Diterbitkan pada 26 Mei 2025, 08:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Penggunaan teknologi dron dalam penanaman padi telah mencetuskan gelombang baharu kepada komuniti luar bandar apabila penduduk Kampung Penghulu Jaafar menerima latihan intensif selama dua hari menerusi program peningkatan kemahiran yang julung-julung kali diadakan.

Program yang bertajuk “Peningkatan Kemahiran Komuniti: Penggunaan Dron untuk Penanaman Padi” ini berlangsung selama dua hari di Dewan Orang Ramai, Kampung Penghulu Jaafar sebagai usaha menyokong dasar kerajaan dalam memperkasakan komuniti luar bandar melalui pemindahan teknologi dan ilmu pertanian moden.

Inisiatif tersebut dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, syarikat teknologi Aonic Sdn. Bhd. dengan komuniti setempat dengan sokongan penuh Geran Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) yang menumpukan pembangunan mampan melalui pemupukan kemahiran teknikal.

Program ini berfokuskan latihan asas kendalian dron, penyelenggaraan peralatan serta pemahaman terhadap peraturan sedia ada yang berkaitan dengan penggunaan teknologi dron dalam bidang agromakanan.

Peserta turut diberikan pendedahan praktikal dengan menggunakan dua unit dron pertanian yang diperoleh melalui geran tersebut dalam sesi demonstrasi penerbangan, simulasi penyemburan dan penyelenggaraan teknikal secara langsung.

Tenaga pakar dari Aonic Sdn. Bhd., Encik Muhammad Nazriey Afif Aznan, Musfira Husna dan Mohd Shahrul Shahini Abd Rahim, bersama-sama pensyarah UiTM Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Puan Zamzila Erdawati Zainol dan YBrs. Dr. Jamil Tajam turut menyumbang kepakaran mereka dalam bidang teknologi pertanian dan transformasi digital.

Para peserta Program Peningkatan Kemahiran Komuniti yang berlangsung di Kampung Penghulu Jaafar selepas sesi latihan penggunaan teknologi dron di bawah inisiatif Geran SejaTi MADANI.

Menurut Puan Zamzila Erdawati, program ini mempunyai potensi besar untuk menjadikan Kampung Penghulu Jaafar sebagai pusat rujukan komuniti dalam aplikasi teknologi dron bagi sektor pertanian.

“Kami percaya inisiatif seperti ini dapat mempercepat usaha kerajaan untuk mendigitalkan sektor agromakanan negara dengan lebih menyeluruh,” ujar beliau ketika ditemui selepas sesi latihan.

YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor pula menekankan bahawa teknologi pengimejan berbilang spektrum memainkan peranan penting dalam usaha memantau kesihatan tanaman secara lebih sistematik dan tepat.

“Geran SejaTi MADANI yang dikelolakan oleh Unit Penyelarasan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Pendidikan Tinggi  ini bukan sekadar membekalkan peralatan, tetapi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan kelestarian komuniti luar bandar jika dimanfaatkan secara berterusan,” katanya.

Peserta program menjalani sesi praktikal penggunaan dron pertanian yang melibatkan demonstrasi penerbangan dan simulasi penggunaan di sawah.

Sementara itu, Pengerusi JPKKP Kampung Penghulu Jaafar, Encik Az Rostam Ahmad menyuarakan harapan agar kampung tersebut dapat berfungsi sebagai hab teknologi pertanian pintar di Perlis dengan kerjasama berterusan daripada institusi pengajian tinggi dan industri.

Program ini sekali gus memperkukuh jalinan antara universiti, industri dengan masyarakat serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya dalam aspek pemerkasaan komuniti, pendidikan berkualiti dan inovasi pertanian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi