Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSERDANG – Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM) melakukan kajian dalam mencari substrat yang sesuai untuk menyokong pembiakan dan perkembangan larva Black Soldier Fly Larvae (BSFL) atau larva lalat askar hitam.
Larva ini semakin popular sebagai sumber makanan alternatif untuk ternakan terutamanya dalam industri ayam (poultry).

Substrat memainkan peranan penting dalam kualiti BSFL yang dihasilkan kerana mempengaruhi kadar pertumbuhan, perkembangan serta kandungan nutrien dalam larva tersebut.
Penggunaan BSFL dalam diet ayam boleh meningkatkan kadar pertumbuhan, pengeluaran telur dan kualiti daging ayam.
Menurut Pegawai Pertanian, ITAFoS, UPM, Eddy Shahriza Jamein, hampas soya, sisa sayur, sisa kek dan hampas kelapa digunakan sebagai substrat dalam kajian BSFL untuk mengkaji potensi dan kesan substrat ini terhadap kandungan nutrien dan pertumbuhan larva.
Ujar beliau lagi,
Selalunya saiz larva BSF bergantung pada substrat yang digunakan kerana jika substrat yang digunakan mempunyai nutrien yang bagus, saiznya akan menjadi besar. Pemilihan substrat yang tepat amat penting untuk menghasilkan BSFL yang berkualiti tinggi demi memberikan manfaat kepada industri ternakan ayam bagi menghasilkan daging dan telur yang lebih berkualiti.

Pakar produksi poltri, Profesor Dato’ Dr. Zulkifli Idrus berkata, penggunaan BSFL dapat mengurangkan kos makanan dalam ternakan poltri serta kebergantungan pada sumber bijirin yang lebih mahal dan terdedah kepada ketidakstabilan harga.
Jelas beliau,
BSFL merupakan gantian sumber protein bagi makanan ternakan tradisional seperti soya dan melalui penyelidikan yang dijalankan mendapati BFSL amatlah bersesuaian dalam ternakan poltri. Pada pandangan saya, penggunaan BSFL dalam industri ternakan poltri dijangka akan terus relevan pada masa akan datang kerana merupakan alternatif yang dapat menyokong ketahanan makanan global.
Pelajar Master Sains (Pemakanan Haiwan), ITAFoS, UPM, Nur Fatihah Abd Jakfar berkata, proses pembiakan BSFL dalam kajian ini membantu mengurangkan kebergantungan pada sumber protein tradisional yang semakin terhad dan mahal.

Tambah beliau,
Alternatif dalam penggunaan substrat ini bukan hanya memberikan penjimatan kos, tetapi turut memberikan manfaat jangka panjang dalam keberlanjutan industri ternakan kerana membantu mengurangkan pembaziran dengan menggunakan bahan terbuang seperti sisa makanan.
Dalam pada itu, ITAFoS telah menubuhkan Unit BSF yang terletak di Pusat Penyelidikan Haiwan bagi mengkaji alternatif protein yang sesuai untuk proses pembuatan makanan ternakan ayam.