Diterbitkan pada 3 Jun 2025, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Usaha melahirkan atlet dan galakan pelibatan secara aktif murid dalam sukan akuatik di Pahang oleh Kelab Renang Gohok (KRG) berjaya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai pemenang pingat emas terbanyak keseluruhan (kategori pertengahan) dalam Kejohanan Pembangunan Renang Peringkat Kebangsaan (Zon Selatan) 2025 yang berlangsung di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TARUMT) pada 31 Mei 2025 hingga 1 Jun 2025.

Aksi perenang semasa Kejohanan Pembangunan Renang Peringkat Kebangsaan (Zon Selatan) 2025 berlangsung.

Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Pusat Latihan Renang Minz Aeilah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan TARUMT melibatkan negeri Selangor, Melaka, Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan dengan penyertaan lebih 600 orang peserta yang berusia antara tujuh tahun hingga 18 tahun dari 23 kelab renang dalam pelbagai kategori.

Menurut Encik Syed Shaferi Syed Abu Bakar selaku ketua jurulatih KRG, pasukan Pahang telah menghantar sebanyak 29 orang perenang KRG untuk menyertai pertandingan kejohanan tersebut dan merangkul 31 pingat yang merangkumi 13 pingat emas, tujuh pingat perak dan 11 pingat gangsa, sekali gus menjadikan pasukan Pahang sebagai pengumpul pingat emas terbanyak dan berjaya membawa pulang piala pusingan kejohanan bagi kategori tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua perenang KRG yang telah terlibat, ahli jawatankuasa yang membantu sepanjang kejohanan dan jurulatih lain yang bersama-sama melatih para perenang, iaitu Encik Ahmad Nasharudin Kamal Zaim dan Encik Mohamad Hafizuddin Che Muhamad.

Ujar beliau,

Tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen yang tinggi untuk memenangi semua acara yang disertai dan perenang yang tidak mendapat pingat pada kali ini, jangan patah semangat, usaha lagi dan insya-Allah akan ada hasilnya.

Antara peserta yang menyumbangkan pingat terbanyak ialah Muhammad Hadi Iskandar Abdul Kadir dengan kutipan tiga pingat emas (acara Gaya Bebas 50 meter bagi kategori 13 hingga 15 tahun dengan catatan masa 30:34 saat; acara kuak kupu-kupu 50 meter bagi katergori 13 hingga 15 tahun dengan catatan masa 34:62 saat; dan Relay Gaya Bebas 4 x 50 meter bagi kategori 13 hingga 15 tahun dengan catatan masa 2:15:06) serta satu pingat perak (acara kuak dada 50 meter bagi kategori 13 hingga 15 tahun dengan catatan masa 41:48 saat).

Muhammad Hadi Iskandar Abdul Kadir (kiri) merangkul tiga pingat emas dan satu pingat perak dalam Kejohanan Pembangunan Renang Peringkat Kebangsaan (Zon Selatan) 2025.

Selain itu, Nur Ardini Mohd Azizi pula menyumbangkan tiga pingat emas (acara Gaya Bebas 50 meter bagi kategori 11 hingga 12 tahun dengan catatan masa 39:69 saat; acara kuak dada 50 meter bagi kategori 11 hingga 12 tahun dengan catatan masa 51:68 saat; dan Relay Gaya Bebas 4 x 50 meter bagi kategori 11 hingga 12 tahun dengan catatan masa 3:05:82) serta satu pingat gangsa (acara kuak kupu-kupu 50 meter bagi kategori 11 hingga 12 tahun dengan catatan masa 54:25 saat).

Tiga pingat emas dan satu pingat gangsa menjadi milik Nur Ardini Mohd Azizi (dua dari kiri) dalam Kejohanan Pembangunan Renang Peringkat Kebangsaan (Zon Selatan) 2025.

Encik Syed Shaferi Syed Abu Bakar turut menyatakan bahawa usaha KRG yang komited dalam melahirkan atlet sukan akuatik tidak akan berhasil sekiranya tiada kerjasama daripada ibu bapa.

Katanya,

Terima kasih atas sokongan daripada ibu bapa yang sentiasa menggalakkan anak-anak mereka untuk menyertai sukan akuatik dan memupuk minat mereka untuk meningkatkan kemahiran renang.

“Tanpa sokongan dan pengorbanan daripada ibu bapa, pastinya KRG juga tidak berupaya membantu melahirkan atlet sukan akuatik yang kompeten dan berjiwa juara,” tambahnya.

Kredit Foto: Facebook Rasmi Gohok Waves
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi