Diterbitkan pada 3 Jun 2025, 14:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bermatlamatkan ingin membantu pelajar dalam merancang kerjaya serta memperluas pengetahuan dalam bidang sains bioperubatan, Program Sarjana Sains Bioperubatan (Kerja Kursus), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan seminar khusus untuk pelajar tahun akhir Program Sarjana Muda Sains Bioperubatan.

Seminar tersebut bertujuan memberikan pendedahan yang menyeluruh kepada pelajar mengenai struktur kursus, keperluan akademik serta peluang yang ditawarkan bagi pelajar yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.

Antara fokus utama seminar ini termasuklah peningkatan kesedaran pelajar terhadap kepentingan pendidikan lanjutan dalam bidang ini, di samping memberikan maklumat terperinci tentang kandungan kurikulum, kaedah penilaian serta peluang kerjaya dalam sektor penyelidikan dan industri.

Pelajar turut didedahkan dengan pendekatan pembelajaran yang diterapkan dalam program ini yang merangkumi aspek teori dan praktikal yang menyokong pembangunan kemahiran profesional.

Seminar dimulakan dengan pengenalan kepada mod kerja kursus Program Sarjana Sains Bioperubatan oleh YBrs. Dr. Vanitha Mariappan merangkap penyelaras kursus, diikuti dengan pembentangan modul utama, iaitu Modul Toksikologi oleh YBrs. Profesor Dr. Ahmad Rohi Ghazali; Modul Penyakit Berjangkit oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Yap Wei Boon serta Modul Patologi Kimia yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Izatus Shima Taib.

YBrs. Profesor Dr. Ahmad Rohi Ghazali menyampaikan penerangan mendalam mengenai Modul Toksikologi kepada pelajar tahun akhir Program Sarjana Muda Sains Bioperubatan, FSK, UKM.
YBrs. Profesor Madya Dr. Yap Wei Boon memberikan penjelasan terperinci mengenai Modul Penyakit Berjangkit.

Penganjuran seminar ini turut berperanan sebagai platform untuk menarik minat bakal graduan agar mempertimbangkan UKM sebagai destinasi pilihan untuk melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana.

YBrs. Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam menyampaikan sesi perkongsian ilmu.

Seminar ini turut membuka ruang kepada para pelajar untuk mengemukakan soalan secara langsung dan mendapatkan penjelasan yang lebih berhubung syarat kemasukan, struktur pengajian, pilihan penyelidikan, kaedah pembiayaan serta prospek pekerjaan selepas tamat pengajian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi