Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Dalam usaha menjamin kualiti pendidikan tinggi kekal relevan merentas masa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui Fakulti Sains Gunaan, program Teknologi Marin Lestari dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerusi Jabatan Sains Marin, Kulliyyah Sains telah mengadakan sesi perbincangan dan perkongsian, kepakaran dan pengalaman untuk meningkatkan kualiti akademik serta membentuk graduan bagi memenuhi permintaan industri dalam bidang marin.
Program Teknologi Marin Lestari, UiTM Cawangan Perlis telah diwakili oleh Penyelaras National Outcome Based Learning (NOBLe), Puan Rosnani Nazri, manakala Jabatan Sains Marin, UIAM diwakili oleh Ketua Jabatan Sains Marin, YBrs. Dr. Aimimuliani Adam.
Dalam perbincangan tersebut, perhatian lebih tertumpu kepada struktur pelan pengajian terkini, kemudahan pengajaran dan pembelajaran, kelengkapan makmal dan instrumentasi serta cabaran pengoperasian program akademik yang ditawarkan di fakulti dan jabatan masing-masing.
Menurut Puan Rosnani Nazri, program Teknologi Marin Lestari diwujudkan bagi memenuhi keperluan semasa negara, yakni Malaysia memerlukan tenaga kerja yang dinamik, memiliki pelbagai kemahiran dan kepakaran dalam bidang berkaitan dengan marin, selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Katanya,
Program yang unik ini memfokuskan tiga tujahan utama, iaitu aspek sains dan teknologi marin, aspek ekonomi dan pengurusan serta aspek sains kemasyarakatan sejajar dengan keperluan pasaran kerja industri marin dan maritim.
Beliau juga berkata, perbincangan bersama-sama Jabatan Sains Marin, UIAM adalah signifikan untuk mendapatkan input dan idea bagi memperkukuh kemahiran teknikal dan insaniah serta kebolehpasaran graduan dalam bidang marin.
Beliau juga menyatakan bahawa menerusi perbincangan ini diharapkan dapat menyesuaikan strategi pendidikan yang lebih efektif bagi melahirkan graduan yang kompetitif dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran industri.
Melahirkan graduan yang holistik dalam bidang teknologi marin adalah penting kerana Malaysia mempunyai kawasan marin yang luas dengan sumber yang banyak dan bertanggungjawab mengurusnya dengan berkesan, selaras dengan Agenda 2030 dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang menekankan pemuliharaan pesisir untuk kesejahteraan dan keselamatan sumber.
Pada masa yang sama, YBrs. Ts. Dr. Jamil Tajam menganjurkan program jalinan kolaborasi yang meliputi beberapa bidang seperti kursus perikanan marin, kejuruteraan kultur marin, teknologi pemprosesan produk marin dan teknologi perikanan lepas tuai yang dikendalikan oleh pakar penyelidik di Jabatan Sains Marin, UIAM.
Ujarnya,
Untuk memantapkan kemenjadian mahasiswa, penganjuran kursus berorientasikan komuniti, lawatan pengukuhan akademik dan program latihan industri dapat dirangka bagi memastikan graduan kekal relevan dalam industri marin dan maritim.
Jelasnya lagi, untuk meningkatkan profesionalisme pensyarah pula, aktiviti pengajaran berkolaboratif, perkongsian maklumat teknologi makmal, permohonan geran penyelidikan saintifik dan penulisan ilmiah berimpak tinggi dapat dirancang dan diperincikan, di samping memacu potensi kedua-dua universiti pada peringkat global.
Sesi perbincangan dan perkongsian ini diharapkan dapat meningkatkan kualiti dan daya tarikan program akademik dalam usaha menarik prospek pelajar untuk menceburi bidang ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk menambah bilangan mahasiswa yang memilih bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di universiti.

Delegasi dari UiTM Cawangan Perlis telah diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains Gunaan, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim; Koordinator Unit Hal Ehwal Kurikulum, YBrs. Dr. Siti Nor Din; Penyelaras Bidang Teknologi Marin Lestari, Puan Aziani Ahmad dan para pensyarah Fakulti Sains Gunaan.
Turut hadir mewakili Jabatan Sains Marin, UIAM ialah Penasihat Akademik, YBrs. Dr. Asnor Azrin Sabuti dan Koordinator Alumni, YBrs. Dr. Rashidah Abdul Razak.