Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNilai – Tiga orang pensyarah dari KPJ Healthcare University (KPJU), iaitu YBrs. Profesor Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain, Encik Mohd Imran Mohd dan Puan Nur Anis Izzati Che Mut telah mewakili Persatuan Juru-X-ray Malaysia (MSR) dalam program “Santai Sihat Madani Bersama Profesion Kesihatan Bersekutu 2025” yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 26 April 2025 hingga 27 April 2025 di AEON Mall Nilai, Negeri Sembilan.
Program anjuran Persatuan Anggota Bahagian Kesihatan Bersekutu dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini bertemakan “Allied Health in Action: Strengthening Recovery, Inspiring Wellness” dan telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan.

Mewakili Persatuan Juru X-ray Malaysia, para pensyarah dari KPJU terlibat aktif dalam sesi pameran kesihatan serta ceramah kerjaya berkaitan dengan bidang radiografi.
“Banyak orang yang masih kurang faham peranan juru-X–ray dalam proses diagnosis penyakit, jadi menerusi sesi seperti ini, kita dapat mendekati masyarakat dengan cara yang lebih santai dan mesra,” ujar Encik Mohd Imran Mohamad, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengimejan Perubatan, KPJU merangkap Setiausaha Agong MSR.

Sementara itu, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain pula berkata, mereka bukan sahaja memperkenalkan profesion juru-X-ray tetapi memberikan pendedahan tentang pentingnya pemeriksaan awal dalam menjaga kesihatan.
Beliau yang merupakan seorang teknologis profesional juga berkesempatan menggunakan sesi interaktif sepenuhnya dengan menayangkan video pembelajaran prosedur pemeriksaan mamogram dan demonstrasi pemeriksaan sendiri payudara untuk meningkatkan pemahaman masyarakat umum, khususnya wanita terhadap saringan awal kanser payudara.

Ujar beliau,
Kebanyakan wanita di Malaysia mempunyai persepsi negatif terhadap pemeriksaan awal kanser payudara, khususnya pemeriksaan mamogram, jadi penerangan yang jelas daripada ahli profesional yang melakukan prosedur mamogram di hospital adalah amat penting untuk mengubah persepsi ini.
Pada masa yang sama, program selama dua hari ini turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti aktiviti kecergasan, sesi derma darah dan ceramah kesihatan.
Puan Nur Anis Izzati Che Mut turut berkongsikan pandangannya bahawa program seumpama ini memberikan peluang kepada masyarakat untuk mengenali lebih banyak bidang dalam kesihatan bersekutu sambil menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Kehadiran ketiga-tiga orang pensyarah ini membuktikan komitmen KPJU dalam menyokong hasrat MSR dan KKM untuk memperkasakan bidang pendidikan kesihatan serta menyokong inisiatif kerajaan memperkukuh sektor kesihatan bersekutu di Malaysia, sekali gus mencerminkan usaha berterusan untuk melahirkan lebih banyak ahli profesional kesihatan yang berdaya saing pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Puan L.Mageswary a/p Lapchmanan.