Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBintulu – Institut Sains Ekosistem Borneo (IEB), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama Universiti Pertanian Tokyo (Tokyo NODAI) telah menganjurkan Tokyo NODAI–UPMKB Borneo Mangrove Exploration Student Inbound Program 2025 bagi memperkukuh kerjasama pemuliharaan bakau di Sarawak.
Program yang berlangsung di Kuala Sibuti, Sarawak itu menghimpunkan 10 ahli Mangrove Research Club Tokyo NODAI untuk mengkaji dan mengalami sendiri ekosistem bakau di Borneo.
Pengarah IEB, UPMKB, Dr. Syeed Saifulazry Osman Al-Edrus berkata program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan ekosistem bakau dan usaha pemuliharaannya.
“Melalui program ini, peserta dapat memahami secara langsung kepelbagaian biologi bakau di Sarawak serta cabaran pemuliharaannya. Kajian lapangan ini juga membolehkan mereka memperoleh pengalaman praktikal dalam usaha konservasi,” katanya.
Pengarah Program, Dr. Keeren Sundara Rajoo berkata kerjasama antarabangsa seperti ini penting dalam memelihara ekosistem unik Borneo, selain memperkukuh hubungan akademik antara UPMKB dengan Tokyo NODAI.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah menyumbang kepada usaha pemeliharaan ekosistem bakau yang kritikal bagi keseimbangan alam sekitar dan kelestarian biodiversiti,” katanya.

Pelajar jurusan perhutanan dari Tokyo NODAI, Naoki Kato berkata program ini merupakan pengalaman pertama dalam meneroka ekosistem bakau di Borneo dan memperkukuh pemahaman dalam bidang perhutanan
“Saya berharap program ini dapat dijadikan sebagai inisiatif tahunan untuk Mangrove Research Club bagi memberikan lebih banyak peluang kepada pelajar untuk menjalankan penyelidikan,” katanya.
Program ini turut dianjurkan bersama-sama Pejabat Hutan Wilayah Miri yang menjadi sebahagian daripada usaha berterusan UPMKB dalam memperkukuh kajian ekosistem bakau serta memperluaskan jaringan kerjasama dengan institusi antarabangsa dalam bidang konservasi alam sekitar.
Sepanjang program ini juga, para pelajar mengambil bahagian dalam sesi taklimat pendidikan dan aktiviti lapangan.

Wakil Jabatan Hutan Sarawak, Ajiah Hamjah telah memberikan penerangan mengeni garis panduan pengurusan hutan di Sarawak.
Sementara itu, di Hutan Bakau Kuala Sibuti, wakil daripada Oasis Timber Co., Ahmah Bujang memberikan penerangan tentang kaedah penuaian dan pengurusan bakau secara mampan mengikut garis panduan Jabatan Hutan Sarawak.
Di Sibuti Wildlife Sanctuary pula, wakil daripada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abd Ajis Taib dan Sunni Mali berkongsi tentang langkah pemuliharaan yang dilaksanakan untuk melindungi ekosistem bakau.