Diterbitkan pada 21 Mac 2025, 18:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Dalam memastikan kualiti pendidikan tinggi kekal relevan dan terkini, proses semakan kurikulum program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Marin Lestari (kepujian) yang ditawarkan di Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis diperkasakan menerusi Value-Based Education (VBE) dan Education for Sustainability Development (ESD) sekali gus bertujuan melahirkan graduan yang holistik untuk mendepani cabaran global.

Bengkel yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 19 Mac 2025 hingga 21 Mac 2025 itu telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim di Podium, UiTM Cawangan Perlis.

YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim ketika berucap di Podium, UiTM Cawangan Perlis.

Menurut penyelaras bidang Teknologi Marin Lestari, Puan Aziani Ahmad, penerapan VBE dalam pengajaran dan pembelajaran dapat melahirkan graduan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang berkenaan sejajar dengan nilai kemanusiaan, kelestarian alam sekitar dan etika profesional.

Ujar beliau,

Elemen VBE dalam kurikulum akan melahirkan graduan yang mempunyai pengetahuan dalam bidang Teknologi Marin Lestari yang prihatin terhadap kelestarian ekosistem laut.

Tambah beliau, graduan yang dilahirkan mampu menjana idea inovasi untuk membangunkan teknologi mesra alam dan pada masa yang sama mengurangkan kesan antropogenik kepada alam sekitar, terutamanya di kawasan persisiran pantai dan kawasan Zon Ekonomi Eksklusif yang signifikan dalam sektor perikanan, biodiversiti dan maritim negara.

Mengenai penerapan elemen ESD dalam kurikulum, beliau berkata ESD memastikan kurikulum yang dibina berupaya menyokong kerangka Matlamat Pembangunan Mampan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang meliputi 17 matlamat.

Jelasnya,

Program teknologi marin lestari akan memenuhi aspirasi SDG ke-14 (Kehidupan di dalam Air) dan SDG ke-15 (Kehidupan di Darat) dengan memberikan penekanan terhadap proses pemeliharaan dan pemuliharaan sumber laut serta pembangunan komuniti persisiran pantai yang lebih prihatin kepada alam sekitar.

Tegasnya lagi,

Kesedaran tentang perkara ini adalah penting untuk memastikan sumber laut dan darat yang dieksploitasi sentiasa berada dalam keadaan mampan dan tidak terancam untuk generasi akan datang.

Bengkel Semakan Kurikulum Program Teknologi Marin Lestari yang mengemas kini pelan pengajian baharu dengan memasukkan elemen VBE dan ESD.

Beliau juga berkata, elemen ESD merelevankan struktur kurikulum dan pelan pengajian program Teknologi Marin Lestari untuk ditawarkan kepada prospek pelajar serta menghasilkan alumni yang disegani, sarat dengan kemahiran teknikal dan insaniah untuk menguruskan alam sekitar dengan baik.

Ujarnya,

Secara tidak langsung, ESD berupaya memperkaya elemen kreatif dan inovatif untuk menangani isu dan mencari penyelesaian berkaitan dengan sumber marin negara, mengoptimumkan kos operasi pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan aktiviti penyelidikan menjadi lebih efektif.

Sementara itu, MQF Edisi Kedua (2024) menggariskan pelaksanaan VBE bertujuan memupuk watak, keperibadian, sikap dan tingkah laku berasaskan nilai kemanusiaan, kemasyarakatan dan perkauman.

ESD pula merangkumi pemerolehan pengetahuan, kemahiran, nilai dan pemerkasaan pelajar bagi semua peringkat umur untuk menangani cabaran global yang saling berhubung antara satu sama lain seperti perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, kehabisan sumber dan ketidakadilan sosial.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi