Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerlanggaran antara haiwan dengan kenderaan atau animal-vehicle collision (AVC) merupakan isu yang semakin mendapat perhatian di Malaysia, khususnya susulan peningkatan projek pembangunan infrastruktur dan pembesaran jalan raya yang melintasi kawasan hutan serta habitat semula jadi haiwan liar. Fenomena ini bukan sahaja memberikan impak negatif terhadap populasi haiwan, malah turut membahayakan nyawa pemandu dan penumpang kenderaan.
Berdasarkan data yang direkodkan antara tahun 2020 hingga tahun 2025, sebanyak 2361 kes kematian haiwan liar akibat perlanggaran dengan kenderaan telah dilaporkan di seluruh negara. Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Pahang mencatatkan bilangan kematian haiwan liar tertinggi, iaitu sebanyak 765 kes, diikuti oleh Perak (478 kes), Kelantan (224 kes), Terengganu (201 kes) dan Negeri Sembilan (187 kes). Kesemua insiden ini melibatkan pelbagai spesies, termasuklah spesies yang dikategorikan sebagai terancam.
Kesemua insiden ini melibatkan pelbagai spesies, termasuklah spesies yang dikategorikan sebagai terancam seperti gajah. Dalam tempoh tersebut sahaja, sebanyak lapan ekor gajah dilaporkan mati akibat perlanggaran dengan kenderaan.
Pada masa yang sama, peningkatan kematian harimau Malaya akibat kemalangan jalan raya turut membimbangkan apabila enam kes direkodkan sejak tahun 2023. Perkembangan ini dianggap kritikal memandangkan populasi harimau Malaya yang bergantung pada habitat semula jadi dianggarkan berjumlah kurang daripada 150 ekor.
Selain hidupan liar, haiwan peliharaan dan ternakan turut dikenal pasti sebagai antara penyumbang kepada kemalangan jalan raya di Malaysia. Pada tahun 2024, sebanyak 109 kematian dalam kalangan pengguna jalan raya direkodkan akibat perlanggaran yang melibatkan haiwan domestik seperti lembu, kerbau dan babi. Insiden ini berlaku, terutamanya di lebuh raya utama seperti Lebuhraya Pantai Barat, Lebuhraya Pantai Timur 2 serta di laluan utama di Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Faktor dan Cabaran Utama
Perlanggaran antara haiwan dengan kenderaan di negara ini merupakan isu yang kompleks dan melibatkan pelbagai faktor, apabila aspek keselamatan jalan raya dan pemuliharaan hidupan liar adalah saling terkait rapat. Walaupun kesedaran awam dan inisiatif kerajaan dalam menangani perlanggaran antara haiwan dengan kenderaan semakin diperkasakan, beberapa kekangan utama masih menjejaskan keberkesanan langkah mitigasi. Antaranya termasuklah kekurangan data saintifik yang komprehensif, cabaran ekologi seperti corak pergerakan haiwan, faktor manusia seperti cara pemanduan, kelemahan infrastruktur seperti ketiadaan atau kekurangan laluan khas haiwan serta keberseragaman dan ketidakselarian dalam koordinasi antara agensi.
Oleh hal yang demikian, pendekatan sistematik untuk mengatasi masalah ini amat diperlukan yang merangkumi pengukuhan pelaporan dan pemantauan data, penyelidikan ekologi terarah, peningkatan reka bentuk dan penyelenggaraan jalan raya, penguatkuasaan undang-undang serta mekanisme kerjasama antara institusi bagi meminimumkan kekerapan dan insiden perlanggaran yang kritikal antara haiwan dan kenderaan.
Satu daripada cabaran utama dalam usaha mitigasi perlanggaran antara kenderaan dengan haiwan di Malaysia ialah kekurangan maklumat yang lengkap, tepat dan boleh dipercayai. Data yang terperinci diperlukan bagi memahami pola kejadian, mengenal pasti kawasan berisiko tinggi serta merangka dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian. Walau bagaimanapun, amalan pemantauan secara berterusan masih belum menjadi kebiasaan pada peringkat kebangsaan.
Sebilangan besar kes perlanggaran, khususnya di kawasan terpencil dan luar bandar, biasanya tidak dilaporkan, lau menyebabkan statistik sedia ada tidak menggambarkan situasi sebenar. Ketiadaan pangkalan data berpusat serta mekanisme pelaporan yang seragam turut membataskan keupayaan pihak berkuasa untuk membuat keputusan berasaskan maklumat menyeluruh.
Selain itu, kekurangan data menyukarkan pengagihan serta penggunaan sumber yang cekap dan pada masa yang sama, menyulitkan penilaian terhadap keberkesanan langkah mitigasi yang telah dilaksanakan. Ketiadaan data empirik yang kukuh juga menghalang pembangunan model ramalan serta penerapan teknologi baharu seperti sistem pengesanan berasaskan AI yang memerlukan input data tepat dan konsisten bagi memastikan keberkesanan operasinya.
Kesan Pemecahan Habitat dan Gangguan Ekologi
Selari dengan isu kekurangan data, permasalahan pemecahan habitat dan gangguan terhadap tingkah laku hidupan liar semakin ketara akibat pembangunan pesat rangkaian jalan raya di Malaysia. Pembangunan infrastruktur yang sering dikaitkan dengan pertumbuhan ekonomi negara telah melibatkan pembinaan jalan yang merentasi hutan simpan, kawasan perlindungan dan koridor hidupan liar.
Keadaan ini menyebabkan pemecahan habitat yang ketara dan memaksa haiwan liar melintasi laluan trafik yang berbahaya demi mendapatkan makanan, pasangan atau habitat baharu. Pemecahan habitat akibat jaringan jalan raya bukan sahaja meningkatkan risiko perlanggaran antara haiwan dengan kenderaan, malah menjejaskan kesinambungan ekologi melalui penghalang kepada pergerakan genetik, perubahan tabiat harian dan peningkatan tekanan fisiologi terhadap spesies terancam.
Kejadian ini merupakan ancaman terhadap kelangsungan biodiversiti dan perlu diberikan perhatian segera dalam dasar perancangan guna tanah serta pembangunan infrastruktur negara. Dalam konteks ini, kawasan yang berhampiran dengan tepi jalan sering menarik kehadiran haiwan liar disebabkan oleh kewujudan sumber makanan seperti tumbuhan atau air, sekali gus meningkatkan risiko perlanggaran.
Pengurusan tumbuh-tumbuhan di bahu jalan juga menuntut pendekatan yang seimbang. Pemotongan secara berlebihan boleh merosakkan habitat setempat, manakala kegagalan memangkas pula mendorong haiwan keluar ke jalan raya bagi mendapatkan akses kepada sumber tersebut.
Infrastruktur dan Teknologi Mitigasi
Dalam usaha mengurangkan risiko perlanggaran antara haiwan dan kenderaan, pelbagai struktur mitigasi seperti jambatan lintasan (wildlife overpass) dan terowong (wildlife underpass) telah dibina. Walau bagaimanapun, tidak semua spesies haiwan menggunakan kemudahan tersebut secara konsisten, lantas menyebabkan keberkesanannya masih belum mencapai tahap yang optimum.
Bagi meningkatkan kadar penggunaan struktur tersebut, pelaksanaan kajian ekologi yang terperinci serta pelan pengurusan habitat yang bersesuaian amat diperlukan. Namun begitu, inisiatif berkaitan dengannya masih berada pada tahap awal dan memerlukan pengukuhan dari segi perancangan, pelaksanaan serta pemantauan secara berterusan untuk jangka panjang.
Selain faktor fizikal, tingkah laku pemandu dan tahap kesedaran awam juga menjadi antara cabaran utama dalam mengurangkan insiden perlanggaran antara haiwan dengan kenderaan. Sebilangan besar pengguna jalan raya, khususnya pelancong atau mereka yang tidak biasa dengan kawasan setempat, cenderung untuk tidak memperlahankan kenderaan atau kekal berwaspada walaupun berada di zon lintasan hidupan liar yang telah diwartakan.
Risiko perlanggaran turut meningkat pada waktu malam memandangkan kebanyakan spesies haiwan liar lebih aktif dalam tempoh tersebut, ditambah pula dengan had penglihatan yang terhad bagi pemandu. Tahap pematuhan terhadap papan tanda amaran hidupan liar juga masih rendah disebabkan oleh kurangnya perhatian atau sikap tergesa-gesa semasa memandu.
Tindak balas secara mengejut seperti membelok secara mendadak untuk mengelakkan haiwan berpotensi menyebabkan kemalangan sekunder yang lebih serius, termasuklah perlanggaran dengan kenderaan lain atau struktur fizikal di tepi jalan. Oleh itu, perubahan tingkah laku pemandu memerlukan pendekatan bersepadu yang merangkumi kempen kesedaran awam berterusan, penguatkuasaan had laju di kawasan berisiko serta integrasi aspek keselamatan hidupan liar dalam kurikulum pendidikan pemandu. Pelaksanaan strategi tersebut juga memerlukan peruntukan sumber yang mencukupi, penyelarasan antara agensi serta penyampaian mesej yang konsisten bagi menghasilkan perubahan tingkah laku jangka panjang yang signifikan.
Dari sudut infrastruktur, cabaran turut wujud dalam pelaksanaan langkah yang menyeluruh bagi menangani isu perlanggaran antara haiwan dengan kenderaan di Malaysia. Walaupun terdapat inisiatif awal seperti pembinaan lintasan hidupan liar dan pemasangan sistem amaran, pelaksanaannya masih terhad dan belum meluas di seluruh negara.
Keberkesanan struktur lintasan bergantung pada reka bentuk dan penempatannya yang perlu disesuaikan dengan corak pergerakan haiwan dan hal ini hanya dapat ditentukan melalui analisis data ekologi yang menyeluruh. Namun begitu, kekangan kewangan serta kelewatan pelaksanaan sering menjadi halangan terhadap pembangunan infrastruktur yang bersesuaian.
Dalam konteks ini, teknologi seperti penderia pergerakan, sistem pengesanan berasaskan AI dan papan tanda pintar menunjukkan potensi besar dalam mengurangkan risiko perlanggaran antara haiwan dengan kenderaan. Meskipun begitu, teknologi ini menuntut kos permulaan yang tinggi, penyelenggaraan yang berterusan serta tenaga kerja yang mempunyai kepakaran teknikal khusus.
Sementara itu, kawasan luar bandar dan terpencil yang merupakan antara lokasi utama berlakunya insiden perlanggaran, sering tidak dilengkapi dengan infrastruktur asas yang mencukupi untuk menyokong sistem berteknologi tinggi. Oleh hal yang demikian, cabaran utama yang perlu diatasi ialah memastikan penambahbaikan infrastruktur dilaksanakan secara lestari dan dijadikan komponen tetap dalam perancangan pengangkutan yang inklusif dan berasaskan ekosistem.
Isu Tadbir Urus dan Koordinasi Agensi
Keterbatasan dari segi struktur pentadbiran dan institusi turut menyulitkan usaha mitigasi konflik antara kenderaan dengan haiwan di Malaysia. Pendekatan mitigasi yang berkesan memerlukan kerjasama merentas sektor yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Pengangkutan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), pihak berkuasa tempatan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam pemeliharaan alam sekitar.
Namun demikian, pembahagian akauntabiliti yang tidak jelas antara agensi sering mengakibatkan kelompongan dalam pelaksanaan dasar dan kelemahan dalam aspek penguatkuasaan. Di samping itu, kekangan kewangan, penyaluran dana yang tidak efisien serta kecenderungan kepada perancangan jangka pendek bagi memenuhi tuntutan pembangunan semasa telah menjejaskan kesinambungan inisiatif jangka panjang yang diperlukan untuk menangani isu ini secara menyeluruh.
Pelaksanaan peraturan sedia ada seperti penguatkuasaan had laju di kawasan koridor hidupan liar pula sering tidak konsisten akibat kekurangan sumber manusia, keutamaan penguatkuasaan yang bersaing atau kelemahan dalam sistem pemantauan. Oleh itu, penubuhan mekanisme koordinasi yang lebih mantap antara agensi, pengagihan tanggungjawab yang jelas serta komitmen politik berterusan amat penting bagi menjamin kejayaan strategi mitigasi perlanggaran antara haiwan dan kenderaan.
Meskipun usaha ini menuntut pelaburan masa, tenaga dan sumber yang signifikan, tindakan ini merupakan asas penting ke arah pelaksanaan dasar yang bersifat inklusif, lestari serta berimpak tinggi dalam jangka panjang.
Ancaman Pengambilan Bangkai dan Kekangan Pelaporan
Satu daripada isu yang kurang mendapat perhatian namun mempunyai impak signifikan ialah aktiviti pengambilan bangkai haiwan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya secara haram. Spesies terancam atau ternakan yang mati akibat perlanggaran kenderaan kadangkala diambil tanpa kebenaran untuk tujuan mendapatkan daging atau bahagian tubuh tertentu.
Perbuatan ini bukan sahaja menjejaskan usaha pemuliharaan hidupan liar, malah menambah kerumitan dalam pengurusan spesies yang terlibat. Oleh sebab itu, aspek penguatkuasaan terhadap aktiviti ini perlu diberikan perhatian yang serius bagi melindungi kesejahteraan fauna serta memastikan integriti sistem pemantauan dan pemuliharaan terus terpelihara.
Selain menjejaskan usaha pemuliharaan, aktiviti pengambilan bangkai haiwan secara haram turut berpotensi menghalang proses pelaporan dan pengendalian kes langgar lari secara rasmi oleh pihak berkuasa. Tambahan pula, ketiadaan mekanisme pampasan rasmi kepada individu yang terjejas seperti petani yang kehilangan ternakan akibat kemalangan jalan raya telah mengurangkan insentif untuk membuat laporan rasmi. Keadaan ini boleh menjejaskan tahap pelaporan insiden dan pada masa yang sama, mengurangkan sokongan masyarakat terhadap pelaksanaan langkah mitigasi yang dirancang.
Inovasi dan Pendekatan Teknologi Hijau
Dalam usaha menangani isu perlanggaran antara haiwan dengan kenderaan, Malaysia kini semakin mengadaptasi teknologi berasaskan AI, pembangunan infrastruktur hijau serta pelaksanaan dasar bersepadu yang mengharmonikan antara perlindungan alam sekitar dengan keselamatan jalan raya.
Teknologi AI telah menjadi komponen utama dalam strategi mitigasi perlanggaran, dengan pelaksanaannya dimulakan di beberapa lokasi berisiko tinggi. Contohnya, pemasangan sensor pergerakan berasaskan Internet benda (IoT) telah dicadangkan bagi digunakan di koridor kemalangan hidupan liar seperti di Lebuhraya Timur-Barat.
Sistem ini menggunakan teknologi pengesanan imej terma atau kamera perangkap untuk mengesan pergerakan haiwan dan seterusnya mengaktifkan lampu amaran bagi memaklumkan pemandu tentang kehadiran haiwan. Lampu amaran diletakkan di lokasi bersesuaian agar pengguna jalan raya lebih peka terhadap kehadiran haiwan di persekitaran mereka. Pendekatan ini dianggap lebih efektif dari segi kos dan responsif berbanding dengan penggunaan lampu jalan yang sentiasa menyala.
Prototaip sistem pengesanan haiwan tersebut menggunakan pemproses NVIDIA Jetson Nano dan rangkaian neural YOLO dan telah menunjukkan keupayaan mengesan kehadiran haiwan pada masa nyata dengan ketepatan sehingga 98.6 peratus. Sistem ini bukan sahaja memberikan amaran segera kepada renjer hutan, malah turut mengaktifkan papan tanda trafik digital untuk memaklumkan pengguna jalan raya.
Sistem Pengesanan Insiden Jalan Raya Automatik atau Automatic Road Incident Detection System (ARIDS) yang dibangunkan oleh pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menggunakan rangkaian neural untuk mengimbas aliran trafik dan aktiviti hidupan liar secara langsung. Lembaga Lebuhraya Malaysia juga kini dalam proses menilai kesesuaian sistem ini untuk pelaksanaan di seluruh negara. Sebagai contoh, satu kemalangan yang berlaku di Johor baru-baru ini telah dikesan oleh ARIDS 23 minit sebelum laporan rasmi dibuat, sekali gus menyerlahkan keupayaan sistem ini dalam meningkatkan kecekapan tindak balas terhadap insiden.
Selain itu, penggunaan dron yang dilengkapi dengan pengimbas terma turut diaplikasikan bagi memantau kawasan berisiko tinggi, khususnya di kompleks hutan Belum-Temenggor. Pemantauan udara ini membolehkan pengaktifan lampu amaran di tepi jalan apabila kehadiran haiwan dikesan dan seterusnya meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan hidupan liar.
Intervensi fizikal kini sedang direka semula berasaskan prinsip kelestarian alam sekitar. Sebagai contoh, lintasan bawah tanah dan jambatan kanopi khas untuk hidupan liar telah dibina di Lebuhraya Egnatia, Greece. Kejayaan pendekatan ini terbukti apabila kes kematian beruang dalam tempoh empat tahun menurun kepada sifar.
Struktur lintasan serupa juga sedang dibangunkan di Malaysia, terutamanya di koridor pergerakan gajah dan harimau. Pemasangan kamera perangkap digunakan bagi memantau pergerakan haiwan dan seterusnya mengoptimumkan lokasi pembinaan lintasan yang sesuai.
Tambahan kepada struktur fizikal, teknologi pagar maya berasaskan AI turut dibangunkan untuk mewujudkan “halangan tidak kelihatan” di sepanjang jalan raya. Sistem ini menggunakan bunyi akustik berfrekuensi tinggi dan cahaya khas untuk menghalau haiwan serta memberikan amaran kepada pemandu untuk melalui papan tanda had laju dinamik.
Pendekatan ini berupaya meningkatkan tahap keselamatan kedua-dua pengguna jalan raya dan hidupan liar secara serentak. Inisiatif sedemikian menunjukkan potensi besar sebagai sebahagian daripada penyelesaian bersepadu yang lebih lestari.
Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM250 juta untuk memperluas kawasan hutan simpan serta menubuhkan pusat perlindungan gajah di negeri Johor, Pahang, Perak dan Terengganu. Usaha ini bertujuan memelihara laluan migrasi hidupan liar yang terputus akibat pembangunan infrastruktur jalan raya.
Sebagai langkah tambahan, pemasangan papan tanda reflektif serta lampu mesra hidupan liar telah dilaksanakan bagi meningkatkan keterlihatan jalan pada waktu malam tanpa mengganggu habitat haiwan nokturnal. Pelaksanaan ini penting bagi mengurangkan konflik antara manusia dengan hidupan liar di kawasan berisiko.
Dari sudut perundangan, penguatkuasaan berperanan penting dalam memastikan kesinambungan usaha mitigasi. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyokong penurunan had laju kepada 60 kilometer per jam di zon panas kemalangan dan penguatkuasaan dilaksanakan melalui penggunaan kamera had laju berasaskan AI serta papan tanda adaptif yang bertindak balas pada masa nyata terhadap kehadiran haiwan.
Selain itu, Pasukan Petugas Pemuliharaan Harimau Kebangsaan yang melibatkan lapan negeri turut menyelaras perancangan pengangkutan bersama-sama usaha pemuliharaan. Inisiatif ini meliputi pembiayaan kajian penyelesaian berasaskan IoT serta peluasan rangkaian penderia di habitat harimau.
Penggunaan pangkalan data geografi bersama juga membolehkan penjejakan insiden langgar lari dan laluan migrasi haiwan dilaksanakan dengan lebih tepat, sekali gus memudahkan pelaksanaan intervensi yang berkesan. Pendekatan ini turut disokong oleh aplikasi hibrid yang membolehkan orang awam melaporkan kemalangan dan seterusnya menggalakkan pelibatan komuniti dalam proses pengumpulan data.
Reformasi undang-undang turut dilaksanakan untuk mengukuhkan tadbir urus. Antaranya termasuklaha Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang mengklasifikasikan pengendalian ternakan secara cuai sebagai satu kesalahan, manakala Kaedah 33 di bawah Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya memperuntukkan kawalan yang lebih ketat terhadap haiwan terbiar di lebuh raya.
Kejayaan jangka panjang dalam mitigasi perlanggaran antara haiwan dengan kenderaan amat bergantung pada sokongan serta pelibatan masyarakat. Kempen pendidikan awam memberikan tumpuan kepada pengurangan kelajuan pemanduan pada waktu malam di kawasan berisiko tinggi seperti Lebuhraya Gerik–Jeli. Kadar pematuhan telah mencapai 90 peratus di zon perintis melalui kerjasama strategik bersama-sama syarikat e-panggilan dan pengangkutan lori.
Selain itu, krisis kekurangan bekalan makanan yang dihadapi haiwan dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang kepada konflik antara gajah dengan manusia. Bagi mengatasi isu ini dalam jangka masa panjang, penyelidik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersama-sama PERHILITAN mencadangkan pembinaan Koridor Gajah dan Kawasan Rehat Bank Makanan (Food Bank).
Kawasan ini akan ditanam dengan tumbuhan kegemaran gajah dan haiwan terancam lain yang dijangka bukan sahaja dapat mengawal pergerakan haiwan daripada menceroboh kawasan kampung, malah turut memberikan manfaat kepada spesies lain seperti harimau dan beruang matahari.
Modul pemuliharaan hidupan liar juga telah diperkenalkan di institusi pendidikan yang terletak di sepanjang koridor pergerakan haiwan. Pada masa yang sama, kempen media sosial memanfaatkan insiden tular seperti tragedi anak gajah pada tahun 2025 sebagai medium untuk mengukuhkan sokongan masyarakat terhadap langkah perlindungan hidupan liar. Dalam hal ini, peranan media sosial dalam menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap inisiatif mitigasi terbukti memberikan impak positif dalam memperluas jangkauan mesej pemeliharaan alam sekitar.
Dasar, Pembiayaan dan Kerjasama Strategik
Pada peringkat antarabangsa, Malaysia sedang meninjau peluang pembiayaan daripada program seperti L’Instrument Financier pour l’Environnement (LIFE) Kesatuan Eropah yang menyediakan dana bagi projek alam sekitar berbilang tahun. Inisiatif ini bertujuan mempertingkat penggunaan teknologi AI dan penderia secara lestari dalam pemantauan hidupan liar, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
Seiring dengan usaha tersebut, kerjasama bersama-sama sektor korporat dan teknologi turut dipertingkat. Antaranya termasuklah pelibatan syarikat telekomunikasi yang menyumbang infrastruktur 5G bagi memudahkan penghantaran data masa nyata daripada penderia yang dipasang di kawasan pinggir hutan.
Walau bagaimanapun,beberapa cabaran masih perlu diberikan perhatian. Kos permulaan sistem berasaskan AI merupakan beban kewangan yang ketara kepada bajet negeri, justeru memerlukan sokongan bersepadu melalui kerjasama awam dan swasta. Sebagai contoh, di Perak, kolaborasi bersama-sama syarikat semikonduktor telah dilaksanakan bagi mensubsidi penggunaan kamera terma dalam pemantauan hidupan liar.
Walaupun kerajaan persekutuan telah menambah peruntukan kepada RM250 juta bagi memperkukuh perlindungan habitat, usaha pemuliharaan koridor hidupan liar masih berdepan dengan cabaran. Pelan guna tanah pada peringkat negeri yang tidak teratur terus menjejaskan kelangsungan inisiatif pemuliharaan koridor hidupan liar yang telah dirancang.
Antara Teknologi dengan Pengetahuan Tradisional
Sesetengah pengkritik turut memberikan amaran bahawa kebergantungan berlebihan terhadap teknologi berisiko menggantikan pengetahuan tradisional yang telah lama diamalkan dalam kalangan komuniti setempat. Bagi menangani kebimbangan ini, projek perintis yang menggabungkan teknologi AI dengan kaedah konvensional seperti penggunaan pagar lebah sedang dilaksanakan sebagai pendekatan pelengkap yang lebih menyeluruh dan mesra komuniti.
Melangkah ke hadapan, kemajuan teknologi dijangka memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha mitigasi konflik antara haiwan dengan pengguna jalan raya. Integrasi sistem pengesanan hidupan liar dengan rangkaian kenderaan autonomi, sebagai contoh, berpotensi membolehkan pelaksanaan brek automatik atau manuver elakan secara automatik. Pada masa yang sama, program pampasan berasaskan teknologi blok rantai turut dicadangkan untuk menggalakkan pemandu melaporkan insiden hampir kemalangan. Maklumat yang dikumpulkan ini akan menyumbang kepada pembangunan pangkalan data nasional yang lebih komprehensif dan responsif terhadap keperluan pemuliharaan masa nyata.
Semua inisiatif ini menggambarkan pendekatan bersepadu yang menggabungkan inovasi teknologi AI, kejuruteraan hijau dan tadbir urus inklusif sedang diterapkan secara aktif di Malaysia. Pendekatan ini bukan sahaja menawarkan penyelesaian berskala tempatan, malah berpotensi menjadi model yang boleh dicontohi oleh negara lain yang turut berdepan cabaran yang serupa dalam mengimbangi pembangunan infrastruktur dengan kelestarian biodiversiti.
Dalam kerangka pemikiran ini, jaringan jalan raya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem yang dinamik da bukan sekadar laluan fizikal semata-mata. Melalui pelaksanaan inisiatif yang berpaksikan kesepaduan antara manusia, teknologi denga alam, usaha melindungi biodiversiti serta nyawa manusia dapat diperkukuh agar tragedi seperti kematian anak gajah tidak lagi berulang.
Namun begitu, kejayaan pelaksanaan strategi yang dirancang ini sangat bergantung pada komitmen jangka panjang dan ketelusan antara agensi yang terlibat. Pelibatan aktif masyarakat turut menjadi tunjang utama bagi membina keharmonian antara pembangunan dengan kelestarian alam semula jadi.
Ts. Dr. Faridah Hanim Khairuddin, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Profesor Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Profesor Madya Dr. Fauzan Mohd Jakarni, Pensyarah Kanan, Universiti Putra Malaysia.