Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 6 April 2025, 20:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjelaskan proses pengagihan wang ihsan kepada 200 000 orang pesawah yang layak di seluruh negara, dijangka selesai sepenuhnya pada pertengahan April 2025.

Hal ini dijelaskan oleh KPKM mengenai status penyaluran sumbangan wang ihsan sebanyak RM30 juta kepada pesawah sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 13 Februari yang lalu.

Dalam satu kenyataan, KPKM menyatakan sumbangan dana yang berjumlah RM30 juta tersebut merupakan inisiatif daripada syarikat swasta, iaitu Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Peruntukan tersebut bukanlah dana awam, sebaliknya peruntukan dalaman syarikat yang tertakluk pada tadbir urus kewangan korporat BERNAS sendiri.

Oleh itu, KPKM menjelaskan bahawa setiap proses pengeluaran dana memerlukan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP), piawaian pengurusan kewangan dalaman serta kelulusan pihak pengurusan tertinggi syarikat.

Maka itu, penyaluran sumbangan hanya boleh dilaksanakan setelah semua keperluan pematuhan ini diselesaikan sepenuhnya seiring dengan prinsip kebertanggungjawab dan ketelusan yang diamalkan oleh pihak syarikat terutama melibatkan dana berskala besar katanya.

Proses ini juga mengambil sedikit masa untuk pengagihan sumbangan kerana perlu mematuhi peraturan kewangan serta tatacara dalaman syarikat.

Pada masa yang sama, KPKM juga memaklumkan pihaknya telah menerima sepenuhnya dana berjumlah RM30 juta daripada syarikat BERNAS pada 28 Mac 2025 (Jumaat) yang lalu.

Sehubungan dengan itu, KPKM menjelaskan proses pengagihan wang ihsan kepada 200 000 orang pesawah yang layak di seluruh negara, dijangka selesai sepenuhnya pada pertengahan April 2025.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dalam sebuah hantaran di Facebook menyatakan sebagai sebuah Kerajaan MADANI yang berpegang kepada prinsip keutamaan rakyat, pendekatan yang diambil adalah dengan meminta syarikat swasta membantu golongan yang memerlukan seperti pesawah dan bukan menyumbang kepada parti politik seperti yang menjadi amalan kerajaan terdahulu.

Kita percaya, sokongan korporat sewajarnya disalurkan untuk manfaat rakyat, bukan kepentingan politik.

KPKM amat memahami kegusaran serta harapan tinggi daripada para pesawah. Kami ingin menegaskan bahawa kementerian komited sepenuhnya dalam memastikan bantuan ini sampai kepada semua yang berhak. Kementerian juga amat menghargai kesabaran dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para pesawah sepanjang proses ini berlangsung.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi