Diterbitkan pada 3 Mac 2025, 12:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Silver Jubilee Home for the Aged menerima kunjungan istimewa daripada pelajar Toyo University, Jepun dalam lawatan ilmiah anjuran Pusat Mobiliti dan Kerjasama Antarabangsa (IMCC), Universiti Sains Malaysia menerusi program jangka pendek “USM-TU English Language, Cultural and Research Programme 2025“.

Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan komuniti antarabangsa di samping memberikan pengalaman secara langsung kepada pelajar dalam memahami kehidupan serta kesejahteraan warga emas di Malaysia.

Menurut Dr. Rahyla, usaha yang signifikan ini penting dalam memupuk kesedaran tentang kepentingan sokongan komuniti terhadap kesejahteraan golongan berusia.

Kehadiran para pelajar bukan sahaja menceriakan penghuni Silver Jubilee Home, malah memberikan sokongan sosial yang penting dalam memperkukuh kesejahteraan mental dan emosi mereka.

Interaksi antara generasi ini juga membuka peluang kepada para pelajar untuk lebih memahami cabaran serta keperluan psikososial warga emas, selain mencipta ruang untuk mereka bertukar-tukar pengalaman dan berkongsi budaya yang berbeza.

Beliau turut menekankan bahawa interaksi antara generasi muda dengan warga emas akan memberikan manfaat dua hala yang amat bernilai.

“Warga emas akan memperoleh sokongan emosi yang lebih baik, sementara golongan muda mendapat perspektif berharga tentang kehidupan dan pengalaman mereka,” jelasnya lagi.

Seorang pelajar Toyo University yang dikenali sebagai Ayano menyatakan keterujaannya selepas lawatan tersebut dengan menyatakan bahawa pengalaman berbual dan mendengar kisah hidup penghuni memberikan dimensi baharu dalam pemahamannya terhadap kepentingan interaksi sosial bagi warga emas.

Empat pelajar Toyo University berinteraksi mesra dengan penghuni Silver Jubilee Home for the Aged.

“Daripada perbualan ini, saya dapat memahami bahawa pentingnya suasana yang positif dan interaksi sosial dalam memastikan warga emas terus aktif dan bahagia di samping memberikan saya perspektif baharu tentang kehidupan mereka dan kepentingan sokongan sosial dalam komuniti,” katanya.

Sementara itu, seorang penghuni Silver Jubilee Home, Encik Lim, 78 tahun menyatakan rasa gembiranya kerana dapat menceritakan pengalaman hidupnya dengan generasi muda yang penuh rasa ingin tahu dan menghargai nilai sejarah serta pengalaman silam.

Saya sangat seronok berkongsi cerita dengan para pelajar kerana mereka berminat untuk mengetahui pengalaman hidup kami. Mereka bertanya dengan penuh rasa ingin tahu dan hal ini membuatkan saya gembira kerana dapat berkongsi kisah lama yang jarang-jarang diceritakan.

“Lawatan seperti ini mengingatkan saya bahawa masih terdapat golongan muda yang prihatin dan mahu belajar daripada generasi kami,” katanya dengan penuh penghargaan.

Pihak pengurusan Silver Jubilee Home berharap agar lebih banyak pihak seperti institusi pendidikan dan masyarakat umum dapat melibatkan diri dalam aktiviti sebegini bagi menyokong kesejahteraan warga emas.

Puan Kathleen dan Encik Teoh berperanan penting dalam memastikan kelancaran lawatan ini.

“Kami mengalu-alukan lebih banyak sukarelawan dan pelawat untuk meluangkan masa bersama-sama warga emas serta menyumbang dalam apa-apa jua cara demi kesejahteraan mereka,” kata Puan Kathleen selaku wakil pengurusan Silver Jubilee Home for the Aged.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi