Diterbitkan pada 13 Mac 2025, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis berkongsi kepakaran teknologi dron bersama-sama komuniti Kampung Penghulu Jaafar, Beseri, Perlis.

Kumpulan penyelidik ini terdiri daripada Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi (Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik); YBrs Ts. Dr. Jamil Tajam (Fakulti Sains Gunaan); dan YBrs. Ts. Puan Zamzila Erdawati Zainol (Fakulti Sains Gunaan).

Perkongsian kepakaran akan memberi manfaat kepada 200 orang petani dengan keluasan tanah bendang seluas 400 relung.

Ketua Penyelidik, Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi berkata, penggunaan teknologi dron dapat mengesan dan meramalkan masalah tanaman padi akibat penyakit dan serangga perosak serta status kesuburan tanah melalui analisis imej dan data yang diperoleh daripada dron yang digunakan.

“Dron boleh mengumpulkan data dengan ketepatan yang tinggi dalam usaha membantu para petani dalam membuat keputusan yang lebih baik mengenai penjagaan tanaman dan penggunaan sumber dengan lebih mapan,” kata beliau.

Sementara itu, YBrs. Ts. Puan Zamzila Erdawati Zainol berkata penggunaan dron dalam bidang pertanian moden mempunyai pelbagai fungsi dan manfaat yang sangat penting untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti sektor pertanian.

“Penggunaan dron mempercepat proses pemantauan, penyemburan dan pengumpulan data serta mengurangkan masa dan kos operasi untuk penanaman padi,” kata beliau.

“Teknologi ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan kecekapan proses semaian benih, penyemburan baja dan racun serangga dengan seragam bagi memastikan pertumbuhan tanaman padi yang konsisten,” tambah beliau lagi.

Pada masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Penghulu Jaafar, Encik Az Rostam Ahmad menzahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan perkongsian kepakaran dan khidmat sokongan yang disalurkan oleh Kumpulan penyelidik ini.

JPKKP Kampung Penghulu Jaafar menerima manfaat teknologi dron menerusi khidmat kepakaran penyelidik UiTM Cawangan Perlis.

“JPKKP Kampung Penghulu Jaafar berasa bersyukur dan berterima kasih kepada pihak UiTM dan kerajaan dalam meringankan beban para petani di kampung Penghulu Jaafar,” kata beliau.

Selain khidmat kepakaran, JPKKP Kampung Penghulu Jaafar diberikan suntikan dana sebanyak RM 99460.00 melalui Geran Program SejaTi MADANI untuk meningkatkan produktiviti dan pengurusan mapan pertanian di kawasan komuniti dan persekitaran.

Encik Az Rostam Ahmad (empat dari kiri) dan Menteri Besar Perlis, Yang Amat Berhormat Tuan Mohd Shukri Ramli (tiga dari kiri) bersama-sama dron yang digunakan untuk sektor pertanian.

Geran Program SejaTi MADANI merupakan inisiatif baharu kerajaan MADANI yang bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi pada peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana sehingga RM100 ribu kepada komuniti yang layak.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi