Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah mengadakan perbincangan dan perkongsian kepakaran teknologi dron untuk pesawah bersama-sama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Penghulu Jaafar, Beseri, Perlis.
Hal ini bagi menyokong Dasar Agromakanan Negara, 2021–2030 yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan memfokuskan pembangunan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti makanan dan nutrisi.
Rentetan itu, sekumpulan penyelidik prolifik dari UiTM Cawangan Perlis, iaitu YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik serta YBrs. Ts. Dr. Jamil Tajam dan Puan Ts. Zamzila Erdawati Zainol dari Fakulti Sains Gunaan telah mengadakan perbincangan untuk membantu JPKKP menghasilkan tuaian padi yang lebih berkualiti.

Menurut YBrs. Ts. Dr. Jamil Tajam, suntikan dana menerusi Geran Program SejaTi MADANI akan digunakan dengan penuh berhemah untuk meningkatkan hasil padi di persekitaran komuniti Kampung Penghulu Jaafar.
Ujar beliau,
Di negara maju, teknologi dron telah digunakan sepenuhnya kerana kecekapan operasi pengurusan tanaman, penjimatan kos operasi pertanian, pengawalan penyakit tanaman secara proaktif dan pengurusan sumber yang lebih baik.
Beliau juga memaklumkan bahawa pesawah di Kampung Penghulu Jaafar akan diberikan sokongan berbentuk kemahiran teknikal pengoperasian dron mengikut tatacara pengendalian piawai yang ditetapkan dalam usaha membantu mereka mendapatkan hasil tuaian padi yang lebih maksimum dan berkualiti.

Pada masa yang sama, Puan Ts. Zamzila Erdawati Zainol berkata, para penyelidik juga merancang untuk menyediakan latihan intensif penyelenggaraan komponen dan sistem dron bagi memastikan dron berada dalam keadaan yang baik dan bersiap siaga untuk beroperasi.
Katanya,
Semoga latihan yang diberikan dapat membantu pesawah untuk memastikan dron berada dalam keadaan optimum dan mengurangkan risiko kegagalan dari segi teknikal semasa proses penyemburan racun dan baja dilakukan.
Beliau juga menyatakan bahawa penyelenggaraan dron berkala merupakan aspek penting untuk menjamin keselamatan pengguna, memastikan ketepatan data dan kelancaran operasi, memanjangkan hayat dron dan menjimatkan kos jangka masa panjang.
Bengkel latihan penggunaan perisian dron juga akan dilaksanakan bagi memastikan para pesawah dilengkapi dengan kemahiran digitalisasi yang menjadi satu daripada keperluan signifikan dalam era pertanian moden.
Tambah beliau,
Aktiviti pembajaan dan penyemburan racun menjadi lebih efisien dan selamat apabila pesawah memiliki kemahiran dengan menggunakan perisian dron dalam proses merancang operasi penerbangan dan menganalisis data pengimejan.
Sementara itu, Pengerusi JPKKP Kampung Penghulu Jaafar, Encik Az Rostam Ahmad menzahirkan rasa kesyukuran dengan kemajuan program ini dan perancangan latihan yang akan dianjurkan oleh pihak UiTM Cawangan Perlis diharapkan dapat meningkatkan kecekapan penggunaan teknologi dron dalam kalangan pesawah berjalan dengan lancar.
Perbincangan bersama-sama lapan orang wakil komuniti itu telah berlangsung di Surau Kampung Penghulu Jaafar pada pukul 2.30 petang dan diakhiri dengan sesi lawatan tapak.