Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sambutan Hari Hutan Antarabangsa pada 21 Mac setiap tahun bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hutan dan menggalakkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sumber hutan demi kesejahteraan masyarakat serta kestabilan ekosistem alam sekitar.
Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan, tema sambutan Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini ialah “Hutan dan Makanan”.
NRES berkata,
Tema berkenaan adalah untuk meraikan peranan hutan sebagai sumber makanan semula jadi kepada masyarakat, selain membekalkan nutrisi dan kepentingannya dalam memastikan keterjaminan makanan.
Selain itu, pengurusan hutan secara berkekalan (SFM) adalah penting dalam memastikan kelestarian sumber makanan semula jadi bagi menyokong keterjaminan makanan negara selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030.
Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa hutan menyediakan pelbagai sumber makanan yang berkhasiat seperti ulam-ulaman, sayur-sayuran, buah-buahan dan rempah-ratus yang menjadi sebahagian daripada amalan pemakanan masyarakat sejak sekian lama.
Tambah NRES, tumbuhan herba seperti tongkat ali, kacip fatimah, kaduk dan hempedu bumi bukan sahaja menjadi makanan kesihatan, malah digunakan dalam perubatan tradisional.
Tema tersebut amat bertepatan dalam mengetengahkan kepentingan SFM, seiring dengan matlamat yang digariskan dalam Dasar Perhutanan Malaysia bagi memastikan sumber makanan semula jadi kekal terpelihara.
Menurut NRES, pengurusan hutan yang berkekalan akan memastikan sumber makanan hutan kekal terpelihara untuk generasi kini dan akan datang, selaras dengan prinsip pemuliharaan, perlindungan dan penggunaan sumber secara berkekalan.
Usaha tersebut juga membantu menjaga kesejahteraan masyarakat peribumi dan masyarakat tempatan yang bergantung pada hutan sebagai sumber makanan dan ekonomi.
NRES berkata, degradasi tanah akibat perubahan guna tanah yang tidak bertanggungjawab serta kesan perubahan iklim telah mengakibatkan kemerosotan kualiti tanah, sekali gus menjejaskan keupayaan ekosistem hutan dalam menyokong biodiversiti dan pengeluaran sumber makanan semula jadi.
Dalam konteks ini, pemerkasaan dasar pertanian dan agrikomoditi yang berkekalan seperti yang digariskan dalam Sasaran 6, Dasar Kebangsaan Kepelbagaian Biologi 2022–2030 amat penting dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan biodiversiti.
Tambahnya, pendekatan ini bukan sahaja berperanan dalam mengawal tekanan terhadap tanah dan hutan, malah memastikan pengurusan sumber asli yang berkekalan, sekali gus memperkukuh daya tahan ekosistem dalam menyokong kepelbagaian biologi serta menjamin kelangsungan pengeluaran sumber makanan secara berterusan menjelang tahun 2030.