Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Penyelidikan dalam bidang pemakanan berasaskan tumbuh- tumbuhan terus diperkukuh melalui penganjuran Bengkel Pemantapan Kumpulan Penyelidikan Universiti (KPU) Pemakanan Planetari yang berlangsung di Bangi Resort, baru-baru ini.
Bengkel dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Hasnah Haron yang menerangkan peranan KPU serta objektif penganjuran bengkel ini sebagai platform pendedahan dan perancangan hala tuju penyelidikan.

Pengisian diteruskan dengan perkongsian oleh Pengarah Insititut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Johor, YBrs. Dr. MusaAlBakri Abdul Manan, yang menyampaikan ceramah berkaitan dengan pembangunan produk makanan penapaian berasaskan buah tempatan.
Beliau memperkenalkan beberapa hasil penyelidikan MARDI seperti minuman ditapaikan daripada ceri Terengganu dan kuini serta penggunaan ubi keledek oren manis VitAto dalam penghasilan minuman berkultur.
“Kami juga membangunkan patti burger berasaskan tumbuhan yang diformulasikan dengan menggunakan kekacang dan melalui proses penapaian kulat sebagai alternatif sumber protein yang lebih sihat,” ujar YBrs. Dr. MusaAlBakri Abdul Manan.

Penceramah kedua, YBrs. Dr. Noor Azizah Ahmad dari MARDI Serdang pula menyampaikan ceramah teknikal berkaitan dengan pembungkusan, pelabelan dan kaedah penentuan jangka hayat produk makanan.
Beliau menghuraikan jenis pembungkusan dan pelabelan yang perlu dipatuhi mengikut peraturan makanan sedia ada, termasuklah pindaan terbaharu yang dikuatkuasakan di Malaysia.

“Penentuan jangka hayat produk makanan dijalankan melalui pengujian simpanan sebenar secara kuantitatif serta ujian penilaian deria secara kualitatif berdasarkan penerimaan pengguna,” jelas YBrs. Dr. Noor Azizah Ahmad
Sesi petang bengkel diteruskan dengan pengenalan kepakaran setiap ahli KPU serta perbincangan dalaman mengenai perancangan penyelidikan dan kerjasama kumpulan pada masa akan datang.
Program berakhir dengan persetujuan bersama untuk melanjutkan usaha penyelidikan yang menyokong kesejahteraan masyarakat melalui produk makanan yang sihat dan berasaskan sains.
Penubuhan KPU di bawah Universiti Kebangsaan Malaysia berperanan menjadikan universiti ini sebagai peneraju dalam pelaksanaan penyelidikan pelbagai bidang yang memberikan sumbangan kepada akademik dan sosial.
Kumpulan Penyelidikan Pemakanan Planetari yang diluluskan pada 18 Disember 2024 diterajui oleh Profesor Madya Ts. Dr. Hasnah Haron dengan keanggotaan sebanyak lapan orang penyelidik daripada bidang sains makanan, pemakanan dan dietetik.

Kumpulan ini memberikan tumpuan kepada kajian yang menghubungkan kesihatan dengan pengambilan nutrien daripada makanan berasaskan tumbuhan seperti buah-buahan, bijirin penuh, kekacang dan sayur-sayuran.
Penyelidikan ini memberikan fokus kepada pembangunan produk makanan sihat yang berpotensi menggantikan snek komersial sedia ada yang mengandungi kadar lemak, natrium dan gula yang tinggi.
Setiap produk yang dibangunkan juga akan melalui proses penilaian deria dan kajian penerimaan pengguna bagi memastikan kualiti dan kebolehterimaan sebelum dipertimbangkan untuk pengeluaran.