Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memainkan peranan yang aktif dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui pelaksanaan projek Integrasi Pertanian Bandar dalam Pendidikan: Memperkasakan Pelajar B40 melalui Pembelajaran Berasaskan Pengalaman.
Pelaksanaan projek tersebut melibatkan Sekolah Kebangsaan Permatang Damar Laut (SKPDL) dengan sokongan dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dan Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang.

Fokus utama projek berkenaan adalah untuk memperkasakan pelajar sekolah rendah daripada latar belakang B40 melalui aktiviti pertanian bandar yang bersifat lestari dan inovatif dengan menggunakan sistem penanaman hidroponik, iaitu kaedah tanaman tanpa tanah yang efisien dan mesra alam yang dilaksanakan di kawasan sekolah.
Projek yang diketuai oleh pensyarah di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), USM, YBrs. Dr. Siti Masayu Rosliah Abdul Rashid itu merupakan inisiatif yang diperoleh melalui Geran Libat Sama Komuniti–Universiti dari Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, USM.

Menurut YBrs. Dr. Siti Masayu Rosliah Abdul Rashid, projek tersebut memberikan peluang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran praktikal dalam bidang pertanian melalui aktiviti seperti menyemai, menyiram, memantau bacaan nutrien dan menuai hasil tanaman.
Katanya,
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kebolehan kendiri pelajar, malah membuka ruang penyertaan kepada pelajar berkeperluan khas, selaras dengan prinsip pendidikan inklusif yang diamalkan di sekolah ini.
Tambah beliau,
Secara tidak langsung, pelaksanaan projek tersebut juga membentuk jati diri, menanam nilai tanggungjawab, mengukuhkan semangat kerja berpasukan dan mewujudkan asas keusahawanan sejak dari bangku sekolah.
Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan projek berkenaan, termasuklah guru, rakan penyelidik dan komuniti sekolah, terutamanya kepada Penolong Kanan Pendidikan Khas SKPDL, Encik Muhammad Nazir Omar atas komitmen dan bantuan yang diberikan oleh beliau dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek, khususnya melibatkan murid berkeperluan khas.

Sementara itu, Guru Besar SKPDL, Encik Ahmad Azmi Aiyob menyatakan sokongannya terhadap pelaksanaan projek yang disifatkan sebagai satu inisiatif yang melangkaui kaedah pengajaran tradisional.
Ujar beliau,
Program seumpama ini membawa pembelajaran keluar dari bilik darjah dan membolehkan murid mengalami sendiri proses pertanian secara menyeluruh seperti aktiviti menyemai dan menuai yang bukan sahaja menambah pengetahuan, malah merangsang perkembangan psikomotor murid dari segi koordinasi, fokus dan kemahiran motor halus.

Seterusnya, Ketua Penolong Pengarah Unit TVET, JPN Pulau Pinang, YBhg. Datin Sairah Abdullah yang turut hadir dalam sesi lawatan tapak projek berkenaan berkata,
Projek pertanian bandar berasaskan hidroponik seperti ini bukan sahaja berpotensi menjadi sumber pendapatan sampingan pada masa hadapan, malah mampu menyemai kesedaran dalam kalangan pelajar terhadap kepentingan pertanian, kelestarian alam sekitar dan amalan pemakanan sihat.
Sesi lawatan tersebut turut disertai oleh Penolong Pengarah Unit Sains Sosial, JPN Pulau Pinang, Encik Nik Mohd Nazrul Nik Husin; Pegawai Tadbir Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, USM, Puan Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal; barisan pensyarah serta warga PPPJJ, USM.
USM melalui PPPJJ menyatakan komitmen berterusan untuk memperluas pelaksanaan projek berasaskan komuniti sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti dalam mendukung agenda pendidikan inklusif dan pembangunan mampan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.