasa. Perbezaan ini disebabkan oleh kos bahan tambahan dan keperluan peralatan pencampuran khusus seperti pengadun ricih tinggi. Selain itu, kawalan suhu semasa pencampuran dan penghamparan turut memerlukan pemantauan rapi, sekali gus meningkatkan kos operasi awal.

Walaupun bitumen terubah suai menuntut kos permulaan yang lebih tinggi, kelebihannya terserlah apabila dinilai dari segi kos kitar hayat. Prestasinya yang lebih unggul dalam menahan beban trafik tinggi, suhu ekstrem dan kelembapan membolehkan jangka hayat jalan raya ditingkatkan antara 30 peratus hingga 50 peratus berbanding dengan turapan konvensional.

Selain faedah teknikal, penggunaan bitumen terubah suai turut memberikan impak positif terhadap kos sosial dan alam sekitar. Jalan yang lebih tahan lama mengurangkan keperluan kerja pembaikan, seterusnya mengurangkan pelepasan karbon, penggunaan bahan api dan pencemaran bunyi. Kesan tidak langsung seperti kesesakan lalu lintas, risiko kemalangan akibat permukaan jalan rosak serta penggunaan bahan api berlebihan oleh pengguna turut dapat diminimumkan.

Pertimbangan Ekonomi dan Cabaran Masa Hadapan

Walaupun bitumen terubah suai menawarkan prestasi yang tinggi, penggunaannya tidak selalu sesuai dalam semua konteks. Dalam projek berskala kecil atau kawasan luar bandar dengan trafik rendah, penggunaan bitumen konvensional mungkin lebih berpatutan dan memadai dari segi prestasi. Dalam kes seperti ini, kos tambahan yang terlibat dalam penggunaan bitumen terubah suai tidak semestinya memberikan justifikasi ekonomi yang kukuh. Oleh itu, pemilihan jenis bitumen harus dipandu oleh analisis risiko, jangkaan beban trafik dan anggaran kos penyelenggaraan, bukannya berdasarkan harga bahan semata-mata.

Industri bitumen kini turut berhadapan dengan cabaran besar dalam mendepani perubahan iklim dan tuntutan terhadap bahan binaan yang lebih lestari. Kenaikan harga minyak mentah global memberikan kesan langsung kepada kos penghasilan bitumen, manakala peningkatan keperluan piawaian teknikal dan alam sekitar memerlukan bahan binaan yang lebih stabil dan tahan lama. Dalam konteks cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku, keupayaan bitumen untuk mengekalkan prestasi mekanikal dan struktur dalam pelbagai keadaan persekitaran menjadi semakin kritikal.

Sebagai kesimpulan, bitumen kekal sebagai bahan asas yang penting dalam pembangunan infrastruktur moden, khususnya dalam sektor pembinaan jalan raya dan aplikasi kalis air. Sifat fizikal, kimia dan keupayaan lekatan bitumen yang unik menjadikannya sukar diganti dalam pelbagai aplikasi kejuruteraan awam.

Namun begitu, isu kelestarian dan perubahan iklim global memerlukan pendekatan baharu dalam penghasilan dan penggunaan bitumen. Inovasi seperti bitumen terubah suai, penggunaan bahan kitar semula, teknologi suhu rendah serta penghasilan biobitumen menunjukkan potensi besar untuk memenuhi keperluan pembinaan yang lebih mesra alam.

Dengan penyelidikan dan pembangunan yang berterusan, bitumen dapat ditingkatkan dari segi prestasi dan kelestarian, sejajar dengan matlamat pembangunan mampan sejagat. Gabungan antara kemajuan teknologi dengan kesedaran terhadap impak alam sekitar akan memastikan bitumen terus relevan sebagai komponen penting dalam infrastruktur masa depan.

 

Profesor Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff
Pensyarah Kanan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rosli Mohd Hasan
Pensyarah Kanan,
Universiti Sains Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi