Diterbitkan pada 21 April 2025, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Pasaran teknologi kecerdasan buatan (AI) dijangka berkembang dengan pesat dan merentasi pelbagai sektor utama seperti perbankan, kesihatan, pendidikan dan teknologi maklumat.

Melihat kepada potensi ini, penggunaan teknologi AI dalam dunia pendidikan dan penyelidikan dilihat akan terus berkembang pesat selaras dengan usaha memperkasakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta penulisan kajian saintifik secara lebih efisien, inovatif dan berimpak tinggi.

Menurut Pensyarah Kanan dari Universiti Malaysia Perlis, YBrs. Dr. Faharol Zubir, teknologi AI merupakan cabang teknologi dan sains komputer yang membolehkan sistem komputer dan mesin meniru kebolehan manusia serta melakukan tugas yang biasanya memerlukan kecerdikan manusia.

YBrs. Dr. Faharol Zubir ketika berucap di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

Beliau berkata,

AI berpotensi untuk menjadikan banyak urusan harian diselesaikan dengan lebih cepat, cekap dan automatik serta kemajuan teknologi ini dijangka menjadi tulang belakang kepada revolusi industri masa hadapan.

Beliau juga menyatakan bahawa penggunaan teknologi AI dalam bidang pendidikan dan penyelidikan boleh digunakan sepenuhnya apabila tujuan dan peranan penggunaannya adalah jelas dan mempunyai matlamat yang betul agar tidak melanggar etika dan hak kemanusiaan.

Ujar beliau,

Mahasiswa perlu menyedari bahawa teknologi AI hanya membantu untuk memperkasakan penghasilan tugasan yang diberikan dan bukannya digunakan untuk tujuan meniru atau menciplak maklumat yang boleh mengakibatkan seseorang mahasiswa itu dikenakan tindakan pelanggaran integriti akademik.

Beliau juga memaklumkan bahawa teknologi AI bukanlah teknologi mencipta jawapan tetapi sebagai alat bantuan untuk mencari jawapan bagi sesuatu permasalahan.

YBrs. Dr. Faharol Zubir meminta agar pengguna teknologi AI untuk menilai setiap maklumat yang dijana bagi mengelakkan masalah pelanggaran integriti.

Selain itu, beliau turut memohon mahasiswa untuk meneroka potensi teknologi AI dalam penulisan kajian literatur yang sering menjadi masalah dalam kalangan mahasiswa untuk menulis kertas cadangan penyelidikan, permohonan geran penyelidikan dan penulisan artikel yang berimpak tinggi.

Katanya,

ChatGPT AI, Consensus AI, SciSpace, Perplexity AI dan DeepSeek AI adalah antara contoh teknologi AI yang boleh digunakan untuk meringkaskan maklumat artikel akademik, menstruktur sorotan kajian terkini, menghubungkan teori dengan dapatan kajian, mencadangkan sumber kajian baharu dan memperkaya tatabahasa serta gaya penulisan akademik.

Beliau turut menasihati mahasiswa untuk menyemak dan memeriksa data yang diberikan oleh teknologi AI dengan pensyarah atau pakar rujuk bagi mengelakkan maklumat yang diterima adalah palsu atau tidak lengkap.

Menurutnya,

Kecanggihan teknologi AI perlu digandingkan dengan kebijaksanaan dan kepekaan manusia agar maklumat yang dihasilkan adalah tepat, beretika dan bermanfaat.

Pada masa yang sama, beliau juga memohon agar mahasiswa melihat potensi teknologi AI dalam penghasilan reka bentuk visual data, pembentangan, infografik, carta dan papan pemuka.

Jelas beliau,

Teknologi AI seperti Napkin AI, Julius AI, Video AI dan sebagainya menawarkan ciri dan keupayaan yang tersendiri serta menjadi penyelesaian yang komprehensif dan inovatif untuk mempersembahkan data dalam bentuk visual yang menarik.

YBrs. Dr. Faharol Zubir ketika menyampaikan hadiah buku tulisan beliau yang bertajuk CHATGPT: My Study Buddy kepada peserta bertuah di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

Sesi perkongsian beliau telah disertai oleh 224 orang mahasiswa dan 30 orang pensyarah dari pelbagai bidang.

Program yang berlangsung di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis itu merangkumi pelbagai topik menarik seperti Introduction to Al Tools: ChatGPT, Deepseek; Al Assisted Literature Review Writing dan AI for Presentation, Chart and Infographic.

Kredit Foto: Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi