Diterbitkan pada 1 Mei 2025, 19:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis menganjurkan Program Beach Cleaning anjuran Persatuan Teknologi Marin (MARTECH) dan Kelab Kaunselor Rakan Sebaya (PEERS) di Dataran Integrated Multipurpose Attach Block (IMAB), Kuala Perlis, Perlis.

Menurut Penasihat Persatuan Teknologi Marin (MARTECH), YBrs. Ts Gs Khairul Naim Abd. Aziz, program ini bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan mahasiswa, pensyarah dan komuniti dalam usaha memelihara dan menjaga kebersihan ekosistem pantai bagi mewujudkan persekitaran bersih, selamat dan selesa untuk dikunjungi.

“Program ini juga menjadi sebahagian daripada gerakan membudayakan kebersihan pantai dalam usaha memelihara zon pesisiran Pantai Kuala Perlis yang terkenal dengan aktiviti pelancongan dan ekonomi marin,” kata beliau.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Gunaan, Puan Ts. Zamzila Erdawati Zainol menyatakan bahawa program ini wajar diadakan untuk memastikan kawasan pesisiran Pantai Kuala Perlis bersih bagi menyokong Kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perlis.

Ujar beliau, program ini memberikan nilai tambah dalam kalangan mahasiswa dalam pembentukan kemahiran insaniah yang penting dalam kemenjadian graduan kelas pertama.

“Para peserta, terutamanya mahasiswa dipupuk dengan nilai tanggungjawab, prihatin, disiplin, kebersamaan, kesukarelawan dan semangat cintakan alam sekitar,” kata beliau.

 

Para peserta dibekalkan dengan sarung tangan, penyepit dan plastik sampah bagi tujuan pembersihan persekitaran pantai di Dataran IMAB, Kuala Perlis, Perlis.

 

Para peserta mengumpulkan sampah di ceruk batu di Dataran IMAB, Kuala Perlis, Perlis.

Beliau juga menjelaskan pembentukan nilai ini penting dalam menyokong usaha kelestarian alam sekitar, meningkatkan imej negara dan membina generasi beretika yang menjadi asas penting dalam melahirkan pemimpin masa hadapan yang lebih berintegriti dan berwawasan.

Pada masa yang sama, aktiviti lain turut dijalankan seperti aktiviti senaman fizikal dan aktiviti permainan minda yang bertujuan untuk membudayakan amalan menjaga kesihatan, menjalin hubungan silaturahim dan mewujudkan semangat muhibah antara peserta.

Para peserta melakukan senaman badan di Dataran IMAB, Kuala Perlis.
Para peserta bermain permainan minda berteraskan STEM sejurus aktiviti membersih pantai tamat.

Turut hadir dalam program ini ialah Penasihat Persatuan PEERS merangkap Pegawai Psikologi UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Puan Shamsiah Mamat; Presiden Persatuan MARTECH, Encik Mohamad Fikry Effendy; Presiden Persatuan PEERS, Puan Siti Nur Khairiah Julpin; warga UiTM Cawangan Perlis; dan komuniti setempat.

Kredit foto: Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi