Diterbitkan pada 6 Mac 2025, 15:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Penduduk di Balok Baru dinasihatkan berwaspada dan pemilik tanah dinasihatkan untuk memantau kawasan yang mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang boleh menyebabkan pembakaran terbuka, sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

Yang Berhormat Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata demikian dalam kenyataannya pada 04 Mac 2025 selepas kawasan Balok Baru, Kuantan mencatatkan status kualiti udara pada tahap “tidak sihat” berdasarkan pemantauan kualiti udara yang direkodkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai 201 hingga 300 yang disebabkan oleh kebakaran  tanah gambut di ladang kelapa Cherating.

Menurut YB Nik Nazmi,

Usaha pemadaman sedang giat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui kaedah firefighting, water bombing dan kerja-kerja flooding di kawasan kebakaran dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Susulan bacaan IPU yang mencapai 201 hingga 300 pada 3 Mac 2025, JAS telah mengeluarkan Nota Pemberitahuan Amaran 3A dan 3B kepada Pusat Kawalan bencana Negara (NDCC) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk tindakan hebahan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana pada peringkat negeri dan daerah,” tambah beliau.

Selain itu, beliau turut berkata bahawa hebahan ini juga bertujuan untuk membolehkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat daerah dan negeri diaktifkan dan memastikan tindakan dapat diambil selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

“Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) juga telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) pada 21 Februari 2025 bagi membolehkan kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan dan kerajaan negeri meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan berjaga-jaga bagi mencegah pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu, menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam,” jelas beliau lagi.

Sebelum ini, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan supaya penduduk di kawasan sekitar Balok Baru yang mengalami pencemaran udara menghentikan kegiatan luar buat masa ini, termasuklah aktiviti yang melibatkan pelajar sekolah.

Baginda turut mengingatkan rakyat Pahang agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran secara terbuka, terutamanya ketika musim cuaca panas dan berangin pada ketika ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi