Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Majlis Pensijilan bagi 29 peserta Sijil Profesional (SP) Medikolegal dalam Penjagaan Kesihatan.
Majlis ini berlangsung di Ruang Aktiv, FSK UKM dan disempurnakan perasmiannya oleh Dekan FSK, UKM, Profesor Dr. Suzana Shahar sebelum sesi penyampaian sijil kepada peserta.
Dalam ucapannya, Profesor Dr. Suzana Shahar menyatakan bahawa program ini ini merupakan kohort ketiga yang bertujuan melahirkan tenaga kerja penjagaan kesihatan yang cakna terhadap aspek medikolegal.
Kursus ini bermula hasil kejayaan webinar “Medicolegal Updates in Current Situation” pada tahun 2021 yang menarik penyertaan lebih 100 peserta yang kebanyakannya dalam kalangan kakitangan penjagaan kesihatan.

Pada Mac hingga April 2024, kursus SP Medikolegal dalam Penjagaan Kesihatan diperkenalkan secara hibrid buat kali pertama dengan FSK sebagai penganjur utama dan diselaraskan oleh Profesor Madya Dr. Masne Kadar.
Sementara itu, Profesor Madya Dr. Masne Kadar memaklumkan bahawa kohort pertama program ini disertai oleh 32 HCW, diikuti oleh 33 peserta pada kohort kedua yang berlangsung pada Ogos hingga September 2024 dan kohort ketiga pada kali ini pula berjaya menarik sebanyak 29 peserta, termasuklah seorang jururawat senior dari Singapura.
Program ini dijalankan secara hibrid selama dua bulan dengan kuliah berlangsung dari Isnin hingga Khamis dan diikuti oleh dua bentuk penilaian berterusan, iaitu esei dan kuiz dalam talian.
Sebagai penutup program, sesi ceramah secara bersemuka yang dikenali sebagai “Courtroom Advocacy” telah dikendalikan oleh Puan Mazlifah Mansoor dan Dr. Noraiza Abdul Rahman dari Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA.

Ceramah ini menerangkan mengenai proses kes mahkamah berkaitan dengan medikolegal dan peranan saksi pakar dalam memberikan keterangan di hadapan hakim dan peguam.