Diterbitkan pada 10 Mac 2025, 12:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lapan mahasiswa dari Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memulakan inisiatif perusahaan sosial yang menyediakan kaca mata percuma melalui projek “One-for-One Vision”.

Melalui inisiatif ini, setiap penjualan kaca mata di Klinik Optometri UKM, Kuala Lumpur akan menyumbang kepada pemberian sepasang kaca mata secara percuma kepada pelajar sekolah rendah daripada golongan B40.

Projek tajaan daripada Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Syarikat MOG ini telah didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia dengan nama “Octavue Ventures”.

Inisiatif ini direka untuk mengurangkan kesukaran kewangan keluarga B40 serta meningkatkan prestasi akademik pelajar dengan menyediakan akses kepada alat bantu penglihatan yang penting.

Sejak pelancaran projek ini pada Julai 2024, sebanyak 78 orang pelajar dari beberapa sekolah rendah di Kuala Lumpur seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Raja Muda, SK Sentul 1 dan SK Jalan Gurney 1 telah menerima manfaat kaca mata percuma.

Wakil Octavue Ventures menyerahkan kaca mata percuma kepada pelajar di SK Sentul 1.

Peningkatan yang ketara dalam prestasi akademik pelajar yang menerima kaca mata telah diperhatikan melalui Pentaksiran Bilik Darjah, sekali gus membuktikan keberkesanan program ini dalam membantu pelajar memperbaik fokus mereka dalam pembelajaran.

Pihak pengurusan projek juga berhasrat untuk memperluas cakupan “One-for-One Vision” ke kawasan Putrajaya dengan harapan dapat memberikan manfaat kepada lebih ramai pelajar B40 yang memerlukan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi