Diterbitkan pada 7 Jun 2025, 23:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pokok langkinang mungkin kurang dikenali dalam kalangan masyarakat kerana tumbuhan ini tidak begitu popular dan sukar ditemukan. Taburannya pula hanya meliputi beberapa negara di rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Di Indonesia, pokok ini dikenali sebagai pokok lengkenang. Nama saintifik bagi spesies ini ialah Alpinia mutica Roxb. yang tergolong dalam famili Zingiberaceae atau keluarga halia. Spesies ini mempunyai pelbagai kegunaan dalam perubatan tradisional dan turut dijadikan tanaman hiasan dalam landskap berunsur tradisional.

Keistimewaan pokok langkinang terletak pada bunganya yang cantik dan menarik dan menyerupai morfologi bunga orkid. Oleh sebab itu, tumbuhan ini sesuai dijadikan sebagai tanaman hiasan, khususnya dalam taman yang menonjolkan elemen etnik dan tradisi.

Bunga langkinang yang seakan-akan bunga orkid.

Dari segi morfologi, pokok langkinang menyerupai pokok lengkuas dan kantan kerana kesemua tumbuhan ini berasal daripada famili yang sama. Walau bagaimanapun, saiz pokok langkinang adalah lebih kecil berbanding dengan kedua-dua spesies tersebut. Pokok ini biasanya tumbuh dengan baik di kawasan yang lembap dan sedikit berair.

Pokok langkinang hidup secara berumpun dan menghasilkan rumpun yang padat dengan ketinggian mencecah dua meter. Batangnya pendek dan mempunyai rizom yang menyerupai halia. Daunnya pula berbentuk lanseolat dan tersusun secara berselang seli. Apabila diramas atau dihancurkan, daun ini mengeluarkan aroma wangi yang dikatakan seakan-akan bau kayu manis dan sitrus.

Rumpun pokok langkinang.

Bunganya tersusun secara berjambak, berwarna putih dan berbentuk seperti cengkerang, mempunyai labelum kekuningan dengan titik serta garis merah. Bunga langkinang turut menarik kehadiran serangga, terutamanya lebah daripada spesies Xylocopa atau lebih dikenali sebagai lebah kayu. Lebah ini mendapatkan madu daripada bunga langkinang dan secara tidak langsung membantu dalam proses pendebungaan.

Buah langkinang berbentuk bulat atau sfera dan mengandungi isi di dalamnya. Ketika mentah, buah ini berwarna hijau muda dan akan bertukar menjadi jingga atau kemerahan apabila masak. Rasa buah langkinang adalah manis-manis pedas, namun jarang-jarang dimakan kerana rasanya yang kurang menyenangkan.

Pokok langkinang merupakan spesies tumbuhan yang mudah dibiakkan. Pembiakan lazimnya dilakukan melalui rizom yang diambil daripada pokok induk. Selain itu, pokok ini juga boleh dibiakkan dengan menggunakan biji benih, namun kaedah ini mengambil masa yang lebih lama untuk mencapai pertumbuhan yang optimum berbanding dengan penggunaan rizom.

Penjagaan pokok langkinang tidak memerlukan perhatian yang rumit. Penyiraman sekali atau dua kali sehari sudah mencukupi. Pokok ini memerlukan pencahayaan separa teduh untuk membesar dan membiak dengan baik. Pemangkasan pula perlu dilakukan dua kali setahun untuk menggalakkan pertumbuhan yang sihat. Pemberian nutrien tambahan seperti baja organik turut membantu memastikan pokok tumbuh subur.

Dari segi kawalan penyakit, pokok herba seperti langkinang secara umumnya lebih tahan terhadap serangan penyakit. Namun demikian, serangan serangga seperti kutu daun sering berlaku dan biasanya tertumpu pada bahagian daun. Penggunaan kaedah kawalan serangga secara organik amat digalakkan, contohnya semburan air sabun bagi mengurangkan serangan serangga perosak pada tanaman langkinang.

Pokok langkinang mempunyai pelbagai manfaat dan khasiat dalam perubatan tradisional, khususnya dalam amalan perubatan turun-temurun masyarakat dahulu sebagai ikhtiar untuk mengubati penyakit. Setiap bahagian pokok ini yang terdiri daripada rizom, bunga, buah dan daun mempunyai nilai perubatan yang tersendiri.

Rizom pokok langkinang dipercayai berkesan untuk merawat selesema serta membantu menyejukkan badan. Kaedah penggunaannya adalah dengan meminum air rebusan rizom tersebut. Selain itu, air rebusan ini turut digunakan sebagai ubatan herba untuk mengatasi masalah pencernaan seperti kembung perut, cirit-birit dan hilang selera makan.

Air rebusan rizom sering digunakan bagi mengurangkan sakit sendi dan otot serta membantu melegakan batuk, selesema dan masalah pernafasan. Penggunaannya juga meluas dalam mandian herba dan minyak urut, khususnya untuk merawat lebam dan bengkak.

Khasiat rizom langkinang turut menyerupai halia seperti membantu menghangatkan badan dan meningkatkan tenaga. Dalam bidang masakan, rizom ini digunakan sebagai bahan tambahan untuk menambah aroma wangi dalam sajian berempah dan sup, sepertimana penggunaan halia.

Dari sudut perubatan tradisional, rizom langkinang juga dikatakan bersifat antiseptik dan antiradang. Oleh sebab itu, spesies ini digunakan untuk merawat luka kecil serta mengurangkan keradangan pada bahagian yang terjejas.

Selain rizom, bunga langkinang turut mempunyai kegunaan tertentu. Bunga ini dikatakan mampu merawat masalah mata merah. Kaedah rawatannya adalah dengan merendam bunga dalam air, kemudian air rendaman tersebut digunakan untuk mencuci mata. Buah langkinang pula dipercayai berupaya membantu mengurangkan keradangan, sekali gus menjadikan tumbuhan ini sebagai satu daripada sumber perubatan herba yang berpotensi tinggi.

Buah langkinang.

Daun langkinang turut mempunyai khasiat tersendiri dalam perubatan tradisional. Daun ini mengeluarkan haruman yang menyegarkan apabila dihancurkan, lalu menjadikannya sesuai digunakan sebagai bahan aromaterapi. Dalam amalan tradisional, daun langkinang digunakan dalam minyak urut dan mandian herba, khususnya bagi wanita selepas bersalin.

Permukaaan atas (kiri)  dan bawah daun (kanan).

Selain itu, daun langkinang yang telah dikeringkan boleh dijadikan sebagai teh herba atau pewangi semula jadi. Daun ini juga dikatakan mampu membantu merawat anggota badan yang lumpuh, iaitu dengan membalut atau meletakkannya pada bahagian anggota yang terjejas.

Walaupun pokok langkinang mempunyai pelbagai potensi, penghasilan produk berasaskan tumbuhan ini masih belum meluas. Produk seperti jamu, minyak urut, minyak pati dan minyak aromaterapi pernah dihasilkan, namun kurang dikomersialkan. Hal ini berpunca daripada ketiadaan penanaman pokok langkinang pada skala besar atau komersial.

Pokok langkinang merupakan tumbuhan herba yang bernilai tinggi dalam bidang perubatan tradisional. Sejarah penggunaannya membuktikan bahawa tumbuhan ini mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan dalam pelbagai aspek kesihatan. Gabungan antara pengetahuan tradisional dengan penyelidikan moden juga dapat membuka ruang untuk menjadikan langkinang sebagai antara sumber utama dalam industri herba dan perubatan semula jadi.

Oleh itu, adalah penting untuk terus menghargai, memelihara dan mengembangkan potensi pokok langkinang agar tumbuhan ini dapat dimanfaatkan secara optimum. Usaha ini bukan sahaja menjamin kelestarian sumber semula jadi, malah memastikan tumbuhan berharga ini terus dikenali oleh generasi akan datang.

Puan Farrah Melissa Moksin dan Profesor Dr. Noraini Talip,
Taman Botani Bangi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi