Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPengangkutan aktif merujuk aktiviti fizikal yang melibatkan pergerakan dari satu destinasi ke destinasi lain dengan menggunakan kaedah seperti berjalan kaki, berbasikal atau mod lain seperti skuter, e-skuter dan kerusi roda. Selain itu, konsep ini juga merangkumi penggunaan pengangkutan awam, termasuklah pergerakan berjalan kaki ke atau dari perhentian bas atau stesen kereta api. Secara umumnya, pengangkutan aktif dikenali sebagai pengangkutan tidak bermotor atau pengangkutan berkuasa manusia.
Walaupun kebanyakan individu mungkin terlibat dalam lebih daripada satu kategori pengangkutan, pengguna mod aktif biasanya dirujuk sebagai pejalan kaki, penunggang basikal dan bukan pemandu. Sebaliknya, pengguna kereta dikenali sebagai pemandu. Dalam artikel ini, istilah “pengangkutan aktif” digunakan khusus untuk merujuk aktiviti berjalan kaki.
Pengangkutan Aktif dan Mobiliti Mampan
Pengangkutan aktif menyumbang kepada mobiliti yang mampan dengan menjadikan bandar lebih mudah diakses, selamat, inklusif dan mesra alam. Selain itu, mod pengangkutan ini memberikan pelbagai manfaat dari segi kesihatan, alam sekitar dan kualiti hidup untuk individu serta komuniti.
Walaupun mod pengangkutan aktif semakin popular di beberapa bandar di seluruh dunia, kepentingannya dalam dasar awam sering diabaikan. Pengangkutan tidak bermotor dianggap sebagai keutamaan kecil di kebanyakan bandar dan dibuktikan dengan jumlah pelaburan yang sedikit dan kekurangan perhatian daripada pihak berkuasa. Akibatnya, tiada persekitaran yang kondusif untuk menyokong peranan kritikalnya dalam mobiliti bandar.
Penyepaduan mod pengangkutan, terutamanya pengangkutan awam, berjalan kaki dan berbasikal adalah penting untuk meningkatkan akses kepada peluang pekerjaan dan perkhidmatan utama. Hal ini amat kritikal bagi kumpulan berpendapatan rendah yang sering tinggal di luar bandar atau kawasan terpencil. Mereka menghadapi jarak perjalanan yang panjang dan memerlukan jaringan mod pengangkutan serta perkhidmatan yang lebih baik untuk memenuhi keperluan harian.
Disebabkan oleh kekurangan infrastruktur dan sokongan yang mencukupi, kebanyakan komuniti lebih bergantung pada penggunaan kereta pada tahap yang berbeza-beza. Hal ini bermaksud sistem pengangkutan mereka lebih menggalakkan pemanduan dan hanya menawarkan akses yang terhad kepada bentuk pengangkutan lain.
Sistem Pengangkutan Pelbagai Mod
Sebagai alternatif, komuniti yang mempunyai sistem pengangkutan pelbagai (atau berbilang mod) menawarkan pelbagai pilihan kebolehcapaian. Antaranya termasuklah berjalan kaki, berbasikal, penggunaan pengangkutan awam, kereta, perkongsian kenderaan, teksi, kerja jarak jauh dan perkhidmatan penghantaran. Berbanding dengan komuniti yang hanya bergantung pada pemanduan, sistem pelbagai mod ini memberikan fleksibiliti dan kemudahan yang lebih besar kepada pengguna.
Di kawasan yang menggalakkan berjalan kaki dan berbasikal, 10 peratus hingga 20 peratus perjalanan tempatan dilakukan dengan menggunakan mod ini. Akses kepada pengangkutan awam juga dimudahkan melalui mod aktif yang seterusnya meningkatkan peratusan berjalan kaki dan berbasikal di kawasan setempat. Strategi ini juga dianggap sebagai cara terbaik untuk menggalakkan dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Selain itu, isu tempat letak kereta dapat dikurangkan dengan memperbaik keadaan pejalan kaki kerana berjalan kaki menghubungkan kawasan letak kereta dengan destinasi.
Mereka yang kurang bernasib baik dari segi fizikal, kewangan dan sosial sangat bergantung pada mod aktif dan hal ini menjadikannya penting untuk memastikan ekuiti dalam sistem pengangkutan. Tanpa infrastruktur yang mencukupi, bukan pemandu terpaksa bergantung pada perjalanan teksi, e-panggilan atau pemanduan khas (perjalanan yang dibuat khusus untuk mengangkut penumpang). Pilihan ini bukan sahaja mahal tetapi juga tidak efisien kerana perjalanan tersebut kerap melibatkan pengangkutan balik kosong. Hal ini bermakna setiap satu hala perjalanan penumpang menghasilkan perjalanan dua hala kenderaan.
Meningkatkan kepelbagaian dalam sistem pengangkutan cenderung untuk meningkatkan kecekapan dan ekuiti dengan membenarkan setiap mod digunakan pada tahap terbaik. Hal ini sangat bermanfaat kerana orang, tempat dan perjalanan yang berbeza mempunyai keperluan dan kebolehan perjalanan yang berbeza. Sebagai contoh, adalah tidak efisien apabila individu yang cergas secara fizikal dan lebih suka perjalanan aktif terpaksa memandu untuk perjalanan singkat kerana keadaan infrastruktur perjalanan aktif yang kurang memadai. Begitu juga, adalah tidak efisien sekiranya mereka yang ingin menggunakan pengangkutan awam tidak dapat melakukannya kerana akses yang terhad ke perhentian bas dan stesen kereta api untuk penunggang basikal dan pejalan kaki.
Pada tahun 2020, Malaysia mencatatkan sebanyak 32 378 174 kenderaan bermotor di jalan raya seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia. Statistik ini menonjolkan kebergantungan tinggi rakyat Malaysia terhadap kenderaan bermotor. Sebagai satu daripada negara di Asia yang mempunyai peratusan tertinggi pemilikan kenderaan persendirian, kerajaan menyasarkan untuk mencapai matlamat pembangunan mampan dengan mempromosikan pengangkutan awam dalam masa terdekat. Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan perlu memastikan pengangkutan aktif menyokong pengangkutan awam, termasuk aspek ketersambungan, kebolehcapaian dan mobiliti.
Mempromosikan pengangkutan aktif sebagai norma budaya menjadi cabaran pada masa ini kerana pelbagai kebimbangan dan kegusaran yang timbul. Tingkah laku individu sebenarnya banyak dipengaruhi oleh faktor persekitaran seperti dalam hal rangsangan yang mendorong mereka untuk berjalan. Perkara ini termasuklah dalam membuat pilihan antara menggunakan pengangkutan awam atau persendirian.
Ketersediaan kemudahan pengangkutan aktif seperti laluan, ketersambungan dan akses merupakan kebimbangan utama dalam semua pembangunan kediaman. Walaupun kemudahan asas sudah disediakan, kawasan pembangunan berpendapatan tinggi cenderung mempunyai perancangan yang lebih baik, lalu menyebabkan harga yang lebih tinggi berbanding dengan kawasan berpendapatan rendah. Kemudahan ini sering kali datang dengan “harga” yang perlu ditanggung untuk menggalakkan pengangkutan aktif dalam semua lapisan masyarakat.
Cabaran dalam Ketercapaian Berjalan
Ketercapaian berjalan melibatkan penyambungan elemen persekitaran binaan seperti kawasan perumahan, pengangkutan, taman rekreasi dan ruang hijau. Pengangkutan aktif merangkumi pelbagai aspek dalam persekitaran binaan dan orang ramai cenderung untuk berjalan apabila mereka menghargai estetika persekitaran mereka.
Pejalan kaki lebih berkemungkinan menggunakan pengangkutan aktif di kawasan yang dianggap menarik secara visual. Hal ini boleh dicapai dengan membina kemudahan pejalan kaki dan infrastruktur dalam pembangunan yang mesra pejalan kaki. Ketercapaian berjalan di bandar juga dipengaruhi oleh persekitaran binaannya yang perlu direka bentuk secara estetik dan mengikut piawaian perancangan untuk memberikan pengalaman perjalanan yang menyenangkan. Merancang bandar yang mesra pejalan kaki pula memerlukan kepakaran dalam persekitaran binaan untuk menggunakan kemahiran dan pengetahuan dengan berkesan.
Namun demikian, pengangkutan aktif mempunyai cabaran tersendiri seperti juga bentuk pengangkutan lain. Peningkatan bilangan pejalan kaki yang terlibat dalam kemalangan jalan raya telah menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan mereka yang turut memberikan kesan kepada ketercapaian berjalan.
Sebagai contoh, pasukan polis negara di Malaysia melaporkan bahawa 4297 daripada 32 674 kemalangan jalan raya yang berlaku pada tahun 2020 telah mengakibatkan kematian. Oleh sebab pejalan kaki berkongsi jalan raya dengan pengguna kenderaan bermotor, mereka adalah pengguna jalan raya yang sangat terdedah dan sentiasa berisiko setiap kali melakukan perjalanan.
Situasi ini berbeza dengan pengangkutan di bandar yang mampan, terutamanya di Belanda yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk pejalan kaki seperti infrastruktur pejalan kaki yang khusus. Di Malaysia, pengangkutan aktif masih belum diterima secara meluas dan tidak begitu popular berbanding dengan pengangkutan bermotor. Hal ini disebabkan oleh kemudahan pejalan kaki yang tidak mencukupi, kebimbangan keselamatan dan cuaca yang tidak menentu.
Sementara itu, laluan pejalan kaki di bandar sering direka bentuk dan diselenggara dengan buruk yang mengakibatkan ketersampaian dan ketersambungan yang lemah. Kemudahan pejalan kaki yang tidak mencukupi boleh memberikan impak yang negatif terhadap pengalaman berjalan kaki dan menghalang orang ramai daripada menggunakan mod pengangkutan ini. Pada masa ini, kemudahan pejalan kaki dan infrastruktur yang tidak memuaskan sering dilaporkan seperti laluan pejalan kaki tidak direka untuk menyokong aktiviti berjalan kaki dengan baik. Majoriti penunggang basikal pula lebih cenderung menunggang untuk tujuan riadah dan sukan.
Sebagai contoh, kawasan kejiranan berpendapatan rendah seringkali tidak mesra pejalan kaki. Walaupun individu berpendapatan rendah sering menggunakan pengangkutan berjalan kaki, mereka terpaksa menghadapi keadaan jalan yang lebih teruk.
Risiko alam sekitar dan lalu lintas termasuklah jalan yang tidak berturap, terdedah kepada cuaca, laluan yang gelap dan terpencil, jalan dengan trafik tinggi tanpa kemudahan pejalan kaki serta kekurangan laluan pejalan kaki di beberapa kawasan menjadikan pilihan untuk berjalan kaki kurang menarik dan meningkatkan risiko kemalangan.
Bandar di rantau ini juga menunjukkan ketidaksamaan yang ketara untuk pejalan kaki. Kawasan berpendapatan tinggi seperti Barranquilla dan Soledad di Colombia misalnya, mempunyai laluan pejalan kaki dan infrastruktur yang lebih baik dan menjadikannya lebih mesra pejalan kaki.
Faktor yang Mempengaruhi Ketercapaian Berjalan
Ketercapaian berjalan dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang saling berkaitan, termasuklah perancangan bandar, persekitaran binaan dan ciri sosiodemografi. Pilihan perjalanan biasanya dipengaruhi oleh dua faktor utama, iaitu kepadatan penggunaan tanah dan jarak aktiviti pelengkap seperti bekerja, membeli-belah dan aktiviti rekreasi.
Ketersambungan dalam pengangkutan mampan merujuk hubungan antara pelbagai mod pengangkutan, khususnya pengangkutan awam yang turut dikenali sebagai cabaran “batu pertama/batu terakhir”. Ketercapaian berjalan menilai kesesuaian persekitaran yang terbina untuk aktiviti berjalan kaki, termasuklah aktiviti fizikal, mobiliti aktif, rekreasi dan akses kepada perkhidmatan yang penting.
Ketercapaian berjalan juga boleh merujuk komuniti yang menggalakkan aktiviti berjalan kaki sebagai pilihan pengangkutan utama. Untuk meningkatkan ketercapaian berjalan, adalah penting untuk menghapuskan ciri persekitaran terbina yang membawa kepada bahaya lalu lintas.
Ketersambungan dan jarak juga memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran bandar yang boleh dilalui. Persekitaran yang dibina seharusnya menyokong infrastruktur pengangkutan aktif seperti laluan pejalan kaki yang selamat dan selesa.
Pilihan untuk menggunakan pengangkutan aktif turut dipengaruhi oleh faktor persekitaran binaan, termasuklah cuaca, kemudahan dan jarak. Kajian telah menunjukkan bahawa jarak yang lebih pendek adalah faktor utama dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan aktif seperti berjalan kaki atau berbasikal. Penyelidik juga mencadangkan bahawa perjalanan untuk tujuan rekreasi dan membeli-belah lebih cenderung untuk dilaksanakan dalam jarak yang lebih pendek.
Perjalanan aktif juga dipengaruhi oleh faktor keselamatan. Apabila pejalan kaki berasa selamat daripada ancaman jenayah dan lalu lintas, mereka lebih cenderung untuk menggunakan pengangkutan aktif.
Oleh hal yang demikian, penyediaan kemudahan pejalan kaki yang baik seperti ruang untuk pejalan kaki yang luas dan laluan yang lebih selamat dapat menggalakkan lebih banyak individu untuk berjalan kaki. Walau bagaimanapun, demi keselesaan dan keselamatan, pejalan kaki sering kali memilih untuk menggunakan pengangkutan awam.
Menurut kajian terdahulu, ciri sosiodemografi juga memainkan peranan dalam penggunaan pengangkutan aktif. Faktor seperti jantina, umur, pendapatan isi rumah dan tahap pendidikan amat mempengaruhi kecenderungan seseorang untuk menggunakan pengangkutan aktif.
Pengguna daripada pelbagai kaum dan etnik mungkin mempunyai perspektif yang berbeza mengenai aktiviti berjalan kaki. Penyelidikan menunjukkan bahawa individu yang lebih tua kurang cenderung untuk menggunakan pengangkutan aktif berbanding golongan yang lebih muda. Walau bagaimanapun, terdapat penyelidik yang melaporkan bahawa golongan tua lebih cenderung untuk berjalan kaki, terutamanya sebagai aktiviti santai dan tidak terlalu membebankan.
Jantina turut mempengaruhi tingkah laku pejalan kaki, terutamanya dalam konteks kebolehjalan kaki. Walaupun banyak kajian menghasilkan keputusan yang tidak konsisten merentas jantina, terdapat kajian yang menyatakan bahawa lelaki dan wanita mempunyai pandangan yang hampir sama tentang laluan pejalan kaki.
Namun begitu, sesetengah penyelidik berpendapat bahawa jantina mempengaruhi pemilihan mod pengangkutan. Kajian lain mendapati terdapat perbezaan ketara antara jantina dalam persepsi keselamatan semasa berjalan. Wanita cenderung berasa kurang selamat berbanding dengan lelaki ketika berjalan dan mereka juga lebih gemar memandu untuk tujuan keselamatan daripada berjalan kaki sebagai pilihan pengangkutan.
Faedah Berjalan Kaki
Pengangkutan aktif, terutamanya berjalan kaki menawarkan pelbagai kelebihan dari segi kesihatan, alam sekitar dan sosial. Pengangkutan aktif terbukti dapat meningkatkan aktiviti fizikal dan menggalakkan gaya hidup sihat yang membantu dalam mengatasi kebimbangan kontemporari mengenai kesihatan yang baik.
Berjalan kaki secara meluas juga dianggap sebagai satu daripada cara pengangkutan yang paling mesra alam dan mudah diakses. Penggunaan dan promosi mod pengangkutan aktif seperti berjalan kaki telah terbukti secara saintifik memberikan impak langsung kepada pencapaian matlamat pembangunan mampan global. Sebagai mod pengangkutan dengan pelepasan hampir sifar, berjalan kaki dapat mengangkut enam kali hingga lapan kali lebih banyak orang dalam tempoh yang sama di ruang yang setara dengan kereta. Selain itu, berjalan kaki menghasilkan pencemaran bunyi dan udara yang paling rendah dan tidak memerlukan bahan api fosil.
Aktiviti fizikal seperti berjalan kaki dapat mengurangkan risiko penyakit kronik, meningkatkan kesihatan mental, melambatkan penurunan kognitif dan menurunkan kadar kematian. Sejajar dengan peningkatan peratusan penyakit kronik dalam kalangan rakyat Malaysia seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti dan kemurungan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melancarkan kempen berjalan 10 000 langkah sehari. Kempen ini bertujuan untuk melahirkan rakyat yang sihat dan menggalakkan penggunaan pengangkutan aktif.
Secara amnya, orang dewasa disarankan untuk melibatkan diri dalam sekurang-kurangnya 150 minit hingga 300 minit aktiviti fizikal intensiti sederhana pada setiap minggu. Walaupun manfaat kesihatan daripada aktiviti fizikal telah didokumentasikan dengan baik, sekitar 28 peratus orang dewasa (berumur 18 tahun hingga 64 tahun) tidak memenuhi tahap yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). WHO menggalakkan penggunaan mod pengangkutan tidak bermotor seperti berjalan kaki, yang dapat mengurangkan risiko kesihatan dan kadar kematian dengan meningkatkan tahap aktiviti fizikal.
Tambahan pula, kebergantungan yang tinggi terhadap bahan api fosil dalam sektor pengangkutan, terutamanya di Eropah memberikan cabaran besar dalam usaha untuk mencapai sasaran perubahan iklim global. Walaupun peralihan kepada bahan api alternatif berlaku dengan perlahan, terdapat peningkatan kesepakatan bahawa menggalakkan perjalanan aktif seperti berjalan kaki menawarkan potensi yang besar untuk mengurangkan pelepasan karbon. Hal ini juga menekankan kepentingan pendekatan holistik berbanding dengan hanya bergantung pada penggantian teknologi semata-mata.
Keperluan Mod Pengangkutan Aktif
Apabila bandar mengalami pertumbuhan penduduk yang pesat, keperluan untuk mengangkut lebih ramai orang melalui rangkaian pengangkutan yang sedia ada menjadi semakin mendesak. Lebih separuh daripada penduduk dunia kini tinggal di bandar dan angka ini dijangka meningkat kepada dua pertiga menjelang tahun 2050. Kesemua individu ini perlu bergerak dan antara tahun 2015 hingga tahun 2050, permintaan terhadap kapasiti pengangkutan bandar bagi semua mod dijangka meningkat hampir dua kali ganda.
Walaupun pengangkutan awam masih merupakan cara paling berkesan untuk mengangkut sejumlah besar orang dari jarak jauh, masalah pengangkutan dari dan ke terminal transit yang dikenali sebagai cabaran “batu pertama/batu terakhir” tetap menjadi isu yang berulang. Jika tiada cara yang mudah dan berpatutan untuk menaiki bas atau kereta api, orang ramai lebih cenderung untuk memandu sendiri. Keadaan ini menyumbang kepada kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara yang teruk, terutamanya di kawasan bandar.
Sebagai alternatif, ndividu mungkin memilih untuk tidak melakukan perjalanan sama sekali, sekali gus kehilangan peluang pekerjaan, akses kepada makanan sihat, penjagaan perubatan pencegahan dan faedah lain. Masalah “batu pertama/batu terakhir” bersama-sama jurang antara tahap perkhidmatan pengangkutan awam dengan keperluan komuniti boleh mengakibatkan sesuatu yang dikenali sebagai “padang pasir transit”, yakni kawasan yang mempunyai populasi bergantung pada pengangkutan awam tetapi tidak mempunyai perkhidmatan transit awam yang mencukupi.
Nur Amirah Najihah Shahminan,
Pelajar Sarjana,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ts. Dr. Faridah Hanim Khairuddin,
Pensyarah Kanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff,
Pensyarah Kanan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.