Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCape Town – Buat julung-julung kalinya, Degrees Global Forum 2025 berjaya menghimpunkan lebih daripada 300 orang ahli akademik, penyelidik iklim, pembuat dasar dan wakil organisasi masyarakat sivil dari seluruh dunia di Cape Town, Afrika Selatan bagi membincangkan teknologi pengubahsuaian sinaran suria atau solar radiation modification (SRM) yang kian mendapat perhatian dalam usaha menangani perubahan iklim global.
Forum yang diadakan selama lima hari mulai 12 Mei 2025 itu dianjurkan oleh The Degrees Initiative yang menumpukan perhatian kepada cabaran dan peluang berkaitan dengan teknologi geokejuruteraan serta menekankan keterangkuman suara dari Global Selatan, khususnya negara membangun yang paling terkesan disebabkan oleh perubahan iklim.

Malaysia turut menzahirkan komitmen dalam wacana iklim antarabangsa apabila pensyarah dari Universiti Sains Malaysia, YBrs. Profesor Madya Gs. Dr. Tan Mou Leong diundang sebagai wakil negara bagi menyertai perbincangan ahli panel dan sesi teknikal dalam forum tersebut.
Kehadiran beliau menandakan bahawa keaktifan penyelidik Malaysia dalam meneroka teknologi baharu yang mampu menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG-13, iaitu Tindakan terhadap Perubahan Iklim.
Ujar YBrs. Profesor Madya Gs. Dr. Tan Mou Leong,
Kita tidak boleh berdiam diri dalam perbincangan sains dan teknologi masa hadapan seperti SRM yang berpotensi memberikan kesan kepada iklim dan kesejahteraan wilayah, maka itu suara Malaysia dan rantau Asia Tenggara harus terlibat dalam proses membentuk tadbir urus global yang adil dan lestari.


SRM merujuk pelbagai pendekatan saintifik yang bertujuan untuk mengurangkan jumlah sinaran matahari yang sampai ke permukaan bumi dan seterusnya menstabilkan suhu global.
Antara teknik yang dibincangkan dalam forum tersebut bagi menangani isu perubahan iklim termasuklah penyuntikan aerosol ke stratosfera, pencerahan awan laut dan penggunaan permukaan reflektif, namun kaedah ini masih menjadi pendebatan dalam kalangan pakar kerana melibatkan risiko ketidakseimbangan iklim dan ketidaktentuan ekologi.
Pada masa yang sama, Mesyuarat Tahunan ke-15 Projek Perbandingan Model Geoengineering (GeoMIP) yang melibatkan pakar iklim global turut diadakan untuk menilai simulasi model SRM berdasarkan data terkini dan memberikan penekanan kepada tadbir urus teknologi, keadilan iklim serta akses saksama kepada maklumat dan keputusan, di samping isu penting bagi negara membangun yang sering terpinggir dalam perbincangan sains arus perdana.

Sebagai rakan media rasmi forum, SRM360 menyediakan sorotan harian dalam bentuk video, audio siar (podcast) dan laporan lapangan bagi memastikan maklumat forum dapat diakses secara terbuka dan telus.
Forum berkenaan turut memperkenalkan pendekatan rentas disiplin termasuklah pelibatan pakar sosiologi, etika dan penggubal dasar bagi memperkasakan pendekatan holistik terhadap penyelidikan SRM.
Degrees Global Forum 2025 bukan sahaja memperkukuh kedudukan Global Selatan dalam arena penyelidikan iklim, malah membuka ruang kerjasama transnasional yang lebih seimbang.
Malaysia melalui penyertaan aktif dalam forum sebegini menunjukkan kesediaan untuk menjadi sebahagian daripada komuniti saintifik global yang progresif dan bertanggungjawab.