Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPapar – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh komitmennya dalam memperluas akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan menubuhkan Kolej Komuniti Papar yang menawarkan program dalam bidang teknologi maklumat (IT) serta kecerdasan buatan (AI).
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, penubuhan kolej ini merupakan manifestasi usaha kerajaan untuk memperkasakan komuniti luar bandar dengan peluang pendidikan berkualiti dan bersesuaian dengan keperluan industri semasa.
“Kolej Komuniti Papar ini memberikan tumpuan kepada bidang IT dan AI. Saya yakin penubuhan kolej ini akan membuka peluang pekerjaan yang lebih baik kepada anak tempatan selaras dengan permintaan industri masa ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Rasmi Bangunan Kolej Komuniti Papar, pagi tadi.
Kampus baharu ini turut menampilkan konsep “Digital Training”, iaitu penyepaduan ruang akademik dan industri secara pintar serta dilengkapi capaian Internet Wi-Fi 100 peratus. Dengan kemudahan tersebut, Kolej Komuniti Papar menjadi kampus pintar pertama di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
YB Menteri turut menekankan kepentingan menyediakan kemudahan sokongan seperti asrama di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak, meskipun kemudahan itu tidak termasuk dalam dasar asal penubuhan Kolej Komuniti.
“Kita sedang meneliti keperluan pada peringkat setempat supaya kolej ini benar-benar berfungsi sebagai pusat pembangunan modal insan komuniti,” jelas beliau.
Penubuhan Kolej Komuniti Papar dilihat sebagai langkah strategik dalam menyokong agenda pembangunan wilayah melalui peningkatan kemahiran belia tempatan terutamanya dalam bidang teknologi masa hadapan.

Sebagai rekod, projek pembangunan Kolej Komuniti Papar telah dimulakan sejak Rancangan Malaysia Kesebelas, “Rolling Plan” Pertama (2017) dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 2 April 2024. Projek ini melibatkan kerja naik taraf terhadap 10 lot bangunan empat tingkat di Pusat Komersil Sri Alam Perdana dengan keluasan keseluruhan mencecah 4,032.8 meter persegi.
Kolej ini mempunyai kapasiti menampung sehingga 360 pelajar dan akan menawarkan dua program pengajian utama, iaitu Sijil Teknologi Maklumat dan Sijil Perkhidmatan Logistik dengan pengambilan pertama dijadualkan pada Julai 2025.
Selain itu, Kolej Komuniti Papar turut membuka ruang pembelajaran kepada orang awam menerusi Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan komuniti melalui akses kepada ilmu dan kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa.

Turut hadir dalam majlis ini termasuklah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail.