Diterbitkan pada 22 Februari 2025, 13:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Program Geography@SDE Expert Talk 2025 Series bertajuk “Perancangan Spatial Marin: Menyeimbangkan Pembangunan dan Pemeliharaan Ekosistem Laut” telah dianjurkan secara dalam talian oleh Bahagian Geografi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Program ini menampilkan Pengarah PLANMalaysia Perlis, Tpr. Dr. Mohamad Sabri Ahmad yang diundang sebagai penceramah utama untuk berkongsi pandangan dan kepakaran beliau dalam bidang perancangan spatial marin.

“Sebanyak 70 peratus daripada permukaan bumi terdiri daripada lautan dan hal menjadikan perancangan spatial marin sebagai elemen penting dalam memastikan keseimbangan antara kepentingan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar,” jelasnya lagi.

Program ini menampilkan Pengarah PLANMalaysia Perlis, Tpr. Dr. Mohamad Sabri Ahmad sebagai penceramah utama.

Pertumbuhan pesat sektor maritim seperti perikanan, pelancongan dan tenaga boleh baharu telah meningkatkan tekanan terhadap ekosistem marin.

“Oleh itu, perancangan spatial marin amat diperlukan bagi mengurus sumber laut secara mampan serta mengurangkan kesan pencemaran dan perubahan iklim,” kata Tpr. Dr. Mohamad Sabri Ahmad.

Tpr. Dr. Mohamad Sabri Ahmad turut menjelaskan bahawa ekonomi biru memainkan peranan penting dalam pembangunan negara kerana sektor maritim bukan sahaja menyumbang kepada KDNK negara, malah membantu mengelakkan konflik kepentingan antara sektor yang menggunakan kawasan laut seperti perkapalan, perikanan dan pelancongan, selain memastikan biodiversiti marin terus dilindungi.

Negara seperti Jerman, Norway dan Belgium telah berjaya meningkatkan hasil ekonomi melalui aplikasi perancangan spatial marin yang sistematik, manakala pada peringkat Asia Tenggara, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam telah melaksanakan pendekatan ini dengan lebih menyeluruh.

Malaysia masih berada dalam fasa awal pembangunan dasar dan strategi perancangan spatial marin dengan langkah yang dicadangkan termasuklah memperkukuh pemantauan dan pengawalan aktiviti laut, meningkatkan pelaburan dalam sektor ekonomi biru serta memperkembangkan penyelidikan dan inovasi dalam bidang ini.

Program selama dua jam ini mendapat sambutan menggalakkan dengan sesi yang dimulakan oleh ucapan alu-aluan moderator, diikuti dengan pembentangan utama dan diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif yang memberikan peluang kepada peserta untuk berkongsi pandangan serta mengutarakan persoalan berkaitan cabaran pelaksanaan perancangan spatial marin.

Peserta yang turut serta dalam program ini  terdiri daripada pelajar, ahli akademik, pakar industri dan komuniti.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi