Diterbitkan pada 19 April 2025, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE) serta Program Sains Bioperubatan telah menerima kunjungan hormat dan lawatan penanda aras daripada delegasi College of Pharmacy, University of the Philippines, Manila yang membuka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan, pertukaran staf dan pelajar serta penerbitan akademik.

Pertemuan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Fakulti, Kampus Kuala Lumpur itu disertai oleh Dekan College of Pharmacy, University of the Philippines, Manila, YBrs. Dr. Francis Capule bersama-sama 15 orang staf bukan akademik.

Pihak FSK, UKM pula diwakili oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, YBrs. Profesor Madya Dr. Satirah Zainalabidin; Pengerusi Pusat CORE, YBrs. Profesor Madya Dr. Asmah Hamid; Ketua Program Sains Bioperubatan, YBrs. Dr. Nur Najmi Mohamad Anuar, pensyarah dan pegawai sains.

Delegasi dari College of Pharmacy, University of the Philippines, Manila bersama-sama ahli Pusat CORE dan Program Sains Bioperubatan.

Sesi kunjungan hormat itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Satirah Zainalabidin yang memperkenalkan latar belakang UKM dan Fakulti Sains Kesihatan secara umum, termasuklah visi dan misi fakulti dalam memperkasakan bidang kesihatan melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi.

Semasa sesi pertemuan berkenaan, YBrs. Profesor Madya Asmah Hamid berkongsikan tentang pengenalan Pusat CORE yang memainkan peranan penting dalam penyelidikan mengenai kesan bahan toksik terhadap kesihatan manusia, pengurusan risiko kesihatan persekitaran serta memperkenalkan barisan pensyarah dan penyelidik yang aktif dalam menjalankan kajian yang berkaitan.

Sementara itu, YBrs. Dr. Nur Najmi Mohamad Anuar berkesempatan memberikan gambaran secara menyeluruh mengenai program tersebut dengan menekankan pendidikan dan latihan berkualiti tinggi dalam bidang bioperubatan yang merangkumi farmakologi, toksikologi, patologi dan diagnostik makmal.

YBrs. Profesor Madya Dr. Asmah Hamid dan YBrs. Dr. Nur Najmi Mohamad Anuar memberikan penerangan tentang makmal pengajaran kepada YBrs. Dr. Francis Capule.

Melalui perkongsian kepakaran dan sumber dalam sesi lawatan ini, kedua-dua pihak mampu memperkukuh kedudukan akademik dan penyelidikan masing-masing dalam bidang farmasi, toksikologi dan bioperubatan.

Selain itu, lawatan ini turut membincangkan tentang pengurusan program farmasi, toksikologi dan bioperubatan serta memberikan cadangan kerjasama akademik dan penyelidikan antara institusi.

Pada masa yang sama, aspek lain yang diperincikan dalam pertemuan ini juga termasuklah penambahbaikan dalam struktur kurikulum dan penyampaian pengajaran serta peningkatan rangkaian profesional antara penyelidik dalam bidang toksikologi dan risiko kesihatan.

Program tersebut diakhiri dengan sesi lawatan ke makmal pengajaran dan penyelidikan Pusat CORE dan Program Sains Bioperubatan, sekali gus memberikan peluang kepada delegasi dari College of Pharmacy, University of The Philippines, Manila untuk meninjau kemudahan serta aktiviti penyelidikan yang sedang dijalankan.

Sesi pertukaran cenderamata bersama-sama wakil dari College of Pharmacy, University of the Philippines, Manila dan FSK, UKM.
Delegasi dari College of Pharmacy, University of The Philippines, Manila bergambar bersama-sama wakil dari UKM sebagai tanda kenang-kenangan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi