Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Usaha Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperkasakan kemahiran komunikasi jururawat menerusi Modul Latihan Peningkatan Interaksi dengan Individu yang Mengalami Kecelaruan Komunikasi Perolehan atau lebih dikenali sebagai Communicate Better! (COMBETT) mencetuskan dimensi baharu dalam penyampaian penjagaan pesakit yang mengalami kecelaruan bahasa perolehan.
Suatu bengkel intensif yang melibatkan 15 orang jururawat dari pelbagai jabatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), UKM telah diadakan di Hotel Zecon, Cheras, Kuala Lumpur bagi menilai keberkesanan Modul COMBETT.
Modul ini merangkumi pelbagai bahan latihan interaktif seperti video pengajaran, lembaran latihan, manual pelatih dan fasilitator serta slaid pembentangan yang menyeluruh tentang kecelaruan komunikasi perolehan.
Antara kecelaruan yang dibincangkan dalam bengkel yang menjadi sebahagian daripada inisiatif penyelidikan yang dibiayai melalui Geran Universiti Penyelidikan UKM ini termasuklah afasia, disartria, apraksia pertuturan serta kecelaruan kognitif-komunikasi yang memberi kesan kepada keupayaan individu berinteraksi secara berkesan dalam kehidupan seharian.
Modul ini turut memperkenalkan pelbagai strategi dan teknik komunikasi yang dapat membantu individu yang terkesan serta pasangan komunikasi mereka untuk berhubung dengan lebih berkesan dan empati.


Sementara itu, video “Bicaraku Terhalang” dan “Strategi Sokongan Komunikasi” yang dipertontonkan dalam sesi latihan menjadi tumpuan peserta terhadap realiti kecelaruan komunikasi.
Majlis pelancaran video “Bicaraku Terhalang” turut diadakan pada sebelah petang di lokasi yang sama dan dihadiri oleh pelbagai pihak, termasukah pegawai kanan UKM, pensyarah, pelajar serta kru produksi.
Video tersebut merupakan hasil kolaborasi antara Makmal Aphasia@UKM, Unit Terapi Pertuturan di Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan HCTM UKM, dengan Jabatan Multimedia dan Penyiaran HCTM UKM.
“Bicaraku Terhalang” menampilkan kisah benar dan cabaran yang dihadapi oleh individu yang mengalami kecelaruan komunikasi perolehan dalam menjalani kehidupan seharian.
Sementara itu, video “Strategi Sokongan Komunikasi” memaparkan panduan visual kepada kaedah praktikal yang boleh digunakan oleh jururawat dan penjaga dalam menyantuni pesakit berkecelaruan komunikasi.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, UKM, Profesor Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid yang turut menyampaikan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua tenaga kerja di sebalik penerbitan dua video bermakna tersebut.
“Saya amat berbangga dengan inisiatif ini yang menyatukan dimensi saintifik dan klinikal dengan nilai kemanusiaan yang mendalam,” ujar beliau dalam ucapan perasmiannya.
Beliau menambah,
“Kecelaruan komunikasi sering kali menjadi cabaran tersembunyi dalam penjagaan kesihatan dan usaha seperti Modul COMBETT memberikan cahaya harapan kepada pesakit dan penjaga.
“Video seperti “Bicaraku Terhalang” pula memberikan kesedaran yang mendalam serta menyentuh emosi kita sebagai manusia, sekali gus mengajak kita untuk lebih peka dan empati terhadap cabaran yang dihadapi oleh golongan ini,” katanya lagi.
Dalam ucapannya, beliau juga menyeru agar pendekatan kolaboratif antara penyelidik, klinikal dengan media pendidikan seperti ini terus diperkukuh dan diperluas ke peringkat nasional.
Kedua-dua video pengajaran tersebut kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi HCTMTV sebagai rujukan dan bahan pendidikan kesihatan awam.