Diterbitkan pada 28 Februari 2025, 11:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Malaysia diiktiraf sebagai salah satu daripada 17 buah negara megadiversiti dunia serta tersenarai antara 12 negara megabiodiversiti teratas dari segi kekayaan spesies dan endemisme. Kepelbagaian biologi ini merangkumi ekosistem, spesies dan kepelbagaian genetik.

Di Malaysia, spesimen biologi memainkan peranan penting dalam bidang penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti dan merupakan aset negara yang sangat bernilai dan menjadi rujukan untuk dokumentasi biodiversiti Malaysia. Berdasarkan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022-2030 dalam Sasaran 2, Tindakan 2.5e menyatakan supaya mewujudkan rangkaian penyimpanan spesimen dan rekod melalui kerjasama antara Muzium Sejarah Alam dengan Pusat Biodiversiti Malaysia (MBC) untuk melindungi koleksi biodiversiti Malaysia yang amat besar.

Merujuk Ng (2008), Malaysia telah merekodkan secara kolektif sebanyak tiga juta spesimen dalam 22 institusi, iaitu Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Muzium, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Pusat Penyelidikan Hutan Sabah dan Sarawak, Pusat Biodiversiti Sarawak, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Institut Penyelidikan Perubatan, Taman-taman Sabah, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Bilangan jumlah spesimen kini semakin lama semakin meningkat berikutan pelbagai ekspedisi penyelidikan dilakukan dan banyak penemuan spesies baharu. Selain itu, penambahan bilangan institusi yang melaksanakan kajian penyelidikan dan menyimpan koleksi spesimen juga menjadi satu daripada faktor peningkatan jumlah spesimen di Malaysia.

Spesimen

Spesimen ialah contoh atau sampel yang digunakan bagi tujuan penelitian, analisis atau pemerhatian bagi mengkaji dengan lebih terperinci. Dalam bidang biologi, spesimen ialah haiwan, sebahagian haiwan, tumbuhan, sebahagian tumbuhan atau mikroorganisma yang digunakan sebagai sampel untuk mengkaji sifat keseluruhan populasi bagi spesies atau subspesies yang berkenaan.

Spesimen biologi ini boleh berasal daripada pelbagai jenis makhluk hidup seperti tumbuhan, haiwan, mikroorganisma dan manusia. Tujuan pengumpulan spesimen biologi ini biasanya adalah untuk mempelajari pelbagai aspek kehidupan seperti taksonomi, fisiologi, genetik, perilaku atau ekologi.

Spesimen basah (kiri) dan spesimen kering (kanan).

Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS)

MyBIS ialah sistem pengurusan data biologi kebangsaan yang menyimpan maklumat terperinci mengenai biodiversiti yang terdapat di Malaysia. MyBIS berfungsi sebagai satu pangkalan data atau pusat repositori sehenti yang menyediakan akses mudah kepada maklumat biodiversiti negara secara dalam talian.

Bagi mengurus data biodiversiti yang semakin meningkat, satu pangkalan data MyBIS telah dibangunkan untuk pengurusan data yang lebih tersusun dan sistematik. Selain itu, MyBIS juga menyediakan satu platform pengumpulan dan penyimpanan data mengenai spesimen bagi memberikan kemudahan, terutamanya dari segi pengurusan data pusat koleksi yang berdaftar. MyBIS tidak hanya memberikan manfaat kepada para penyelidik dan ahli akademik, malah kepada pihak kerajaan dalam merancang dasar pemuliharaan biodiversiti negara.

Terdapat lima Modul Utama dalam sistem MyBIS, iaitu Modul Discover, Modul Explore, Modul Analisis, Modul Rujukan dan Modul Toksinologi. Submodul Spesimen merupakan submodul yang dibangunkan di bawah Modul Discover bagi memusatkan kesemua maklumat dan data spesimen di Malaysia.

Maklumat spesimen yang sedia ada dapat memudahkan proses pengenalpastian dilakukan dengan membandingkan antara spesimen dengan koleksi rujukan spesimen yang disahkan. Sebaik sahaja koleksi rujukan yang disahkan dengan baik telah diwujudkan, pengenalpastian rutin secara perbandingan boleh dilakukan oleh para ahli taksonomi yang lain.

Paparan Pangkalan data Biodiversiti Kebangsaan, MyBIS.

Maklumat ini sangat penting untuk penyelidikan dalam bidang biodiversiti, pemuliharaan serta pembangunan dasar yang lebih baik untuk melindungi kekayaan biodiversiti negara kita. Menerusi pangkalan data MyBIS, para penyelidik dan ahli akademik dapat mengakses maklumat dan data spesimen yang telah dimasukkan secara dalam talian, sekali gus memudahkan mereka dalam merancang kajian dan penyelidikan yang akan dijalankan.

Program Inventori Koleksi Saintifik Biodiversiti Kebangsaan (PIKS-BioD)

Program ini merupakan inisiatif kerajaan yang diusahakan bermula tahun 2016 semasa pembangunan modul baru yang dinamakan Modul Spesimen. Pengumpulan Inventori Spesimen Biodiversiti Kebangsaan ini kemudiannya dijenamakan semula pada tahun 2021 sebagai Program Inventori Koleksi Saintifik Biodiversiti Kebangsaan (PIKS-BioD) sebagai jaringan kerjasama antara pusat koleksi yang dibuat untuk mengumpulkan data spesimen yang terdapat di Malaysia.

Pada peringkat awal penubuhan Modul Spesimen ini, MyBIS hanya berfokuskan  lima pusat koleksi sahaja, iaitu FRIM, IMR, UM, UKM dan Institut Biodiversiti (IBD) dan PERHILITAN. Saban tahun, terdapat penambahan bilangan pusat koleksi baharu dari pelbagai agensi, institusi dan universiti yang berdaftar dalam MyBIS untuk dijadikan platform penyimpanan data spesimen mereka. Melalui pendekatan ini, data spesimen di Malaysia dapat direkod dan diselaraskan bagi tujuan pelaporan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Perundingan awal mengenai pelaksanaan Pengumpulan Inventori Spesimen Biodiversiti Kebangsaan.

Sehingga kini, terdapat 31 pusat koleksi daripada 17 buah agensi, institusi dan universiti yang telah berdaftar ke dalam MyBIS dan menggunakan platform MyBIS sebagai tempat penyimpanan dan pengurusan data berkaitan dengan spesimen. Pertambahan pusat koleksi yang baharu membabitkan FRI (Fisheries Research Institute Malaysia), Johor National Park, Kelab Alami, MARDI, Taman Botani Putrajaya, Taman Botani Perdana, UMK, UMS, UMT, USM dan UniSZA. Modul Spesimen boleh diakses melalui pautan https://www.mybis.gov.my/one/specimen.php.

Sebahagian daripada senarai pusat koleksi yang berdaftar dalam MyBIS.

Bengkel dan Latihan

Proses gerak kerja untuk merekod data spesimen di dalam MyBIS dimulakan dengan penganjuran Bengkel PIKS-BioD bagi setiap pusat koleksi, terutamanya bagi pusat koleksi yang baru mendaftar. Bengkel ini bertujuan untuk memastikan proses pengumpulan maklumat dan kemasukan data dijalankan dengan betul dan tepat serta memberikan penerangan secara menyeluruh tentang cara menggunakan sistem secara efektif. Latihan ini juga memberikan peluang kepada para penyelidik untuk mengakses maklumat dan menguruskan data mereka dengan lebih mudah melalui platform dalam talian.

Secara umumnya, pasukan MyBIS akan melatih kakitangan pusat koleksi mengenai cara kemasukan data ke dalam sistem MyBIS. Mereka akan didedahkan dengan sesi pengenalan mengenai MyBIS, seterusnya diajar cara memasukkan data ke dalam Modul Spesimen MyBIS dengan betul.

Sesi praktikal juga turut dijalankan bagi mengenal pasti tahap kefahaman setiap kakitangan dalam memasukkan data ke dalam sistem MyBIS. Proses kemasukan data MyBIS termasuklah ID spesimen, tempat/kompartmen penyimpanan, tarikh kutipan, asal negara, jenis spesimen, bilangan spesimen, taksonomi dan lain-lain lagi. Akhir sekali, laporan kemasukan data bagi setiap pusat koleksi perlu dihantar kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi melihat kemajuan kerja setiap pusat koleksi.

Bengkel dan latihan yang diberikan kepada kakitangan pusat koleksi untuk memasukkan data ke dalam sistem MyBIS.

Kelebihan MyBIS kepada Malaysia

  1. Pemantauan dan Pemuliharaan Biodiversiti: MyBIS menyediakan maklumat yang tepat dan terperinci mengenai spesimen biologi di Malaysia. Dengan purata 20 ribu data spesimen dimasukkan pada setiap tahun, sistem ini membantu kerajaan untuk memantau dan merancang tindakan pemuliharaan yang lebih berkesan bagi melindungi spesies yang terancam.
  2. Menyokong Penyelidikan: MyBIS memberikan akses kepada penyelidik untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai spesimen biologi di negara ini. Data yang ada boleh digunakan dalam pelbagai kajian sains, kajian biodiversiti, perubatan dan ekologi.
  3. Penyimpanan Data yang Teratur: Dengan sistem yang teratur, MyBIS memastikan bahawa semua data mengenai spesimen biologi disimpan dengan baik dan mudah diakses. Hal ini sangat penting bagi memastikan penyelidikan dijalankan dengan efisien dan maklumat dapat diakses dengan mudah oleh pihak yang memerlukan.
  4. Kemudahan Akses dalam Talian: Satu daripada kelebihan MyBIS aialah kemampuan untuk mengakses data spesimen secara dalam talian. Hal ini memberikan kemudahan kepada penyelidik dan pembantu penyelidik untuk melihat, memuat turun dan menggunakan data yang dimasukkan dalam sistem dengan mudah.

MyBIS memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu Malaysia menguruskan dan menyimpan data biodiversiti dengan lebih teratur dan berkesan. Dengan lebih daripada 40 ribu data spesimen dimasukkan pada setiap tahun, MyBIS bukan sahaja memudahkan pengurusan maklumat bagi kajian penyelidikan di Malaysia, malah menyumbang kepada pemuliharaan biodiversiti negara. Dengan akses mudah secara dalam talian, MyBIS juga membantu menyokong usaha kerajaan dalam merancang dasar pemuliharaan dan melindungi kekayaan biodiversiti, yakni khazanah negara Malaysia.

Nurfarhana Hizan Hijas dan Tan Kok Kiat,
Pegawai Penyelidik
Program Kesihatan dan Pemuliharaan Hutan/ Cawangan Pemuliharaan dan Biodiversiti Informatik,
Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi