Diterbitkan pada 16 April 2025, 09:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Vienna – Persidangan Antarabangsa Kali Ketiga mengenai Aplikasi Sains dan Teknologi Sinaran (ICARST 2025) yang bertindak sebagai platform perkongsian untuk perkembangan terkini aplikasi sains dan teknologi sinaran telah berlangsung dengan jayanya di Ibu Pejabat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), baru-baru ini.

Penganjuran ICARST 2025 yang menghimpunkan saintis, inovator dan wakil industri komuniti sains dan teknologi nuklear dari seluruh dunia itu merupakan penganjuran yang terbesar dalam sejarah kerana melibatkan penyertaan sebanyak 499 orang peserta secara bersemuka, 367 orang peserta secara dalam talian serta 120 orang pegawai lain dalam kalangan pempamer, wakil kedutaan dan staf teknikal IAEA.

Antara inti pati penting yang mengisi perbincangan ICARST 2025 termasuklah cabaran pembinaan loji perintis baharu pemprosesan sinaran; pelibatan aktif komuniti untuk perlindungan alam sekitar dan rawatan sisa; perkhidmatan ujian tanpa musnah; pemuliharaan artifak sejarah; inisiatif pemprosesan semula bahan plastik dan penggunaan teknologi penyurih serta punca terkedap dalam proses industri.

Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) amat berbangga kerana sebanyak 13 orang pegawainya telah diundang oleh IAEA untuk menjayakan ICARST 2025 menerusi pembentangan oral dan poster, pengerusi sesi, ahli forum diskusi dan juri Anugerah Profesional Muda.

Peserta ICARST dari Nuklear Malaysia mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Kedutaan Besar dan Perutusan Tetap Malaysia di Vienna, Austria.

Pada masa yang sama, pegawai Nuklear Malaysia turut menjadi ahli panel untuk segmen khas, misalnya YBrs. Dr. Noraishah Othman (Equal Opportunities in Radiation Science and Technologies); YBrs. Dr. Ting Teo Ming (Spotlight on the NUTEC Plastics); YBrs. Dr. Ilham Mukriz Zainal Abidin (Enhancing Global Collaboration in NDT); YBrs. Dr. Mohd Amirul Syafiq Mohd Yunos (Radiotracer and Sealed Sources Certification for Industrial Excellence for Disaster Recovery Enhancement); Puan Nadira Kamarudin (Radiation-Based Technology for Preservation of Cultural Heritage Objects serta Puan Ruzalina Baharin (Flagship Initiatives, Success Stories and Future Perspectives).

YBrs. Dr. Noraishah Othman sebagai ahli panel bagi sesi “The Equal Opportunities in Radiation Science and Technologies Session”.
Sesi pembentangan oleh Puan Nadira Kamarudin (kiri), YBrs. Dr. Ilham Mukriz Zainal Abidin (tengah) dan YBrs. Dr. Mohd Amirul Syafiq Mohd Yunos (kanan).
Puan Ruzalina Baharin sebagai ahli panel untuk sesi “The Equal Opportunities in Radiation Science and Technologies Session”.

Sepanjang ICARST 2025 berlangsung, Nuklear Malaysia turut mengadakan pameran perkhidmatan dan sumbangan ujian tanpa musnah pada peringkat kebangsaan dan serantau.

Antara pembentang dalam sesi pembentangan poster.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi