Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSurabaya – Usaha memperkasakan pendidikan tinggi melalui penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) terus diperkukuh apabila Malaysia diberikan kepercayaan untuk berkongsikan kepakaran dalam program The 5th Summer School yang bertemakan “Multidisciplinary Collaboration and Innovation for Sustainable Development” anjuran Airlangga University yang berlangsung dari 29 Jun 2025 hingga 4 Julai 2025.
Program antarabangsa tersebut menghimpunkan pelajar pascasiswazah dari pelbagai negara untuk membincangkan peranan inovasi merentas disiplin dalam menjayakan agenda pembangunan lestari global.

Antara pengisian utama program itu adalah berkenaan dengan Transforming Quality Education through AI: Applications in Research and Academic Writing yang telah disampaikan oleh penulis mewakili Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Dalam sesi tersebut, penulis mengetengahkan cara teknologi AI dapat dimanfaatkan dalam penulisan akademik melalui pendekatan lima langkah berstruktur yang merangkumi penjanaan idea, pencarian dan analisis literatur, pembinaan struktur penulisan, pemurnian bahasa serta pengurusan rujukan dengan menggunakan perisian seperti Mendeley.
Beberapa aplikasi AI seperti ChatGPT, Jenni AI, Rayyan AI, NotebookLM, Scopus AI, Claude AI, Perplexity dan Quillbot turut diperkenalkan dan digunakan dalam sesi praktikal yang interaktif.

Para peserta kemudiannya erpeluang mencuba sendiri aplikasi tersebut dalam konteks sebenar penulisan akademik dan maklum balas yang diterima menunjukkan keterujaan pelajar terhadap potensi teknologi AI dalam menyokong penyelidikan dan penulisan ilmiah, terutamanya pada peringkat awal penyediaan tesis atau artikel jurnal.
Dalam program tersebut, penulis turut menegaskan bahawa teknologi AI perlu dimanfaatkan sebagai alat sokongan dalam pembelajaran dan penyelidikan, bukannya menggantikan keupayaan pelajar untuk berfikir secara kritis.
Meskipun teknologi hadir sebagai pemudah cara, nilai integriti, keaslian dan pemikiran kritis tetap perlu dipelihara oleh setiap individu.
Pelibatan Malaysia dalam platform antarabangsa tersebut turut menyerlahkan keupayaan institusi tempatan untuk memacu inovasi pendidikan yang relevan dengan tuntutan semasa.
Inisiatif sebegini bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama serantau, malah turut menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan Keempat (SDG 4): Pendidikan Berkualiti, seiring dengan aspirasi pendidikan tinggi yang lebih fleksibel dan berdaya saing.
