Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 1 Mei 2025, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Petani –  Forum Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pengurusan Teknologi Maklumat anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Pusat Dokumentasi Melayu dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah, Kampus Sungai Petani telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Perdana, UiTM Cawangan Kedah.

Forum yang menghimpunkan lebih daripada 180 orang peserta itu menampilkan tiga panel yang berpengalaman dalam bidang masing-masing, iaitu Pensyarah Kanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Jabatan Perpustakaan dan Sains Sosial Maklumat, Universiti Malaya, YBrs. Dr. Ranita Hisham Shunmugam; Pensyarah Kanan, Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media, UiTM Cawangan Kedah, YBrs. Dr. Siti Khadijah Rafie; dan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, YBrs. Ts. Mohamad Shaufi Kambaruddin.

Ketiga-tiga panel berkongsi pandangan berhubung dengan perkembangan dan kepentingan AI dalam pengurusan teknologi maklumat, khususnya dalam sektor perpustakaan dan pendidikan tinggi.

Perbincangan turut menyentuh isu etika, kelestarian teknologi dan peranan AI dalam mempertingkat keberkesanan perkhidmatan maklumat.

Menurut YBrs. Dr. Ranita Hisham Shunmugam, penggunaan AI dalam bidang perpustakaan menjadi keperluan yang strategik bagi mendepani cabaran pengurusan maklumat dalam era digital.

Beliau menekankan bahawa peranan pustakawan kini juga telah berevolusi daripada sekadar penjaga koleksi kepada pemudah cara maklumat yang perlu tangkas, efisien dan responsif terhadap kehendak pengguna.

“Dalam menelusuri era digital, organisasi dan pustakawan perlu memahami serta meneroka potensi AI sebagai alat pemudah cara dalam pengurusan maklumat,” jelas beliau.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Jabatan Perpustakaan dan Sains Sosial Maklumat, Universiti Malaysia, YBrs. Dr. Ranita Hisham Shunmugam turut menggesa agar institusi perpustakaan di seluruh negara memperkasakan literasi digital dan pemahaman asas etika penggunaan AI.

Sementara itu, YBrs. Dr. Siti Khadijah Rafie menegaskan bahawa AI tidak harus dilihat sebagai ancaman kepada peranan manusia, sebaliknya sebagai alat sokongan yang mampu mempermudah pelbagai urusan, khususnya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.

Menurut beliau, AI seharusnya dimanfaatkan secara bijak untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan bukan dijadikan sebagai jalan pintas tanpa memahami konteks ilmu yang sebenar.

“AI ini memudahkan kita, bukan menggantikan manusia,” katanya sambil mengingatkan para pelajar agar tidak terlalu bergantung secara membuta tuli pada teknologi ini.

Beliau turut mengupas isu etika dalam penggunaan AI dan menasihati pelajar agar sentiasa memastikan maklumat yang diperoleh melalui aplikasi AI diteliti kesahihannya terlebih dahulu.

Katanya, tanpa disiplin dan tanggungjawab dalam penggunaan teknologi, pelajar berisiko terdedah kepada maklumat yang salah, tidak berautoriti atau bersifat provokatif.

 

Pensyarah Kanan, Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media, UiTM Cawangan Kedah, YBrs. Dr. Siti Khadijah Rafie turut menyeru agar pelajar berpandukan prinsip integriti akademik serta pemikiran kritis dalam menilai maklumat.

Ts. Mohamad Shaufi Kambaruddin turut berkongsi pengalaman beliau dalam menggunakan teknologi AI dalam tugasan harian sebagai pegawai pendidikan tinggi.

Beliau menjelaskan bahawa AI bukanlah sesuatu yang baharu, malah konsep asasnya telah diperkenalkan sejak era Alan Turing pada sekitar tahun 1970-an.

Namun begitu, perkembangan teknologi maklumat dan pemprosesan data yang pesat telah merevolusikan AI menjadi pelbagai aplikasi moden yang kini digunakan dalam pelbagai sektor, termasuklah pendidikan, industri, perkhidmatan dan pentadbiran awam.

Menurut beliau, selain menjimatkan masa, pendigitalan meningkatkan ketepatan dalam penyampaian maklumat dan keputusan.

“Pelajar harus bijak memanfaatkan AI agar tidak ketinggalan dalam era serba moden ini,” katanya sambil menyeru agar para pelajar tidak sekadar menjadi pengguna pasif tetapi turut memahami asas teknologi yang digunakan.

Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, YBrs. Ts. Mohamad Shaufi Kambaruddin menekankan kepentingan celik teknologi dalam kalangan pelajar dan pendidik supaya dapat menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendidikan serta tuntutan Revolusi Perindustrian 4.0.

Forum ini turut diserikan dengan sesi soal jawab interaktif antara para pelajar dengan ahli panel yang memperlihatkan keterlibatan aktif peserta dalam membincangkan pelbagai isu semasa berkaitan penggunaan AI.

Antara topik yang dibangkitkan termasuklah kebergantungan berlebihan terhadap teknologi, kebolehpercayaan maklumat yang dihasilkan oleh AI serta potensi impaknya terhadap pengurangan peranan manusia dalam sektor maklumat dan perpustakaan.

Forum AI dalam Pengurusan Teknologi Maklumat turut dimeriahkan dengan jualan buku terbitan terkini DBP.

Turut hadir dalam forum ini termasuklah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Perpustakawan yang mewakili pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Kedah, Kampus Sungai Petani, Puan Azizah Kassim; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Wilayah Utara DBP, Encik Sharrul Hashim; Ketua Pusat Dokumentasi Melayu DBP, Encik Salim Md Zin; Ketua Bahagian Dasar Perancangan dan Strategik DBP, Encik Abdul Ghani Abu serta barisan pensyarah dan pelajar UiTM Cawangan Kedah.

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi